Ahad, 8 Mac 2026

TEKNOLOGI AI PADA NERACA ISLAM

 

Dunia yang semakin berkembang maju dan pesat ini telah menuntut umat manusia untuk bangkit dan berubah selari dengan kemajuan yang tercipta. Kepantasan teknologi hari ini bukan sahaja menghambat kita untuk bergerak lebih laju malah sehingga memberi tekanan tinggi dalam mengurus urusan kehidupan lain. Sememangnya jika dilihat dengan teliti, kewujudan teknologi yang semakin canggih sedikit sebanyak telah menjadikan kehidupan harian manusia bertambah mudah. Sebagai contoh, dengan keberadaan aplikasi Waze, iaitu sebuah aplikasi yang menyediakan perkhidmatan tunjuk arah jalan yang mahu dituju, telah banyak memudahkan urusan harian manusia dengan menjimatkan masa untuk sampai ke sesuatu destinasi yang hendak dituju. Begitu juga dengan kewujudan aplikasi Whatsapp, dapat menghubungkan jauh dan dekat selain menjimatkan masa untuk berbual mesra. Dalam kerancakan dunia hari ini, kita diperkenalkan pula suatu teknologi baharu yang bernama AI.

Perkataan "AI" adalah singkatan daripada frasa kata Artificial Intelligence. Istilah AI jika diterjemahkan ke bahasa Melayu bermakna kecerdasan buatan. Kemunculan AI bukan sesuatu yang baharu. Dalam catatan sejarah, kemunculan AI bertitik tolakkan permulaan pada tahun 1943 apabila muncul seorang ahli Neurofisiologi bernama Warren McCulloch bersama rakannya Walter Pitts, telah memperkenalkan idea rangkaian saraf yang mencadangkan model teori mengenai bagaimana neuron dalam otak boleh bekerjasama melakukan pengiraan yang bersifat kompleks, menggunakan fungsi logik mudah seperti "AND" dan "OR". Setelah itu, sekitar tahun 1950, ujian Turing telah dibangunkan oleh Alan Turing untuk mengkaji tingkah laku pintar yang bersamaan atau tiada bezanya dengan tingkah laku manusia. Rentetan itu, pada tahun 1956, istilah AI buat pertama kalinya dicipta oleh John McCarthy dan bidang AI secara rasminya ditubuhkan di Persidangan Dartmouth.




Keberhasilan program AI tersebut telah membuktikan kemampuan teknologi ini menyelesaikan masalah matematik, dikenali sebagai Logic Theorist, dibangunkan oleh Allen Newell dan JC Shaw, kedua-duanya merupakan penyelidik di RND Corporation. Sejajar dengan perkembangan zaman yang berubah, bermula sejak tahun 2010 sehingga sekarang, kebangkitan sangat ketara bidang AI wujud set data besar dan kuasa pengkomputeran. Perkembangan ini sekaligus membawa kepada pembangunan pelbagai aplikasi seperti aplikasi pengecaman imej dan pertuturan, pemprosesan bahasa semula jadi dan kenderaam autonomi. Sesungguhnya kita harus akui bahawa kewujudan kecerdasan buatan atau disebut sebagai AI telah memberi kesan kepada dunia merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia. Teknologi AI yang juga merupakan sebuah bentuk sistem komputer, mampu meniru cara manusia berfikir sehingga boleh mengubah cara bekerja manusia serta merubah landskap kehidupan manusia.

Sebagaimana umum ketahui, teknologi AI telah semakin mendapat perhatian dan tempat di hati manusia. Ini kerana kepelbagaian fungsi dan peranannya telah banyak meringankan, memudahkan dan melancarkan urusan harian kehidupan manusia. Dalam kecanggihan teknologi AI, terdapat salah satu bidang di dalamnya yang dikenali sebagai Generative Artificial Intelligence atau singkatannya GenAI. Generative AI ini merupakan salah satu pecahan bidang AI yang mampu membantu manusia menghasilkan kandungan berdasarkan berbagai jenis input. Input dan output model AI ini dihasilkan dalam pelbagai bentuk dokumen seperti teks, gambar, suara, animasi, model 3D, atau jenis data lainnya. Lebih mengujakan lagi, GenAI yang sudah sinonim dengan masyarakat hari ini telah mampu mencipta watak-watak manusia yang telah meninggal dunia seperti hidup kembali. Ini sekaligus telah menarik perhatian manusia yang mahu melihat hidup semula wajah-wajah kesayangan mereka yang telah pergi meninggalkan dunia ini. Dalam kerancakan tersebut, persoalan besar timbul tentang bagaimana pendirian Islam dengan kewujudan teknologi yang semakin canggih ini. Apakah Islam menentang akan hal ini atau sebaliknya menyokong setiap kemajuan teknologi yang datang.




Bagi menjawab persoalan ini, pertama sekali harus dijelaskan bahawa sesungguhnya Islam tidaklah sesekali menentang, menolak atau menghalang sebarang kemajuan yang mendatang dalam kehidupan manusia. Malah Islam itu sendiri memerintahkan umatnya untuk terus mencari ilmu, meningkatkan penguasaan ilmu selain mendorong umatnya untuk berinovasi. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-'Alaq ayat 1 hingga 5, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena (tulisan). Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya".

Berdasarkan keterangan ayat ini, jelaslah bahawa Islam amat menggalakkan umatnya untuk berusaha menguasai ilmu pengetahuan yang merangkumi pelbagai bidang ilmu yang memberi manfaat kepada kehidupan ini. Ini termasuklah ilmu di dalam bidang teknologi, sains dan lain-lainnya. Dalam pada itu, Islam amat mengiktiraf kepelbagaian bidang yang diceburi dan tidak menolak akan kemajuan yang mendatang. Hal ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Anas bin Malik RA yang bermaksud :

"Nabi SAW pernah melewati suatu kaum yang sedang mengawinkan pohon kurma lalu beliau bersabda: "Sekiranya mereka tidak melakukannya, kurma itu akan (tetap) baik." Tapi setelah itu, ternyata kurma tersebut tumbuh dalam keadaan rosak. Hingga suatu saat Nabi SAW melewati mereka lagi dan melihat hal itu beliau bertanya: 'Ada apa dengan pohon kurma kalian? Mereka menjawab; Bukankah anda telah mengatakan hal ini dan hal itu? Beliau lalu bersabda: 'Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian".




Berdasarkan hadith ini, jelas bahawa baginda Nabi Muhammad SAW telah memberikan pengiktirafan kepada suatu bentuk inovasi pendebungaan yang dilakukan oleh kaum tersebut. Ini juga bermakna sesebuah inovasi itu tidaklah dihalang apatah lagi ditegah dalam Islam. Oleh yang demikian, inovasi teknologi hari ini yang menghasilkan sebuah program kecerdasan buatan (AI) adalah sesuatu yang dibenarkan oleh Islam. Jelas lagi terang kepada kita bahawa Islam tidak sesekali menentang, menolak atau menghalang sesebuah kemajuan yang mendatang. Namun begitu, di dalam keterbukaan Islam menerima sebarang bentuk kemajuan teknologi yang ada, Islam telah meletakkan garis panduan sebagai bimbingan dan pedoman kepada umat manusia supaya kelak tidak disalah gunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Mendepani kemajuan teknologi AI yang semakin pesat ini, kita harus akui bahawa terdapat banyak cabaran yang mesti dilalui ekoran daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. Oleh kerana itu, Islam melalui syariat Allah yang menyeluruh ini, mempunyai garis sempadan kepada umat manusia dalam usaha menikmati kecanggihan teknologi hari ini.

Bersendikan kepada kaedah fiqh iaitu 'hukum asal bagi setiap perkara adalah harus sehingga terdapat dalil yang mengharamkan', penggunaan teknologi AI diharuskan dan dibolehkan untuk diguna pakai selagimana teknologi tersebut tidak membawa kepada perkara yang boleh memberi mudarat, mengundang maksiat selain membuatkan manusia melakukan perkara yang sia-sia. Penyalahgunaan teknologi AI seperti membuat penipuan imej, penipuan kewangan atas talian dan lain-lain lagi jenis kemungkaran, boleh mengundang kepada kemurkaan Allah Azza Wa Jalla. Tanpa dinafikan, hukum asal adalah diharuskan, namun apabila tidak dikawal dengan baik, ianya pasti mengundang kepada kerosakan tamadun manusia sekaligus menghancurkan masa depan kita bersama. Tindakan segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar fitnah yang disunting, mereka cipta video dan berita palsu, mampu merobek nilai kesejahteraan hidup manusia. Maka sememangnya menjadi peranan kita bersama agar teknologi AI ini dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Demikianlah sedikit sebanyak penjelasan berkaitan teknologi AI pada neraca syariat Islam. Apa yang boleh dirumuskan ialah pertama, Islam sebagai agama yang paling benar, tidaklah sesekali menafikan kemajuan teknologi pada hari ini. Islam sama sekali tidak menolak, menghalang, memusuhi atau membenci akan kemajuan dunia yang semakin berkembang. Kedua, dalam mendepani kecanggihan teknologi hari ini, umat Islam diseru untuk memanfaatkannya kearah kebaikan. Sesuatu kemajuan teknologi itu selagimana tidak membuka kepada ruang kerosakan, maka diharuskan untuk dimanfaatkan. Ketiga, keterbukaan Islam menerima dan mengiktiraf akan kemajuan yang ada bukanlah lesen mutlak untuk manusia melakukan apa sahaja. Sikap tidak bertanggungjawab dalam menggunakan teknologi ini, akan mengundang kepada kerosakan dan kemusnahan kehidupan manusia selain turut mengundang kemurkaan Allah Azza Wa Jalla. Maka dengan itu, janganlah kita menjadi manusia yang tidak waras dalam mengguna pakai teknologi hari ini. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan