Selasa, 24 Mac 2026

AL-QURAN KALAM ALLAH ATAU MAKHLUK ?

 

Kelemahan dan kekurangan pada diri umat manusia membuatkan kita semua memerlukan kepada panduan cara hidup bagi mencapai makna kehidupan yang sebenar. Manusia dengan pelbagai kelemahan, sememangnya memerlukan suatu panduan berupa bimbingan untuk dijadikan sebagai pedoman hidup. Kehidupan di dunia yang bersifat sementara ini adalah bertujuan untuk menuju destinasi di akhirat. Seperti sebuah pengembaraan memasuki suatu kawasan untuk menuju ke suatu destinasi akhir, tanpa peta untuk dirujuk, tanpa kompas untuk diukur, pastinya perjalanan itu sukar dan mencabar kerana tiada petunjuk yang boleh membantu. Begitulah juga realiti hidup ini. Kita bukan sekadar hidup semata-mata tetapi hidup dengan misi dan visi untuk menuju ke negeri akhirat yang abadi. Bagi menempuhi perjalanan hidup ini, Allah SWT telah menjadikan al-Quran sebagai panduan untuk seluruh umat manusia merentasi beza warna kulit, keturunan dan bangsa.

Perkataan "Al-Quran" berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud bacaan. Dalam kitab al-Mu'jam al-Wasit, disebutkan bahawa ungkapan al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة) yang bermaksud bacaan. Menurut al-Qamus al-Muhit, perkataan al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التنزيل) yang membawa makna diturunkan. Selain itu, dalam kitab Mu'jam Alfaz al-Quran al-Karim, disebutkan bahawa al-Quran adalah kiasan bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar). Perkataan al-Quran pada sudut istilah pula, mempunyai pelbagai definisi yang dikemukakan oleh para ilmuan Islam. Antaranya seperti menurut Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni dalam kitab al-Tibyan fi 'Ulum al-Quran, al-Quran adalah kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.




Dalam pada itu, dalam kitab Mabahith fi Ulum al-Quran, dinyatakan bahawa makna al-Quran yang telah disepakati oleh ulama usul, fuqaha' dan ulama bahasa adalah al-Quran adalah kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mashaf yang dipindahkan secara mutawatir (berturutan) dan membacanya adalah ibadah. Demikianlah definisi yang boleh kita rumuskan bagi memahami dasar kepada makna al-Quran. Maka melihat kepada definisi yang telah dikemukakan ini, dapatlah kita fahami bahawa al-Quran itu adalah kalam Allah SWT dan bukannya makhluk Allah. Namun begitu, bagaimana pula boleh muncul pernyataan yang menyebut bahawa al-Quran itu adalah makhluk Allah ? Sebenarnya pernyataan yang mendakwa bahawa al-Quran adalah makhluk Allah berasal dari pandangan yang dikemukakan oleh kumpulan Muktazilah, suatu kumpulan aliran teologi Islam rasionalis yang diasaskan oleh Wasil bin Ata pada abad ke-2 Hijrah. Kumpulan Muktazilah merupakan suatu aliran teologi yang mengutamakan akal (logik) dalam memahami wahyu. Polemik berkaitan al-Quran adalah makhluk Allah mula timbul dan menjadi perbahasan pada sekitar tahun 218 Hijrah. Polemik ini dipelopori oleh seorang yang petah berbicara iaitu Ahmad bin Abu Du'ad al-Jahmi.

Dalam kitab I'tiqad Ahl al-Sunnah, dijelaskan bahawa manusia yang bernama Ahmad bin Abu Du'ad ini menjadi watak terpenting dalam menggerakan fitnah terhadap al-Quran dengan mendakwa al-Quran adalah makhluk. Beliau seorang yang bersifat berani dalam berhujah selain memiliki kefasihan dan kehebatan dalam penyampaian yang menjadikannya sebagai seorang yang sangat dipercayai. Melihat kepada kebolehan serta kemampuan yang dimiliki, maka kerajaan ketika itu dibawah pemerintahan Khalifah al-Ma'mun telah meletak kepercayaan kepadanya sehingga dirinya dilantik sebagai qadhi dan seterusnya diberi kepercayaan menggalas jawatan sebagai menteri. Ketika polemik ini kian memuncak, dakwaan bahawa al-Quran itu adalah makhluk telah diangkat sebagai pegangan rasmi kerajaan dibawah pemerintahan Khalifah al-Ma'mun. Setelah itu, khalifah al-Ma'mun telah menulis surat kepada wakilnya di Baghdad yang bernama Ishaq bin Ibrahim bin Mus'ab, meminta supaya diuji para hakim dan para ahli hadith tentang pendapat bahawa al-Quran itu makhluk. Dalam ujian tersebut, semua yang diuji menyatakan persetujuan tentang dakwaan al-Quran itu makhluk. Dikatakan sebahagian yang bersetuju tersebut terpaksa berpura-pura bersetuju walhal mereka tidak setuju.

Sejurus itu, khalifah al-Ma'mun telah memerintahkan sekumpulan ahli hadith dibawa kepadanya. Antara yang dibawa ialah Muhammad bin Sa'ad, Abu Muslim penyalin hadith Yazid bin Harun, Yahya bin Ma'in, Abu Khaithamah Zubair bin Harb, Ismail bin Daud, Ismail bin Abu Mas'ud dan Ahmad bin Ibrahim al-Daruqi. Mereka semua dibawa kehadapan khalifah lalu diuji dengan meminta mereka menyatakan bahawa al-Quran itu makhluk. Mereka semua menjawab sebagaimana yang dikehendaki oleh khalifah dalam keadaan terpaksa sedangkan mereka tidak menyukai dan tidak bersetuju. Dalam kalangan para ulama yang diuji ditanya tentang hal itu, telah berdiri dengan tegas dan berprinsip, Imam Ahmad bin Hanbal, pendiri mazhab Hanbali, beliau menegaskan pendiriannya untuk enggan menyokong dan bersetuju dengan pendapat yang menyatakan bahawa al-Quran itu makhluk dan bukannya kalam Allah SWT. Pendirian Imam Ahmad kekal jelas dan tegas dengan menyatakan bahawa al-Quran itu adalah kalam Allah dan bukan makhluk. Akibat daripada keengganan tersebut, Imam Ahmad bin Hanbal telah dihukum penjara dan disebat. Polemik yang bersejarah ini telah membuka suatu lembaran baharu perbahasan yang memperincikan mengenai sifat kalam Allah SWT.




Bagi golongan Muktazilah, mereka berpandangan bahawa al-Quran itu adalah makhluk Allah SWT berdasarkan beberapa sebab dan alasan yang mereka kemukakan. Antara lain, sebab mereka mendakwa al-Quran itu makhluk ialah sekiranya kita beranggapan al-Quran itu kalam Allah, maka wajib baginya bersifat qadim (kekal). Kerana hanya yang bernama makhluk sahaja yang tidak kekal. Oleh itu, jika kita katakan bahawa al-Quran itu kekal, bermakna akan wujudnya dua perkara yang kekal iaitu Allah dan al-Quran dan hal ini boleh membawa kepada syirik. Selain itu, bagi golongan Muktazilah, mereka telah membezakan antara zat Allah dan perbuatan Nya. Oleh itu, sifat kalam adalah perbuatan makhluk yang diciptakan oleh Allah sedangkan Allah tidak sama sekali serupa dengan makhluk. Maka al-Quran tidak boleh dianggap sebagai kalam kerana Allah tidak boleh memiliki perbuatan (kalam) sepertimana yang dimiliki oleh makhluk Nya. Begitu juga golongan Muktazilah, mereka berhujah dengan menyebut adalah mustahil Allah SWT mempunyai sifat makhluk yakni kalam kerana sifat kalam adalah sifat bagi makhluk Nya dan bukan sifat dan zat Allah SWT. Oleh kerana al-Quran itu sendiri terdiri daripada huruf dan suara yang wujud dalam masa, maka al-Quran dikategorikan sebagai makhluk. Demikian antara hujah bagi golongan Muktazilah untuk menyatakan bahawa al-Quran itu makhluk.

Bagi menolak hujahan golongan Muktazilah ini, para ulama Ahl Sunnah wal Jamaah telah menyebutkan beberapa hujahan bagi membantah kedangkalan dan kesesatan golongan Muktazilah ini. Antara lain disebutkan bahawa sifat qadim (kekal) al-Quran bukanlah datang dari lisan mana-mana manusia melainkan ianya datang sendiri daripada Allah Azza Wa Jalla. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Hijr ayat 9 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya".




Berdasarkan ayat ini jelas kepada kita bahawa al-Quran sebagai kalam Allah bersifat kekal dengan dijaga dan dipelihara sendiri oleh Allah Azza Wa Jalla. Maka mustahil lah Allah SWT mahu para hamba Nya mensyirikkan diri Nya sendiri dengan turunnya al-Quran. Selain itu, sifat kalam Allah SWT adalah berbeza dan tidak sama dengan kalam yang dimiliki oleh para makhluk Nya. Ini bermakna, kalam Allah dengan kalam manusia adalah tidak sama. Sifat kalam (berkata-kata) yang dimiliki oleh Allah Azza Wa Jalla telah dinyatakan di dalam kebanyakan ayat di dalam al-Quran. Misalnya, dalam surah al-Nisa' ayat 164, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).”

Telah berkata Abu Hayyan dalam kitab al-Bahr al-Muhit, ketika beliau menafsirkan ayat ini beliau menjelaskan bahawa ini adalah perkhabaran tentang Allah yang memuliakan Musa dengan kata-kata Nya, dan Dia menguatkan dengan sumber yang menunjukkan bahawa perbuatan itu terjadi secara nyata, bukan secara metafora. Begitu juga dalam ayat lain dalam surah al-A'raf ayat 143, Allah SWT menyatakan bahawa dirinya berkata-kata dengan Nabi Musa. Berdasarkan ayat tersebut, Imam al-Qurtubi menjelaskan dalam kitab tafsirnya (Dan TuhanNya berbicara) dengan mendengarkan perkataan Nya tanpa perantaraan. Oleh itu, sifat kalam Allah SWT merupakan sifat yang telah dikhabarkan sendiri oleh Allah SWT dan tentunya kalam Allah tidak serupa dengan makhluk. Demikian antara hujahan oleh golongan Ahlu Sunnah wal Jamaah bagi membantah akan dakwaan Muktazilah yang mengatakan al-Quran itu makhluk. Sesungguhnya bagi orang yang beriman, kita hendaklah wajib berpegang teguh dengan pandangan bahawa al-Quran adalah kalam Allah dan bukannya makhluk. Inilah pandangan yang benar selari dengan intipati al-Quran dan hadith. Semoga kita semua beroleh keberkatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan