Jumaat, 13 Mac 2026

BENARKAH ALLAH SWT TURUN KE LANGIT DUNIA ?

 

Satu perkara yang mesti kita fahami ialah tentang keterbatasan akal dalam mengenal pasti akan segala hakikat yang bermacam dalam dunia ini. Selagi kudrat masih terdaya dan selama mana nadi terus berdenyut rasa, kita tidak akan rasa habis dalam mencari, mengorek dan menggali pelbagai hikmah disebalik segala yang bermain di lingkaran minda kita. Sebagai contoh, dalam banyak keajaiban di dunia ini, terfikirkah kita bagaimana langit yang luas terbentang ini tidak runtuh sekalipun tidak bertiang. Apakah teknologi yang boleh diguna pakai dalam usaha mengkaji akan keutuhan langit yang tidak bertiang ini. Sehingga saat dan ketika ini, kita yakin tidak ada sesiapa lagi yang dapat membuat sekurang-kurangnya teori mengenai langit yang kukuh berdiri tanpa bertiang. Kerana akal ini yang bersifat terbatas, maka pasti kita tidak akan dapat menyelongkar sepenuhnya akan rahsia alam ini termasuklah rahsia tentang Allah SWT.

Persoalan tentang "Benarkah Allah SWT turun ke langit dunia ?" ini adalah bertitik tolakkan daripada beberapa hadith yang menceritakan tentang Allah Azza Wa Jalla turun ke langit dunia pada waktu dan masa yang tertentu. Antara lain sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Tuhan kami (Allah) Tabaraka wa Ta‘ala pada setiap malam turun ke langit dunia, yakni pada baki terakhir satu pertiga malam. Maka Allah berfirman: “Siapakah yang sedang berdoa kepada aku supaya dapat aku menjawabnya dan siapakah yang sedang meminta daripada aku supaya aku dapat mengabulkannya dan siapakah yang sedang meminta ampun daripada aku supaya dapat aku ampuni dia?”




Berdasarkan hadith ini, jelas bahawa Allah Azza Wa Jalla melalui lisan baginda Nabi Muhammad SAW mengkhabarkan dengan sesungguhnya Allah SWT dengan penuh segala suci Nya telah turun ke langit dunia pada waktu satu pertiga malam. Setelah itu Allah SWT mencari siapa dikalangan para hamba Nya yang sedang berdoa kepada Nya, siapa dikalangan hamba Nya yang sedang meminta kepada Nya dan mencari siapa dikalangan hamba Nya yang memohon ampun kepada Nya. Perkhabaran tentang Allah SWT turun ke langit dunia pada satu pertiga malam sememangnya bersumberkan kepada hadith yang sahih, tidak direka cipta apatah lagi untuk tujuan menipu diatas nama baginda Nabi SAW. Pun begitu, persoalan yang lebih besar daripada itu ialah bagaimana cara atau kaedah Allah SWT turun ke langit dunia. Apakah benar Allah turun dan sekalipun benar Allah SWT turun ke langit, bagaimana caranya. Persoalan ini hakikatnya terkait dengan keimanan kita kepada Allah SWT.

Dalam mendepani soalan berkait sifat dan zat Allah SWT ini, kita akan temui dua jalan utama dalam hendak memahami tentang Allah SWT turun ke langit dunia. Telah berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari, beliau sendiri menceritakan tentang perbezaan pendapat yang wujud dalam perbahasan makna Allah turun ke langit. Beliau berkata :

“Terdapat beberapa perbezaan pendapat tentang makna "turun": Sebahagian orang mengertikannya secara zahirnya dan secara hakikat (makna sebenarnya); mereka adalah kaum Musyabbihah. Allah maha suci dari perkataan mereka. Sebahagian lagi mengingkari kesahihan seluruh hadith-hadith yang berbicara tentang nuzul (turun); Mereka adalah Khawarij dan Muktazilah. Anehnya mereka mentakwil ayat dalam al-Quran yang seperti itu tetapi mengingkari hadith, baik kerana tidak tahu atau memang menentang. Sebahagian lagi ada yang membacanya sesuai teks yang ada sambil mengimaninya secara menyeluruh dengan tetap menyucikan Allah SWT dari tata cara dan penyerupaan. Mereka adalah majoriti Salaf."

Berdasarkan ungkapan yang dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani ini, kita akan lihat sekurang-kurangnya terdapat tiga kelompok terbesar dalam hal ini. Kelompok pertama ialah golongan Musyabbihah. Golongan Musyabbihah merujuk kepada suatu kumpulan yang mendokong kefahaman bahawa Allah SWT itu adalah sama seperti makhluk Nya. Ini bermakna, pada kefahaman mereka, Allah SWT itu Maha Mendengar sama seperti kita dengar. Allah itu Maha Melihat sama dan serupa seperti kita melihat. Inilah pegangan batil golongan Musyabbihah yang gemar menyamakan Allah Azza Wa Jalla dengan para hamba Nya. Selain itu, muncul pula kelompok kedua yang bersikap keras dengan menolak semua hadith-hadith tentang turunnya Allah ke langit dunia dan adakalanya mereka mentakwil ayat-ayat al-Quran yang juga terkait dengan tajuk turunnya Allah ke langit dunia. Golongan kedua ini dikenali sebagai Khawarij dan Muktazilah. Kelompok yang terakhir ialah mereka yang bersikap mengimani apa sahaja segala ayat perkhabaran yang datangnya daripada Allah SWT tanpa sedikit pun menyamakan Allah juga tidak menafikan hakikat turunnya Allah ke langit dunia. Golongan ketiga ini ialah dari golongan Salaf.




Selain itu, dalam kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi, beliau menjelaskan bahawa terdapat dua kaedah di dalam hendak memahami tentang ayat berkait perkataan turun. Kaedah pertama ialah Tafwidh. Perkataan "Tafwidh" merujuk kepada makna menetapkan lafaz dan makna sebagaimana yang terkandung di dalamnya yang kemudiannya menyerahkan ilmu tentang caranya kepada Allah SWT. Maksud tafwidh dalam erti kata lain ialah tafwidh al-Kayf iaitu menyerahkan bagaimana sifat itu. Kaedah ini telah banyak digunakan oleh para Salaf dan sebahagian golongan mutakallimin dalam memahami teks al-Quran dan hadith yang melibatkan ayat-ayat Mutasyabihat (samar-samar makna). Dalam pada itu, kaedah kedua ialah Takwil. Pada sudut makna yang lebih mudah, takwil sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Muhammad Mustafa al-Zuhaili dalam kitabnya al-Wajiz fi Usul al-Fiqh al-Islami, takwil ialah suatu konsep mengalihkan kata dari maknanya yang asal kepada makna lain yang memungkinkan dengan disertai dengan bukti yang jelas. Demikian penjelasan oleh Imam al-Nawawi.

Maka melihat kepada kedua-dua kaedah ini, kita mendapati golongan Salaf berpandangan sifat "turun" yang terdapat di dalam hadith termasuk salah satu nas yang mengkhabarkan sifat-sifat Allah SWT. Maka kita sebagai hamba Nya tidak diwajibkan apatah lagi dituntut untuk membincang, membahas dan menghuraikan bagaimana dan seperti apa sifat-sifar tersebut. Ini kerana kita tidak memiliki ilmu dalam hal tersebut. Dalam kitab al-Ibanah al-Kubra karangan al-Imam Ibn Baththah, dinukilkan bahawa telah berkata Abu 'Ali Hanbal bin Ishaq, beliau menjelaskan :

"Aku bertanya kepada Abu 'Abdillah (al-Imam Ahmad bin Hanbal), Allah SWT turun ke langit ? Beliau menjawab, "Ya". Aku bertanya lagi, "Sama ada Allah turun dengan ilmu Nya atau apa ?". Maka beliau pun berkata kepadaku, "Diamlah tentang perkara ini dan beliau kelihatan begitu marah sekali".




Lalu Imam Ibn Baththah menjelaskan berkata Malik, ini adalah sebuah penjelasan supaya tidak bertanya bagaimana Allah turun ke langit dunia. Terimalah hadith-hadith tentang hal ini sebagaimama yang diriwayatkan tanpa mempertikaikannya atau mempertanyakan bagaimana. Demikianlah sikap para Salaf menjawab persoalan Allah SWT turun ke langit. Adapun golongan kedua yang berpegang kepada kaedah takwil, perkataan turun itu sendiri difahami sebagai turunnya cahaya kasih sayang. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, beliau menukilkan ungkapan oleh al-Baidhawi dengan maksudnya :

"Apabila sudah pasti, berdasarkan dalil yang tidak dapat disangkal (qath'i), bahawa Allah itu Maha Suci dari segi sifat fizikal (jismiyah) dan batasan (tahayyuz), maka mustahil perkataan "turun" bermaksud pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain, tempat yang lebih rendah. Yang dimaksudkan ialah turunnya cahaya rahmat."

Secara kesimpulannya, perkataan "Allah turun ke langit dunia" sebagaimana yang terdapat di dalam hadith telah diperselisihi maknanya dikalangan para ulama. Sebahagian para ulama yang terdiri daripada para Salaf menyatakan bahawa ya, Allah turun ke langit dunia sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW di dalam hadith tanpa membahaskan tentang bagaimana cara Allah SWT turun. Ini kerana Allah Azza Wa Jalla sendiri tidak memperincikan akan hal tersebut. Adapun sebahagian lagi para ulama yang terdiri daripada golongan Mutakallimin, mereka berpandangan bahawa yang dimaksudkan dengan makna Allah turun ke langit dunia bukan bermaksud Allah dengan segala zat Nya turun tetapi bermaksud rahmat Allah turun ke langit dunia pada waktu tersebut iaitu pada satu pertiga malam untuk dikurniakan kepada hamba Nya yang sedang beribadah kepada Nya. Secara peribadi, saya lebih cenderung kepada pandangan yang dipegang oleh para Salaf kerana hal itu lebih dekat dan tepat sebagaimana yang diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan