Selasa, 3 Mac 2026

KEUTAMAAN TEMPAT MENUNAIKAN ZAKAT FITRAH

 

Bulan Ramadan merupakan bulan yang sangat dinantikan oleh seluruh umat Islam. Padanya terdapat pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang dijanjikan oleh Allah SWT dan Rasul Nya. Seperti tawaran jualan murah, pada bulan Ramadan yang mulia ini juga terdapat pelbagai tawaran serta ganjaran pahala yang berlipat kali gandanya bagi mereka yang benar-benar memburu nilai ketakwaan di sisi Allah SWT. Selain ibadah fardhu yang sememangnya menjadi kewajiban kepada umat Islam, terdapat beberapa amalan sunnah yang lainnya seperti amalan tadarus al-Quran, solat tarawih, bersedekah memberi makan orang berpuasa untuk berbuka dan seumpamanya lagi. Namun begitu, terdapat satu lagi kefardhuan umat Islam apabila memasuki bulan yang mulia ini iaitulah syariat zakat fitrah. Mutakhir ini, tidak kurang ramai yang berbicar soal dimana tempat yang perlu ditunaikan zakat fitrah. Ini kerana terdapat sebahagian umat Islam yang terkeliru sama ada perlu ditunaikan di tempat cari rezeki atau ditunaikan di tempat asal kampung halaman.

Perkataan "Zakat Fitrah" adalah susunan kata yang berasal dari bahasa Arab. Perkataan zakat itu sendiri menurut pemahaman bahasa di fahami dengan maksud bersih, suci, subur dan berkembang. Fitrah pula merujuk kepada maksud naluri semula jadi manusia yang suci, cenderung kepada kebenaran, kebaikan dan mengakui kewujudan Tuhan sejak lahir. Dalam catatan Qamus al-Muhith, Firuzabadi menyebut perkataan fitrah seolah-olah kembali kepada kejadian asalnya. Pada sudut istilah pula, zakat fitrah sebagaimana yang dijelaskan oleh Abdul Qadir al-Syaibani di dalam kitabnya Nail al-Maarib, ialah sedekah yang wajib dikeluarkan selepas berbuka puasa untuk beraya dan selesainya Ramadan. Maka dalam erti kata lain, zakat fitrah boleh difahami juga sebagai zakat yang diwajibkan keatas setiap individu muslim lelaki dan perempuan dalam bulan Ramadan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Secara umumnya, zakat fitrah merupakan suatu syariat ibadah kepada Allah yang telah difardhukan pada tahun kedua hijrah iaitu pada tahun yang sama difardhukan kewajiban ibadah puasa di bulan Ramadan.




Kewajiban menunaikan zakat fitrah dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT dan Rasul Nya. Di dalam al-Quran, menerusi surah al-Baqarah ayat 110, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

“Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan”

Begitu juga di dalam sebuah hadith Nabi SAW riwayat Muslim, daripada Abdullah bin Umar RA yang bermaksud :

“Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam dengan satu gantang tamar, satu gantang tepung barli sama ada yang merdeka atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan dalam kalangan umat Islam.”

Timbul persoalan, dimanakah tempat untuk ditunaikan zakat fitrah ini. Ini kerana hari ini ramai masyarakat telah keluar berhijrah meninggalkan kampung halaman atau sehingga meninggalkan negeri sendiri untuk keluar mencari rezeki. Maka apabila tiba saat untuk membayar zakat fitrah, tidak kurang ramai yang keliru tentang dimana tempat yang perlu ditunaikan zakat fitrah, di tempat kerja yakni tempat mencari rezeki atau di tempat asal yakni di kampung asalnya. Bagi menjawab persoalan ini, pertama sekali kita perlu terlebih dahulu memahami waktu yang diwajibkan menunaikan zakat fitrah itu sendiri. Dalam hal ini, para ulama berbeza pandangan berkenaan bilakah waktu wajib ditunaikan zakat fitrah. Dikalangan para ulama dalam mazhab Hanafi, mereka menyatakan bahawa waktu wajib zakat fitrah ialah pada fasa terbitnya fajar pada hari raya. Ini juga salah satu pendapat yang disahkan oleh mazhab Maliki. Selain itu, menurut mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian dari mazhab Maliki, waktu wajib zakat fitrah ialah bermula dengan tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan (malam raya).




Oleh yang demikian, waktu wajib menunaikan zakat fitrah ialah pada waktu maghrib bertepatan pada malam raya 1 Syawal. Sekiranya ada yang menunaikan zakat fitrah sebelum masuknya waktu wajib baginya, maka para ulama berbeza pendapat mengenainya. Bagi mazhab Maliki dan Hanbali, hukumnya adalah harus jika menunaikan zakat fitrah sebelum daripada waktu wajib baginya. Menurut mazhab Syafie pula, sunat dikeluarkan sebelum solat sunat hari raya dan makruh melewatkannya sehingga selesai solat. Selain itu, sebahagian pendapat dikalangan ulama mazhab Hanafi yang juga disahkan dalam mazhab Hanafi dan mazhab Syafie, hukumnya harus mendahului waktu wajib zakat fitrah hanya pada bulan Ramadan. Ini bermakna dibolehkan bagi umat Islam membayar awal zakat fitrah sebelum tiba waktu wajibnya iaitu pada waktu masuknya 1 Syawal. Maka dengan ringkasnya boleh kita katakan bahawa waktu wajib menunaikan zakat fitrah adalah bermula pada masuknya 1 Syawal sehingga sebelum mendirikan solat hari raya. Sekalipun dibayar sebelum daripada waktu wajib tersebut, maka hukumnya adalah harus dan zakat fitrahnya dianggap sah.

Menjawab persoalan pokoknya, dimanakah tempat yang perlu ditunaikan zakat fitrah, maka dalam hal ini para ulama berbeza pandangan mengenainya. Dalam mazhab Syafie, sepertimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Maj'mu', terdapat dua pandangan dalam mazhab Syafie mengenai tempat pembayaran zakat fitrah. Pandangan pertama, zakat fitrah di bayar di negeri tempat seseorang itu berada atau bekerja ketika masuk waktu wajib. Pandangan kedua, zakat fitrah itu dibayar di tempat seseorang itu menyambut hari raya. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menguatkan pandangan kedua iaitu zakat fitrah hendaklah dibayar di tempat seseorang itu berada ketika menyambut hari raya. Pandangan yang dikuatkan oleh Imam al-Nawawi ini juga disokong oleh para ulama mazhab Hanbali. Imam Ibnu Qudamah menyatakan bahawa zakat fitrah dibayar di negeri seseorang itu berada ketika tibanya hari raya dan bukan berdasarkan tempat tinggal atau tempat mencari rezeki. Pun begitu, sekiranya seseorang itu membayar zakat fitrah terlebih awal di tempat lain sebelum tibanya waktu wajib zakat fitrah, bagaimana pula dengan status hukum zakat fitrah tersebut ?

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami, hukum membayar awal zakat fitrah seperti itu tidak sah dan wajib ditunaikan di tempat yang dirinya berada pada malam hari raya. Ini kerana menurut beliau zakat yang dibayar awal dihukum sebagai tidak sah kerana ia dikira memindahkan zakat fitrah ke tempat lain. Namun demikian, menurut Imam al-Ramli pula, zakat fitrah yang dibayar awal sebelum tiba waktu wajib zakat fitrah dianggap sah meskipun pada malam hari raya dirinya akan berada di tempat lain. Maka dengan itu tidak wajib membayar semula zakat fitrah ketika tiba di tempat dirinya akan menyambut hari raya. Pun begitu, di sisi Imam al-Ramli, membayar zakat fitrah di tempat berhari raya adalah lebih utama atau lebih afdhal. Secara kesimpulannya, adalah lebih utama dan lebih baik ibadah zakat fitrah ditunaikan di tempat dimana kita berada pada malam hari raya iaitu pada malam 1 Syawal dan bukannya ditunaikan di tempat kita bekerja mencari rezeki. Sesungguhnya ibadah zakat fitrah mengajar kita untuk membersihkan jiwa dari kekotoran penyakit bakhil atau kedekut, sombong dan angkuh dengan harta serta mengingatkan kita akan segalanya adalah hak empunya Allah SWT. Tiada yang kekal melainkan harta semuanya adalah hak milik kekal Allah. Semoga kita semua dirahmati dan diampuni oleh Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan