Antara ibadah utama dan terpenting bagi orang Islam ialah ibadah
solat fardhu yang menjadi kewajiban bagi setiap insan yang bergelar muslim.
Ibadah solat juga adalah amalan pertama yang akan dihisab atau dihitung oleh
Allah SWT pada hari akhirat kelak. Penekanan ibadah solat adalah penting
diusahakan sejak dari usia kanak-kanak lagi. Kerana itu, kita akan melihat
bagaimana dalam sebuah hadith Nabi SAW, baginda memerintahkan kepada ibubapa menyuruh
anak mendirikan solat seawal usia 7 tahun dan memukul anak pada usia 10 tahun
sekiranya tidak menunaikan solat. Maka dengan itu, pada peringkat usia
kanak-kanak lagi, adalah menjadi peranan dan tanggungjawab para ibubapa di
dalam usaha mengenal, mengajar dan mendidik anak dengan ibadah solat agar
mereka sentiasa merasa pentingnya mendirikan solat.
Dalam pada kita berbicara tentang penerapan ibadah solat dikalangan
kanak-kanak, satu hal yang tidak kurang penting juga untuk kita memahami soal
kedudukan saf solat bagi kanak-kanak. Perkara ini bukan sahaja boleh
dipraktikan ketika solat berjemaah di masjid, bahkan ianya juga boleh dilatih
ketika solat berjemaah di rumah dan dimana-mana sahaja. Sebelum pada itu, dalam
konteks institusi masjid, para ulama berbeza pandangan dalam membincangkan
mengenai hukum membawa kanak-kanak ke masjid. Dalam hal ini, kita akan dapati
sekurang-kurangnya terdapat dua pandangan utama dalam isu ini. Pandangan
pertama, seperti yang disebutkan oleh sebahagian fuqaha (ahli fiqh) dikalangan
mazhab Maliki, Hanbali dan Syafie', mereka berpendapat dilarang membawa
kanak-kanak yang belum mumayyiz untuk masuk ke dalam masjid. Manakala pandangan
kedua, sepertimana yang diutarakan oleh al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani,
Imam al-Syaukani dan lain-lain, mereka berpendapat kanak-kanak diharuskan atau
dibolehkan di bawa masuk ke dalam masjid.
Menyentuh pula soal kedudukan saf solat bagi kanak-kanak, di dalam
sebuah hadith riwayat Bukhari, menceritakan mengenai bagaimana cara baginda
Rasulullah SAW menyusun saf kanak-kanak dengan baginda memerintahkan kepada
Anas bin Malik RA berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah
SAW solat bersama mereka. Dalam hadith tersebut, Anas bin Malik berkata yang
bermaksud :
"Mulaikah, nenda Anas bin Malik mengundang Rasulullah SAW
untuk menikmati makanan yang disediakannya. Lalu Rasulullah SAW menjamah
hidangan tersebut kemudian bersabda: Bangunlah, saya akan mengimamkan solat
kalian. Lalu saya mendapatkan sekeping tikar kami yang berwarna hitam kerana
sudah lama digunakan, kemudian saya merenjiskan air ke atasnya. Rasulullah SAW
berdiri, diikuti seorang anak yatim berdiri bersama saya dan nenek berada di
belakang kami. Baginda bersembahyang mengimami kami sebanyak dua rakaat"
Berdasarkan hadith ini, al-Khatib al-Syarbini menyebut dalam
kitabnya Mughni al-Muhtaj :
“Kedudukan sebagaimana yang disebutkan (kanak-kanak di belakang)
ialah apabila mereka semua datang pada waktu yang sama. Sekiranya kanak-kanak
hadir terlebih dahulu, tidak boleh ditarik mereka bagi memberi laluan kepada
lelaki dewasa. Ini sebagaimana jika mereka terlebih dahulu masuk ke saf
pertama, maka sesungguhnya mereka lebih berhak, pada pendapat yang sahih. Ia
sepertimana dinukilkan dalam Al-Kifayah daripada Al-Qadhi Husain dan selainnya.
Beliau memperakukan hal tersebut. Ini kerana mereka (kanak-kanak) merupakan
daripada jenis mereka (lelaki dewasa), tidak seperti khunsa dan wanita.
Sesungguhnya kanak-kanak hanya diletakkan di belakang daripada lelaki dewasa
sebagaimana kata Al-Azraie apabila saf lelaki tidak muat untuk mereka. Jika
tidak, hendaklah disempurnakan".
Maka sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Khatib al-Syarbini,
kedudukan saf solat kanak-kanak adalah sama seperti orang dewasa. Ini bermakna
kanak-kanak tidak dilarang untuk berada di saf paling hadapan. Tidak menjadi
masalah jika kanak-kanak berada di saf yang paling hadapan. Hal ini juga selari
sebagaimana yang diceritakan oleh Anas bin Malik dimana beliau mendirikan saf
berada selari dengan kanak-kanak yang hadir pada ketika itu. Malah baginda Nabi
SAW yang turut bersama pada waktu itu tidak pula menyuruh kanak-kanak untuk
berada di saf lain di belakang saf orang dewasa. Selain itu, al-Imam al-Mawardi
pula ketika membahaskan mengenai permasalahan saf kanak-kanak, beliau menyebut
di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir dengan menyatakan bahawa sebahagian
ashab kami telah berkata yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan
kanak-kanak (di dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa
kanak-kanak tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat. Demikian
penjelasan yang dinukilkan oleh Imam al-Mawardi.
Dalam pada itu, Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya al-Majmu'
Sharh al-Muhadzdzab, beliau menyatakan bahawa sekiranya dihadiri
kebanyakkan daripada lelaki (dewasa) dan kanak-kanak lelaki, hendaklah
didahulukan lelaki (dewasa) kemudian kanak-kanak. Inilah pandangan dalam mazhab
(Syafi’i) dan ketetapan ini diputuskan oleh jumhur (majoriti). Berdasarkan
ungkapan oleh Imam al-Nawawi ini, bermakna keutamaan penuhi saf hadapan adalah
untuk lelaki dewasa dahulu tanpa menafikan hak kanak-kanak yang datang lebih
awal untuk berada di saf hadapan. Telah berkata Syeikhul Islam Zakariyya
al-Ansari menyebut dalam kitabnya Asna al-Matalib fi Syarh Raudhu at-Talib,
kedudukan saf solat kanak-kanak lelaki diletakkan di belakang saf lelaki dewasa
apabila saf dewasa tidak muat untuk mereka. Melihat kepada perbahasan ini,
boleh kita katakan bahawa terdapat dua bentuk kedudukan saf solat kanak-kanak
yang boleh dipraktikkan. Pertama, kedudukan saf solat kanak-kanak bersama
dengan orang dewasa. Kedudukan ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh
Anas bin Malik tadi. Kedua, kedudukan saf solat kanak-kanak diletakkan di
belakang saf orang dewasa.
Ini bermakna, bagi kedudukan saf yang pertama, hendaklah diutamakan
orang dewasa di belakang imam. Manakala saf kanak-kanak pula di belakang orang
dewasa sekiranya tidak muat. Demikian antara rumusan yang boleh dibuat
berdasarkan perbahasan mengenainya. Pada pandangan peribadi, adalah lebih baik
untuk tidak memisahkan saf antara kanak-kanak dan orang dewasa. Sekiranya
kanak-kanak diletakkan saf sesama mereka, maka tentu sukar untuk dikawal mereka
supaya tidak bermain ketika solat. Adapun segelintir masyarakat menganggap
bahawa tidak sah solat jika ada kanak-kanak bersama dalam saf orang dewasa
diatas alasan najis kerana belum berkhatan, atau saf akan terputus kerana
adanya kanak-kanak dalam saf tersebut, adalah tanggapan yang melampau dan tidak
berasas. Kata al-Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam kitabnya Fatawa al-Fiqh
al-Kubra, kanak-kanak jika mereka telah mendahului orang-orang yang baligh
ke saf yang awal, maka tidak boleh mengeluarkan mereka dari saf. Ini jelas
menolak dakwaan yang mengatakan terputus saf disebabkan ada bersamanya golongan
kanak-kanak dalam saf orang dewasa. Selain itu, dalam sebuah hadith riwayat
Bukhari, ketika Ibn 'Abbas masih kanak-kanak, beliau menceritakan yang
bermaksud :
"..Rasulullah bangun bersolat malam aku turut serta
bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu
menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda".
Berdasarkan hadith, jika benar dakwaan kanak-kanak dianggap najis
kerana belum berkhatan dan sebagainya tentu sekali baginda Nabi SAW akan
memperbaharui wudhuknya. Namun begitu baginda tidak berbuat demikian. Ini
membuktikan bahawa kanak-kanak tidak dianggap najis ketika berada di dalam saf
bersama orang dewasa. Dalam pada itu, perbuatan menarik kanak-kanak ke saf
belakang dibantah dengan kerasnya oleh Syeikh Muhammad Shalih Ibn 'Uthaimin.
Ini sepertimana katanya di dalam kitabnya al-Durus al-Fiqhiyyah min
al-Muhadarat al-Jami’iyyah, adapun, mengeluarkan kanak-kanak dari saf akan
menimbulkan rasa tidak puas hati kanak-kanak tersebut dan kemungkinan mereka
tidak mahu datang lagi ke masjid. Juga, jika mereka bersama saf kanak-kanak
kemungkinan mereka akan bermain-main dalam solat. Seterusnya, antara tujuan
solat jamaah ialah mengajar orang yang tidak tahu. Jika mereka itu dalam
kalangan saf dewasa maka mereka dapat belajar. Jika dalam saf sesama mereka,
bagaimana hendak mereka belajar. Dalam isu lain, soal saf terputus kerana
adanya kanak-kanak, telah dijawab oleh ulama kontemporari pada hari ini seperti
Syeikh Ibn Baz, Syeikh Ibn 'Uthaimin dan juga Syeikh Soleh al-Munajjid, dengan
menyatakan tidak terputus saf sekiranya ada kanak-kanak di situ. Mudah-mudahan
kita perolehi penjelasan yang tuntas. Semoga Allah mengampuni kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan