Ibadah adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah Azza Wa Jalla
bersesuaian dengan peranan kita umat manusia sebagai hamba Nya yang kerdil lagi
lemah ini. Ini juga sebagaimana yang Allah SWT sebutkan di dalam al-Quran
tentang tujuan Allah SWT menjadikan jin dan manusia itu tidak lain dan tidak
bukan adalah untuk mengabdikan diri kepada Nya. Dalam melakukan ketaatan
beribadah kepada Allah SWT, dengan penuh kebijaksanaan Nya, Allah Azza Wa Jalla
telah menjadikan baginda Nabi Muhammad SAW sebagai contoh dan ikutan yang
terbaik. Oleh yang kerana yang demikian, antara syarat sesuatu ibadah itu
diterima oleh Allah Azza Wa Jalla ialah dengan mengikuti dan mencontohi amalan
yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW. Tidak cukup dengan itu, Allah SWT
menegaskan bahawa petanda mencintai Nya adalah dengan mengikuti Rasulullah SAW.
Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah menerusi surah Ali 'Imran ayat 31
yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika kamu mencintai Allah, ikutlah
aku, nescaya Allah mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Allah Maha
Pengampun, Maha Penyayang.”
Perkataan "Sunnah" ialah berasal dari
bahasa Arab. Pemahaman sunnah pada sudut bahasa difahami sebagai jalan atau
kehidupan sama ada ianya bersifat terpuji atau sebaliknya bersifat keji. Dalam
catatan Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan
sunnah merujuk kepada maksud peraturan atau adat yang berdasarkan perbuatan dan
perkataan Nabi Muhammad SAW yang digalakkan amalannya. Terma sunnah pada neraca
istilah pula boleh dibahagikan kepada dua sudut pandang yang sama berdasarkan
dua golongan ahli ilmu yang mendefinisikannya. Pandangan pertama menurut para
ahli hadith, sunnah adalah setiap yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada
perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan), sifat khuluqiyyah, sifat khalqiyyah
dan kehidupan baginda SAW samada sebelum perutusan baginda SAW menjadi rasul.
Manakala sunnah menurut ahli usul pula setiap yang diambil daripada Nabi SAW
selain daripada al-Quran melalui perkataan, perbuatan dan taqrir (persetujuan)
baginda SAW.
Maka berdasarkan definisi yang dinyatakan, dapatlah kita simpulkan
dengan makna yang telah disepakati oleh para ilmuan kita, sunnah adalah setiap
apa-apa perkara yang disandarkan kepada baginda Nabi Muhammad SAW yang
merangkumi bentuk percakapan, perbuatan atau persetujuan daripada Nabi Muhammad
SAW. Oleh kerana Allah SWT telah memerintahkan para hamba Nya untuk menjadikan
baginda SAW sebagai contoh teladan kehidupan, maka kita akan lihat beberapa
amalan sunnah yang dilakukan oleh baginda Nabi SAW sepanjang berada di bulan
Ramadan dengan tujuan untuk mengikuti sunnah baginda Nabi SAW. Antara perkara
sunnah yang terpenting di bulan Ramadan yang mulia ini ialah sunnah qiyam
Ramadan. Perkataan "Qiyam" boleh difahami dengan makna
mendirikan atau menghidupkan. Ini bermakna, qiyam Ramadan bermaksud mendirikan
dan menghidupkan Ramadan. Antara qiyam Ramadan yang dimaksudkan ialah solat
tarawih dan solat witir secara berjemaah selain beberapa amalan qiyamullail
yang lain. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang
bermaksud :
“Sesiapa yang mendirikan (ibadah pada malam-malam) Ramadan dengan
penuh keimanan dan mengharapkan pahala, akan diampunkan baginya dosa-dosanya
yang telah lalu.”
Berdasarkan hadith, jelaslah bahawa menghidupkan atau mendirikan
Ramadan pada malamnya dengan menunaikan solat tarawih, solat witir dan amalan
lain di malam hari, dilakukan dengan penuh keimanan maka pasti bagi dirinya
Allah ampunkan dosa-dosanya yang lalu. Selain itu, antara perkara sunnah lagi
ialah sunnah bertadarus membaca al-Quran. Telah menjadi amalan baginda Nabi
Muhammad SAW apabila memasuki Ramadan, baginda akan didatangi oleh malaikat
Jibril AS dalam keadaan lutut bertemu lutut, dengan tujuan untuk bertadarus
membaca dan menyemak bacaan al-Quran. Perkara ini sebagaimana yang dijelaskan
dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Abbas RA beliau
berkata yang bermaksud :
“(Malaikat Jibril ‘Alaihis Salam) menemui baginda Rasulullah SAW
setiap malam di bulan Ramadan, lalu baginda SAW dan Jibril AS saling membaca,
menyemak dan bertadarus al-Quran bersama.”
Sesungguhnya hadith ini menunjukkan betapa sungguhnya baginda Nabi
SAW menghidupkan malam-malam Ramadan dengan memperbanyakkan membaca al-Quran
selain memyemaknya. Hadith ini sekaligus mendorong buat mereka yang mahu
memperkemaskan bacaan al-Quran selain boleh meningkatkan kefahaman ayat-ayat
al-Quran di bulan yang mulia ini. Maka janganlah ada diantara kita yang
memperli, menyindir dan menghina mereka yang memulakan langkah di bulan Ramadan
ini dengan mempelajari bacaan al-Quran. Ini kerana tiada yang sia-sia bagi
tiap-tiap langkah hamba Nya yang mahu memperbaiki diri. Selain bertadarus
al-Quran, sunnah baginda Nabi SAW juga di bulan Ramadan ini ialah sunnah
bersedekah. Ramadan bulan yang bukan sahaja mendidik manusia untuk menahan
lapar dan dahaga semata-mata bahkan bulan Ramadan ini juga adalah bulan untuk
menyemai dan menyuburkan sifat pemurah dan dermawan. Dalam kita berusaha
menjadi seorang yang pemurah, baginda Nabi SAW adalah contoh terbaik untuk kita
ikuti. Hal ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari,
daripada Ibnu Abbas RA beliau berkata yang bermaksud :
“Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah (dermawan), dan
baginda menjadi paling pemurah (dermawan) pada bulan Ramadan, ketika bertemu
dengan Malaikat Jibril.”
Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa bulan Ramadan
merupakan medan terbaik untuk melatih diri kita menjadi orang yang pemurah,
ringan tangan dalam memberi selain memupuk perasaan prihatin dan ambil peduli
tentang masyarakat setempat. Maka tidak salah untuk kita katakan bahawa Ramadan
adalah bulan memupuk semangat perpaduan umat Islam dengan cara memperbanyakkan
bersedekah. Menjadi amalan sunnah juga di bulan Ramadan ini ialah sunnah
memberi makan kepada orang yang berpuasa. Hakikatnya, memberi orang makan itu
adalah amalan yang mulia. Bertambah mulia lagi apabila di bulan Ramadan, kita
memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka. Amalan sunnah memberi
makan kepada orang yang berpuasa disebutkan di dalam sebuah hadith riwayat
Tirmizi, sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka
baginya pahala seperti orang yang berpuasa, tanpa mengurangkan pahala orang
yang berpuasa sedikit pun.”
Memahami hadith ini cukup memberikan kita inspirasi, semangat dan
dorongan untuk kita saling berkongsi makan terutamanya memberi makan kepada
mereka yang berpuasa. Dalam hadith tersebut, Rasulullah SAW menyatakan mereka
yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa akan mendapat pahala seperti
mereka yang berpuasa tanpa mengurangkan sedikit pun pahala mereka yang berpuasa.
Betapa pengasihnya Allah SWT dalam memberikan pahala kepada sesiapa yang
berlumba-lumba melakukan kebaikan lebih-lebih lagi di bulan yang penuh berkat
ini. Dalam pada itu, perkara sunnah lain di bulan Ramadan juga ialah sunnah
berbuka puasa dengan kurma atau air. Perbuatan berbuka puasa dengan kurma atau
air ini mencerminkan intipati ajaran Islam sebenar yang mementingkan
kesederhanaan dalam kehidupan. Baginda Nabi SAW menunjukkan kesederhanaannya
dalam berbuka puasa. Ini sebagaimana di dalam sebuah hadith berstatus hasan
sahih riwayat Abu Daud, daripada Anas bin Malik RA beliau berkata yang
bermaksud :
“Rasulullah SAW biasanya berbuka dengan kurma basah sebelum
menunaikan solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dengan kurma kering.
Jika tiada juga, baginda minum beberapa teguk air.”
Secara tidak langsung, hadith ini mengajak kita untuk mengawal
nafsu makan di bulan Ramadan. Ini penting kerana nafsu adalah satu-satunya
musuh yang sentiasa dekat dan ada bersama kita. Maka adalah penting untuk kita
mendidik nafsu dengan mengawal pemakanan supaya tidak melampaui batas. Selain
itu, antara sunnah terpenting juga di bulan Ramadan ini ialah sunnah bersahur.
Sunnah bersahur merujuk kepada makna perbuatan makan dan minum pada awal pagi
sebelum waktu fajar dengan niat berpuasa. Menurut Imam al Azhari dalam kitab Tahdzib
al Lughah, sahur membawa maksud apa yang disahurkan dengannya pada waktu
sahur daripada makanan atau susu atau apa-apa jenis makanan yang dimakan pada
ketika itu. Berdasarkan pentakrifan ini, dapatlah kita fahami bahawa sahur
merupakan suatu ibadah yang dilaksanakan oleh mereka yang berniat untuk
berpuasa. Adapun makan dan minum di awal pagi tanpa berniat untuk berpuasa,
maka ianya tidak disebutkan sebagai sahur. Sahur adalah sunnah baginda Nabi
yang mulia kerana padanya terdapat keberkatan. Ini sebagaimana yang terdapat di
dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas bin Malik RA
beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :
"Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat
keberkatan".
Oleh itu, rugilah mereka yang tidak bangun untuk bersahur kerana
padanya ada keberkatan. Demikianlah sebahagian perkara sunnah yang dilakukan
oleh baginda Nabi Muhammad SAW di sepanjang bulan Ramadan. Untuk itu, adalah
tersangat penting dan mustahak bagi kita semua umat Islam mengikuti, mencontohi
dan meneladani sifat baginda Nabi SAW dengan mengikuti sunnahnya. Apalah
maknanya jika ungkapan di mulut berkata sayang Nabi namun tidak menjadikan
baginda Nabi SAW sebagai ikutan dan teladan sepanjang hidup. Selain itu kita
harus di ingatkan untuk tidak melakukan perkara baharu dalam ibadah seperti
memukul gendang untuk tujuan gerak sahur, perbuatan tersebut tidaklah disuruh
apatah lagi ditunjuki oleh Rasulullah SAW. Berpadalah kita dengan petunjuk
sunnah Nabi SAW. Semoga kita semua dirahmati oleh Allah SWT.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan