Perbuatan melawak dan bergurau adalah sesuatu yang dianggap normal
dalam masyarakat. Budaya melawak dan bergurau senda boleh dianggap juga sebagai
perencah dalam menghidupkan suasana sesama manusia. Dalam satu dapatan kajian
psikologi yang dipetik dalam laman sesawang Psychologytoday.com menyatakan bahawa tabiat melawak
dan bergurau mempunyai fungsi yang sangat penting dalam interaksi manusia,
bukan sahaja melawak dan bergurau itu sebagai hiburan tetapi ianya juga sebagai
alat komunikasi, mekanisme daya tindak (coping mechanism) serta petunjuk
personaliti. Budaya melawak kini sudah menjadi nilai komersial dikalangan
masyarakat apabila terdapat banyak pihak stesen televisyen yang mulai
mengangkat program-program berunsur komedi. Namun begitu, dalam keghairahan
kita melawak dan bergurau senda, kita perlu tahu akan nilai dan hadnya agar
kita tidak melampaui batas.
Perkataan "Mempersenda" adalah kata
terbitan dari kata senda. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ungkapan senda
merujuk kepada maksud gurau, kelakar, jenaka, olok-olok dan berseloroh. Dalam
pada itu, istilah mempersenda pula ditakrifkan sebagai mempermainkan,
memperolok-olok dan mengejek. Perkataan mempersenda lebih sinonim juga dengan
beberapa perkataan lain seperti mempermain, menghina dan memperbodohkan. Maka
perkataan mempersenda boleh kita rumuskan sebagai suatu ungkapan istilah yang
membawa kepada tingkah laku yang kurang sopan, biadab dan tidak berertika. Oleh
yang demikian, agama Islam sebagai agama yang membawa wadah kesejahteraan
dengan jelas melarang sesiapa sahaja daripada menjadikan agama sebagai bahan
jenaka dan persendaan. Menjadikan agama sebagai bahan persendaan adalah sesuatu
yang salah dan dilarang keras oleh Allah SWT. Hal ini sebagaimana yang
terkandung di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman dalam surah al-An'am ayat 68
hingga 70 yang bermaksud :
“Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan
cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka
sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh
Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama
kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu) (68). Dan
tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai
dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan
orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa
(69). Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai
permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia
dan peringatkanlah (mereka) dengan al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di
akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia
telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya
pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia
hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu)
tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan
(ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka
disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak
terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).”
Berdasarkan ayat demikian, Allah SWT dengan penuh ketegasan
melarang daripada menjadikan agama sebagai bahan persendaan. Selain itu, Allah
Azza Wa Jalla turut mengancam mereka yang mempersendakan agama dengan azab
diberi minuman dari air panas yang menggelegak serta diancam dengan azab
seksaan yang tidak terperi sakitnya. Hukuman yang amat dahsyat ini sudah cukup
memadai bagi menunjukkan betapa Allah SWT melarang keras dan bertegas dengan
sesiapa sahaja yang mempersendakan agama. Telah berkata Imam al-Tabari dalam
tafsirnya beliau menyebut ayat ini sebagai peringatan kepada Nabi SAW untuk
menjauhi golongan yang menjadikan agamanya sebagai persendaan dan hiburan.
Begitu juga mengelak daripada golongan yang menggunakan ketaatan kepada Allah
untuk bergurau seperti bermain-main dengan ayat Allah SWT. Hal ini kerana,
mereka mempersendakan al-Quran apabila diperdengarkan dan dibacakan kepada
mereka serta memalingkan diri daripada al-Quran. Oleh itu, sesungguhnya mereka
bakal menghadapi balasan atas perbuatan dan tindakan mereka yang telah
diperdayakan dengan keduniaan serta alpa untuk kembali kepada-Nya. Dalam
kontesk yang lain, perbuatan mempersendakan sesuatu perkara yang telah sabit
dalam al-Quran dan hadith boleh dianggap sebagai perbuatan kufur. Ini
sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi
surah al-Taubah ayat 65, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :
"Dan jika kamu bertanya kepada mereka tentang ejekan-ejekan
itu, tentulah mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan
bergurau.” Katakanlah, “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta rasul-Nya
kamu persendakan?”
Penurunan ayat ini adalah ditujukan kepada golongan munafik. Ini
sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya Tafsir
al-Quran al-'Azim, beliau menyebut dalam tafsirnya dengan berkata :
"Abdullah ibn Wahab berkata: Hisyam bin Sa‘d mengkhabarkan
kepadaku, daripada Zaid bin Aslam, daripada Abdullah bin Umar, katanya:
“Seorang lelaki berkata ketika perang Tabuk dalam satu majlis, ‘Aku dapati para
qurra’ kita (orang yang mahir membaca al-Quran dalam kalangan kita), adalah
orang yang paling menjaga perut, paling pembohong dan paling pengecut apabila
bertempur dengan musuh.’ Seorang lelaki yang berada di masjid ketika itu
berkata, ‘Engkau pembohong, dan engkau adalah munafik! Aku pasti akan
memberitahu Rasulullah SAW tentang hal ini.’ Lalu berita tersebut sampai kepada
Rasulullah SAW, lalu ayat di atas diturunkan.” Abdullah bin Umar berkata: “Aku
melihat lelaki itu bergantung pada tali kekang unta Rasulullah SAW dan batu
terkenanya, sambil dia berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami hanya bergurau
dan bermain.’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Adakah dengan Allah dan Rasul-Nya kamu
mempersendakan? Janganlah kamu memohon kemaafan, kerana kamu telah kufur
selepas keimanan kamu.’”
Sebahagian para ulama menyatakan dengan jelas betapa besarnya dosa
bagi mereka yang mempersendakan agama. Sepertimana menurut Imam al-Nawawi di
dalam kitabnya Minhaj al-Talibin, beliau menyebutkan bahawa perbuatan
mempersendakan agama bagi seorang muslim adalah haram bahkan boleh membawa
kepada murtad. Begitu juga menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam kitab al-Jawazir
'an Iqtiraf al-Kabair, beliau menjelaskan bahawa perbuatan tersebut
merupakan suatu bentuk daripada dosa-dosa besar. Persendaan terhadap agama itu
termasuklah mempersendakan nama Allah SWT atau Nabi SAW, mempermainkan perintah
dan larangan-Nya. Hal ini sebagai contoh apabila seseorang berkata “Jika
Allah memerintahkan kepadaku begini dan begitu maka tidak akan aku lakukan”
atau “Jika kiblat arahnya sedemikian tidak akan aku solat menghadapnya” dan
sebagainya daripada bentuk-bentuk yang mempersendakan agama. Begitulah tegasnya
al-Haitami dalam memperhalusi beberapa contoh persendaan agama yang dilakukan.
Hanya mereka yang tidak punyai maruah dan harga diri sahaja yang berani
menjadikan agama Islam sebagai persendaan.
Selain itu, al-Qadhi ‘Iyadh menyebut dalam kitabnya al-Syifa bi
Ta‘rif Huquq al-Mustafa, ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja)
merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya
tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai
sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas
dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau
menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara
tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira
jatuh kafir di sisi ulama secara ijmak. Demikianlah secara jelas dan terang
bagaimana Islam sangat melarang umatnya daripada mempersendakan agama.
Sesungguhnya agama ini adalah milik kepunyaan Allah. Maka kita sebagai hamba
Nya yang kerdil lagi lemah, bertanggungjawab dan berperanan mempertahankan
kesucian agama ini daripada menjadi bahan persendaan. Umat yang bermaruah
adalah yang punyai sikap marah dan tegas apabila ada yang mahu mempersendakan
agama. Ini termasuklah memperolok-olokkan agama, menghina syariat Allah,
memperlekehkan sunnah-sunnah baginda Nabi Muhammad SAW dan yang selainnya.
Janganlah sesekali menjadikan agama sebagai bahan jenaka. Semoga Allah
mengampuni kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan