Tujuan utama sesebuah perkahwinan itu dibina adalah untuk mencapai
makna bahagia, kasih sayang dan memperolehi ketenangan dengan antara satu sama
lain. Ini bermakna, rumah tangga yang dibina adalah bertujuan untuk saling
mencipta rasa bahagia, saling berbagi kasih dan sayang selain berusaha menjadi
penenang jiwa raga bagi pasangan. Oleh kerana itu, tidak keterlaluan untuk kita
katakan sesebuah rumah tangga yang rosak adalah yang padanya tidak ada lagi
kasih sayang, kebahagiaan dan ketenangan yang tercipta daripada keduanya. Dalam
pada itu, bagi mencapai tujuan kebahagiaan, kasih sayang serta ketenangan dalam
berumah tangga, menyempurnakan nafkah batin dengan melakukan hubungan seks
suami isteri menjadi ibadah yang diganjari pahala selain dapat meningkatkan
rasa kasih sayang sesama pasangan. Pun begitu, realiti hari ini, para isteri
kebanyakannya bekerja membantu suami menambah pendapatan membuatkan para isteri
tidak larat untuk melayani kehendak seks suami. Akhirnya, suami merasakan tidak
mendapat layanan secukupnya dari isteri.
Dalam kita berbicara mengenai bab ini, pertamanya, para isteri
terlebih dahulu perlu memahami bahawa menjadi tanggungjawabnya mentaati
perintah suami pada segala perkara yang baik dalam kerangka syariat Islam. Ini
bermakna para isteri wajib menunaikan hak para suami untuk menjalinkan hubungan
sebagai suami isteri. Satu hal yang sangat penting sekali, ketaatan si isteri
terhadap suami adalah elemen terpenting dalam mewujudkan suasana bahagia dalam
rumah tangga. Malah, maruah suami juga terletak kepada bagaimana taatnya
seorang isteri terhadapnya. Pun begitu, dalam beberapa keadaan tertentu, apakah
boleh si isteri menolak hubungan seks bersama suami ? Bagi menjawab persoalan
ini, dikalangan para ulama bersepakat dengan menyatakan bahawa suami berhak
mengajak isterinya untuk berhubungan seks pada bila-bila masa yang suami mahu
kecuali pada keadaan tertentu yang dinyatakan oleh syarak seperti isteri dalam
keadaan haid, nifas, dalam keadaan zihar dan ketika ihram.
Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
“Apabila seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, lalu
isterinya menolak dan dia bermalam dalam keadaan marah terhadap isterinya, maka
para malaikat melaknatnya sehingga subuh.”
Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya Syarh al-Nawawi 'ala Sahih
Muslim, ketika mensyarahkan maksud hadith ini, beliau berkata :
“Sabda Rasulullah SAW: ‘Apabila seorang wanita tidur dengan
meninggalkan tempat tidur suaminya, maka dia dilaknat oleh para malaikat hingga
subuh,’ dan dalam riwayat lain disebutkan: ‘hingga dia kembali.’ Hadith ini
menunjukkan bahawa haram bagi seorang isteri untuk menolak ajakan suaminya
tanpa alasan syar‘i. Haid bukanlah alasan untuk menolak kerana suami tetap
mempunyai hak untuk menikmati isterinya di atas kain (tanpa hubungan kelamin
secara langsung). Makna hadith ini ialah laknat para malaikat akan berterusan
terhadap isteri tersebut sehingga dosanya hilang sama ada dengan terbitnya
fajar, dengan keampunan suaminya, atau dengan taubatnya dan kembalinya dia
kepada tempat tidur suaminya.”
Berdasarkan penjelasan oleh Imam al-Nawawi ini, dapat kita rumuskan
bahawa hukum isteri menolak ajakan suami untuk melakukan hubungan seks tanpa
sebarang alasan syar'i adalah haram. Dalam makna lain, si isteri tidak boleh
menolak hasrat dan hajat si suami untuk melakukan hubungan seks tanpa alasan
yang dibenarkan oleh syarak. Secara asasnya, Islam melarang suami berhubungan
seks dengan isteri dalam keadaan isteri sedang mengalami haid, nifas dan
selainnya. Larangan ini berdasarkan firman Allah Azza Wa Jalla di dalam
al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud :
"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai
(hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan
dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri
dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah
haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka
suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut
jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh Nya Allah mengasihi
orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa
mensucikan diri"
Berdasarkan maksud ayat ini, jelas bahawa Allah SWT melarang para
suami daripada melakukan hubungan seks ketika isterinya sedang haid. Antara
hikmah larangan tersebut adalah bertujuan untuk menjaga kebersihan dan
keselamatan suami dan isteri. Dalam satu kajian yang dilaporkan oleh Dr Laura
Berman, seorang pakar seks dan terapi dari Sekolah Perubatan Feinberg,
Universiti Northwerstern, Chicago, berhubungan seks suami isteri dalam keadaan
isteri sedang haid adalah sangat bahaya terutamanya kepada isteri. Kesannya,
suami isteri terdedah kepada risiko penyakit seperti jangkitan kulat faraj,
mudah mendapat jangkitan penyakit seperti hepatitis selain pembuluh darah boleh
tersumbt dan lain-lain risiko lagi. Selain itu, Islam juga melarang suami
berhubungan seks bersama isteri jika dalam keadaan zihar. Zihar merujuk kepada
maksud perbuatan suami menyamakan isteri (atau sebahagian anggota badannya)
dengan wanita mahram baginya seperti ibu kandung. Larangan dan tegahan ini
berdasarkan firman Allah Azza Wa Jalla dalam al-Quran menerusi surah
al-Mujadalah ayat 3, firman Nya yang bermaksud :
"Dan orang-orang yang "ziharkan" isterinya, kemudian
mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram
kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka
berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi
pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah),
Allah Maha Mendalam Pengetahuan Nya akan apa yang kamu lakukan"
Demikian beberapa alasan yang dibenarkan oleh syarak bagi si isteri
menolak ajakan atau permintaan si suami dalam melakukan hubungan seks. Namun
dalam pada itu, realiti hari ini, selain alasan haid dan sebagainya, para
isteri juga seringkali menolak ajakan suami kerana alasan keletihan bekerja
atau ketidakstabilan emosi dan seumpamanya. Alasan-alasan seperti ini kadang
menjadikan para isteri tersepit dan berada dalam dilema antara hak diri sendiri
untuk berehat dan hak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Dalam
persoalan ini, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menjawab dalam kitabnya Fatawa
al-Mar'ah al-Muslimah, ketika beliau ditanya tentang adakah seorang wanita
berdosa jika dia menolak ajakan suaminya kerana masalah emosi sementara atau
sakit yang dihadapinya, maka beliau menjawab :
“Seorang wanita wajib memenuhi ajakan suaminya jika dia mengajaknya
ke tempat tidur. Namun, jika wanita tersebut sedang menghadapi masalah emosi
atau sakit yang membuatkan dia tidak mampu untuk melayan suaminya, maka suami
tidak dibenarkan untuk memaksa. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: ‘Tidak boleh
memberi kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan.’ Suami hendaklah
bersabar atau menikmati hubungan dengan cara yang tidak mendatangkan mudarat
kepada isteri.”
Berdasarkan penjelasan ini, maka tidaklah berdosa jika terdapat
keuzuran lain seperti keletihan dan emosi tidak stabil dan seumpamanya. Maka
dalam keadaan ini, para suami tidak boleh bersikap keras dengan memaksa juga
isteri untuk melakukan hubungan seks. Dalam keadaan yang seperti ini juga, si
isteri perlulah bersikap jujur dengan berterus terang kepada suami agar suami
tidak berkecil hati dan si suami pula perlulah bersabar dengan memahami perasaan
si isteri. Kedua-dua pihak sebagai suami dan isteri dituntut untuk saling
berbincang dengan baik bagi mencapai kesefahaman dan kesepakatan dalam hubungan
suami dan isteri. Sesungguhnya Islam melarang keras suami memaksa isteri untuk
melakukan hubungan seks. Ini berdasarkan hadith riwayat Bukhari dan Muslim,
daripada Abdullah bin Zam'ah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Janganlah salah seorang daripada kamu memukul isterinya seperti
memukul seorang hamba, kemudian berhubungan dengannya pada akhir hari.”
Hadith ini menjelaskan bahawa seorang suami tidak boleh memaksa
isteri untuk melakukan hubungan seks sehingga tahap memukul dan mendatangkan
kecederaan yang lain. Adapun jika si isteri menolak ajakan si suami tanpa
sebarang alasan yang munasabah, maka sebagai seorang suami, perlulah memainkan
peranannya dengan menasihati isteri terlebih dahulu. Jika enggan juga, maka
suami haruslah mengasingkan tempat tidur dan jika keadaan tidak berubah juga,
si suami dibenarkan untuk memukul isteri dengan pukulan ringan yang tidak
mendatangkan kecederaan. Demikian sebagaimana yang dinyatakan dalam surah
al-Nisa' ayat 34 hingga 35. Kesimpulan daripda semua penjelasan ini, hukum
asalnya adalah haram si isteri menolak ajakan suami atau enggan memenuhi
permintaan suami untuk melakukan hubungan seks. Pun begitu, terdapat beberapa
keadaan yang dibenarkan untuk isteri menolak ajakan suami seperti dalam keadaan
haid, nifas, dalam kesakitan yang boleh memberi mudarat dan seumpamanya.
Adapun atas alasan lain seperti kepenatan bekerja, keletihan dan
berada dalam keadaan emosi tidak stabil, maka si isteri perlulah bersikap terus
terang kepada suami selain si suami pula perlu memberi timbang rasa memahami
perasaan si isteri. Dalam pada itu, sekiranya si isteri menolak ajakan suami
dengan tanpa sebarang alasan yang dibenarkan oleh syarak, maka menjadi
tanggungjawab suami untuk menasihati isteri, mengasingkan tempat tidur dan
sekiranya isteri masih enggan untuk taat kepada suami, maka Islam membenarkan
suami memukul isteri dengan pukulan ringan yang tidak mencederakan. Selain pada
itu, Islam amat melarang keras suami memaksa isteri melakukan hubungan seks
dengan cara kekerasan atau dengan cara yang boleh menyakitkan isteri. Bahkan di
dalam al-Quran menerusi surah al-Nisa' ayat 19, dimana Allah SWT memerintahkan
kepada para suami mendatangi isteri dengan cara yang baik, tidak menyakiti
isteri. Demikian antara sebahagian penjelasan yang dapat kita perkatakan
berkait soal hukum isteri menolak ajakan suami dalam melakukan hubungan seks.
Ketahuilah bahawa keharmonian rumah tangga menuntut sikap kerjasama dan
kesefahaman antara suami dan isteri. Semoga Allah merahmati kita semua.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan