Khamis, 21 Mei 2026

NIKAH GANTUNG PADA SUDUT SYARAK

 

Ketentuan Allah SWT telah menjadikan hidup dalam kehidupan manusia itu adalah berpasang-pasangan. Hal tersebut adalah fitrah bagi tiap-tiap mereka yang bergelar manusia. Bukan pada manusia semata-mata malah hidup berpasang-pasangan ini juga berlaku kepada makhluk lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Dalam Islam, syariat pernikahan merupakan syariat yang membuka jalan kepada manusia untuk berkasih sayang selain memaknai maksud cinta dan bahagia. Oleh sebab itu, pernikahan adalah jalan kemuliaan yang mendorong manusia melepaskan rasa cinta dan kasih serta bertanggungjawab dengan tugas dan peranan masing-masing sebagai bukti pengukuhan kasih sayang sesama manusia. Dalam pada itu, pernikahan adalah pintu kepada pemutus dan pemisah kepada perbuatan terkutuk lagi tidak bermoral iaitulah zina. Apabila ikatan pernikahan dimeterai dengan lafaz ijab dan qabul akad nikah, maka tiada lagi ruang untuk berzina malah berkasih sayang bersama pasangan akan menjadi suatu ibadah dan diganjari pahala.

Perkataan "Nikah" adalah berasal dari bahasa Arab. Pada sudut neraca bahasa, ungkapan nikah merujuk kepada makna himpun, kumpul dan cantum. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ungkapan nikah bermakna akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan melakukan persetubuhan. Pada sudut istilah syarak, sebagaimana yamg telah dijelaskan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam al-Shafie, nikah bermaksud suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga mambawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. Walau bagaimana pun, makna nikah yang sebenarnya ialah aqad manakala penggunaan perkataan nikah merujuk kepada persetubuhan itu adalah secara kiasan. Di dalam al-Quran, penggunaan lafaz nikah pada keseluruhannya dengan makna aqad nikah dan bukan bermakna persetubuhan.




Hal ini sebagaimana firman Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Ahzab ayat 49, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya, maka sekali-sekali tidak wajib atas mereka iddah bagimu yang kamu minta menyempurnakannya.”

Adapun pada istilah "Nikah Gantung", tidak ada penggunaan istilah demikian di dalam perbahasan syarak. Ianya merupakan istilah yang bersifat lokaliti atau istilah setempat yang menyamai dengan makna Nikah Khitbah. Dalam Islam, perbahasan mengenai nikah khitbah tidak dibahaskan dengan panjang lebar oleh para sarjana Islam. Ini disebabkan kerana pada perkataan nikah itu sendiri memiliki maksud yang jelas sementara perkataan khitbah pula membawa maksud pertunangan. Maka apabila berbicara tentang nikah khitbah, seolah-olah ia mengambil hukum nikah dari sudut berlakuknya aqad nikah namun masih dihadkan atau dibataskan untuk bersama suami isteri kerana mengambil hukum khitbah iaitu pertunangan. Oleh kerana yang demikian, maka istilah nikah gantung lebih popular dikalangan masyarakat kita yang juga mengambil faham daripada istilah nikah khitbah tersebut. Pada pemahaman masyarakat hari ini, nikah gantung atau istilah asalnya nikah khitbah adalah pernikahan yang sah dan mencukupi syarat dan rukunnya tetapi setelah itu pasangan suami isteri ini tidak duduk sekali di dalam rumah kerana sebab-sebab tertentu seperti kekangan kewangan, tuntutan pekerjaan, belum menamatkan lagi pengajian di peringkat universiti dan lain-lain.

Juga tidak kurang popular juga alasan dikalangan masyarakat yang melakukan nikah gantung ini ialah kerana dibimbangi terjatuh ke lembah kemaksiatan. Walau apapun alasan yang diberikan, nikah gantung sepertimana yang difahami oleh masyarakat kita pada hari ini adalah sama hukumnya dengan nikah yang sebenar. Sebaik sahaja lafaz ijab dan qabul itu disempurnakan maka menjadi hak kepada pasangan untuk memenuhi peranan dan tanggungjawab masing-masing. Lafaz nikah adalah sama tiada bezanya meski mereka berniat untuk melaksanakan nikah gantung. Pernikahan pada semua jenis nikah termasuk nikah gantung adalah sama pada sudut syarat sah nikah yang juga berdasarkan kepada rukunnya. Adapun tentang soal nafkah dan tanggungjawab bersama, hal tersebut mestilah mendapat persetujuan bersama pasangan suami isteri seandainya mahu dibataskan seketika seperti nafkah menyediakan tempat tinggal, memberi makan dan minum dan menyedikan pakaian, semua hal tersebut merupakan nafkah zahir yang wajib disediakan oleh suami kepada isteri. Apabila berlaku persetujuan antara suami dan isteri maka tidak timbul lah isu pengabaiaan tanggungjawab kerana telah mendapat persetujuan kedua belah pihak.




Secara umum, kita harus faham bahawa apabila termeterainya akad nikah antara pasangan suami dan isteri, maka segalanya bertukar menjadi halallah semuanya termasuk bersama antara suami dan isteri. Perkara ini sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Maka sesungguhnya kamu mengambil mereka (isteri-isteri kamu) dengan amanah Allah. Dan kamu halalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah.”

Berdasarkan kefahaman hadith ini, jelas bahawa apabila telah berlakunya aqad nikah maka segala yang haram telah Allah halalkannya termasuk halal untuk disetubuhi. Namun begitu, sekiranya nikah gantung dilaksanakan dan mereka pasangan suami isteri bersetuju untuk tidak bersama lagi kerana diatas beberapa sebab dan faktornya, maka para ulama berbeza pandangan mengenai tempoh bermulanya nafkah zahir. Menurut jumhur (majoriti) ulama, mereka berpandangan nafkah zahir hanya wajib diberi kepada isteri apabila ia menyerahkan dirinya kepada suami sedangkan nikah seperti ini masih lagi suami tidak boleh bersedap-sedap dan bersama dengan isterinya. Manakala pandangan kedu menurut mazhab zahiri sepertimana yang disebutkan oleh Imam Ibn Hazm, beliau berpandangan dengan menyatakan bahawa nafkah zahir wajib diberi tatkala berlakunya akad kerana sah menjadi suami isteri dan wajib ke atas suami menafkahkan yang zahir ke atas isterinya. Namun begitu, pasangan yang memilih untuk nikah gantung haruslah berbincang dan mendapat persetujuan bersama. Meski nikah gantung mempunyai had tertentu, ini tidak menghalang untuk mereka tetap bersama walau masih dalam tempoh nikah gantung.

Dalam perjalanan bersejarah hidup baginda Nabi Muhammad SAW, baginda pernah menikahi Aisyah RAhuma ketika Aisyah berusia enam tahun dan baginda mulai bersama dengan isterinya Aisyah ketika Aisyah berusia sembilan tahun. Hal ini sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Aisyah RAnhuma, bahawa beliau berkata yang bermaksud :

“Nabi SAW mengahwiniku saat aku berusia 6 tahun, lalu kami datang ke Madinah dan singgah di (kampung) Bani al-Harith bin Khazraj, aku menderita sakit hingga rambutku gugur. Setelah sembuh, rambutku tumbuh lebat hingga melebihi paras bahu. Setelah itu, ibuku Umm Ruman datang menemuiku, dan saat itu aku (duduk) berada di buaian bersama teman-temanku. Dia (ibuku) berteriak memanggilku dan aku datang (berlari) kepadanya. Aku tidak tahu apa yang diinginkannya daripadaku. Dia memegang tanganku lalu membawaku ke pintu rumah, dan nafasku tercungap-cungap hingga akhirnya menjadi tenang, lalu dia mengambil sedikit air dan menyapu wajah serta kepalaku, kemudian dia memasukkanku ke dalam rumah, ternyata di dalam rumah itu ada wanita-wanita Ansar. Mereka berkata: “Mudah-mudahan mendapat kebaikan dan keberkatan. Mudah-mudahan mendapat nasib yang terbaik.” Lalu ibuku menyerahkanku kepada mereka, lalu mereka merapikan penampilanku dan tidak ada yang membuatku terkejut melainkan (ketibaan) Rasulullah SAW pada waktu dhuha. Akhirnya mereka pun menyerahkanku kepadanya (Rasulullah) dan ketika itu aku berusia 9 tahun.”




Berdasarkan hadith ini, kita mendapati bahawa Rasulullah SAW menikahi isterinya Aisyah ketika usia Aisyah enam tahun dan Aisyah diserahkan oleh keluarganya kepada Rasulullah SAW untuk bersama adalah ketika Aisyah berusia sembilan tahun. Maka tidak hairanlah jika pada konteks masyarakat hari ini, ada yang memilih untuk menghalalkan dahulu hubungan sebagai suami dan isteri tetapi mahu menangguhkan dahulu soal nafkah dan tanggungjawab kerana kekangan hal-hal tertentu. Perkara sedemikian hukumnya adalah harus selagi mana mendapat persetujuan bersama antara kedua belah pihak. Demikianlah apa yang disebutkan sebagai nikah gantung. Hakikatnya pada sudut syarak, tiada istilah nikah gantung tetapi makna dan pemahaman terhadap nikah gantung itu ada pada istilah nikah khitbah. Walau apapun, ianya hanyalah perbezaan pada perkataan tetapi membawa sudut faham yang sama. Sesungguhnya pernikahan adalah suatu jalan syariat yang mulia lagi suci. Oleh itu sewajarnya kita sebagai wali dan para ibubapa memudahkan cara serta menyokong anak-anak untuk melakukan perkara kebaikan dan bukannya menyusahkan apatah lagi untuk menghalang hal yang baik tersebut. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan