Selasa, 26 Mei 2026

HUKUM MEMAKAI INAI DI JARI

 

Perhiasan adalah sesuatu yang menjadi tarikan kepada semua manusia. Perhiasan bukan sahaja diperagakan untuk menampakkan nilai-nilai kecantikan dan kekemasan, bahkan perhiasan juga memberikan keyakinan kepada diri seseorang untuk bertemu dengan orang ramai. Secara umumnya, Islam sebagai agama yang juga meraikan fitrah manusiawi mengharuskan sesuatu perhiasan itu selagi tidak melanggar peraturan hukum-hakam syarak. Ini bermakna, Islam tidak menghalang para wanita untuk bersolek, berhias, berdandan dan seumpamanya selagi perbuatan tersebut tidak dilakukan dengan cara melampaui batas dan membawa kepada pelanggaran hukum syarak. Dalam pada masa yang sama, Islam menetapkan garis panduan dan etika berpakaian sesuai dengan jantina lelaki dan perempuan. Di tengah-tengah hal tersebut, Islam melarang daripada berpakaian menyerupai lainan jantina.

Perkataan "Inai" adalah merujuk kepada nama sebuah pokok tumbuhan yang dikenali sebagai Lawsonia inermis. Merujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, perkataan inai membawa maksud sejenis tumbuhan pokok kecil yang daunnya digunakan sebagai bahan pemerah kuku dan jari. Selain itu inai juga dimaksudkan sebagai benda untuk memerahkan kuku yang dibuat daripada daun inai. Menurut kajian, pokok inai tergolongan dalam keluarga Lythraceae, iaitu nama saintifik bagi sebuah keluarga tumbuhan berbunga yang merangkumi kira-kira 620 spesis pokok, pokok renek dan herba. Fakta menarik berkait pokok inai ini ialah pada daunnya terdapat asid henotanik yang bertindak balas dengan keratin pada kuku dan rambut serta kolagen pada kulit, menghasilkan warna merah yang semula jadi. Dalam sejarah mencatatkan bahawa pokok inai telah digunakan sejak pada zaman Mesir Purba lagi. Ianya digunakan dengan tujuan sebagai pewarna kosmetik untuk kuku dan rambut dan selain menjadi agen perubatan tradisional untuk menyejukkan badan serta merawat luka.




Persoalan timbul apakah boleh memakai inai di jari ? Ini kerana telah menjadi adat dan tradisi orang melayu terdahulu apabila menjelang hari pernikahan, terdapat satu adat budaya orang terdahulu yang dikenali sebagai malam berinai. Adat ini merupakan tradisi pra-perkahwinan masyarakat Melayu di mana inai (henna) diletakkan pada jari dan kuku pengantin. Tambahan pada hari ini, seni henna menjadi sebuah perniagaan melukis inai di tangan dengan melukis corak-corak bunga-bungaan tertentu. Bagi menjawab persoalan ini, pertamanya harus dijelaskan bahawa perhiasan inai di jari adalah perhiasan bagi kaum wanita dan tidak kepada kaum lelaki. Hal ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang dinilai hasan oleh al-Albani, daripada Aisyah Ranha :

"Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam menutup tangannya lalu berkata: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?”. Jawab perempuan tersebut: “Perempuan”. Lalu Baginda berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai).”

Daripada hadith ini, dijelaskan dalam kitab 'Aun al-Ma'bud yang mensyarahkan Sunan Abu Daud, dinyatakan bahawa hadith tersebut menunjukkan kepada kaum wanita digalakkan mengenakan inai. Oleh yang demikian, para ulama dikalangan empat mazhab utama telah memberikan pandangan berkenaan hukum memakai inai bagi kaum wanita. Dalam mazhab Hanafi, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Najm al-Masri dalam kitab Bahrul Raiq Syarh Kanz Daqaiq, beliau menyebut hukumnya adalah harus pemakaian inai pada wanita sama ada ia tergolong dalam kalangan penduduk di kampung ataupun di bandar, bahkan inilah fatwa yang dijadikan amalan dalam mazhab Hanafi. Bagi mazhab Maliki pula, dijelaskan oleh al-Imam Ali Ibn Ahmed as-So'iedi al-Adawi al-Maliki dalam kitabnya Hasyiah Kifayat Tholib Rabbani, beliau menyatakan hukumnya harus kaum wanita memakai inai pada jari jemarinya dan kukunya. Dalam mazhab Syafie pula, terdapat dua pandangan utama. Bagi kaum wanita yang telah berkahwin hukumnya adalah sunat manakala bagi kaum wanita yang belum berkahwin, hukumnya makruh memakai inai di jari. Selain itu bagi mazhab Hanbali pula, makruh memakai inai di jari bagi kaum wanita tanpa hajat yang khusus kerana dibimbangi boleh menyebabkan timbulnya fitnah padanya.




Demikian perbahasan hukum memakai inai di jari bagi kaum wanita. Bagi kaum lelaki pula, para ulama menyebut bahawa hukumnya adalah haram bagi lelaki memakai inai di jari. Pengharaman ini adalah berdasarkan kepada beberapa perkara. Pertama, Islam telah mengiktiraf inai di jari adalah merupakan perhiasan yang bersifat khusus bagi kaum wanita. Ini bermakna selain wanita, maka diharamkan untuk memakainya. Kedua, Islam juga menegah, melarang dan menentang sebarang bentuk tasyabbuh (penyerupaan). Maka secara prinsip, kaum lelaki adalah dilarang menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya kaum wanita dilarang menyerupai lelaki. Dalam perbahasan fiqh, penyerupaan lelaki dan wanita itu merangkumi bentuk pakaian, perhiasan, percakapan dan suara, gaya berjalan dan gerak tubuh badan dan mengubah bentuk fizikal badan. Oleh kerana inai diiktiraf sebagai perhiasan khusus bagi kaum wanita, maka diharamkan lelaki memakai inai di jari yang boleh menyebabkan perbuatan tasyabbuh atau penyerupaan kepada wanita. Penyerupaan lainan jantina adalah sangat dilarang keras oleh Islam.

Ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ibnu Abbas Ranhuma, sabda baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

“Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.”

Berkata Imam al-San'ani dalam kitab Subul al-Salam, beliau menyebut bahawa laknat Rasulullah SAW terhadap maksiat itu menunjukkan kepada besarnya dosa tersebut. Dalil tersebut menunjukkan keharaman untuk menyerupai perempuan bagi lelaki dan sebaliknya. Begitu juga menurut Imam al-Syaukani dalam kitabnya Nail al-Autar, beliau menyebut bahawa hadith tersebut menjadi dalil akan pengharaman keatas lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki dalam pertuturan, pemakaian dan selain itu. Dalam pada itu, direkodkan dalam kitab Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami' al-Tirmizi, dinukilkan ungkapan oleh Imam al-Tabari dimana tidak boleh bagi kaum lelaki menyerupai wanita di dalam pemakaian dan perhiasan yang telah dikhaskan buat wanita dan begitulah sebaliknya tidak boleh kaum wanita menyerupai lelaki di dalam pemakaian dan perhiasan yang telah dikhaskan buat lelaki. Oleh yang demikian, jelaslah Islam melarang perbuatan tasyabbuh atau penyerupaan berlainan jantina. Memakai inai di jari oleh kaum lelaki dianggap sebagai tasyabbuh atau menyerupai kaum wanita kerana pada asalnya memakai inai di jari adalah merupakan perhiasan khusus kepada kaum wanita.




Perkara ketiga yang menjadi sebab kepada haram lelaki memakai inai di jari ialah kerana pada zaman Nabi Muhammad SAW, baginda Nabi pernah mengambil tindakan kepada seorang lelaki dengan hukuman dibuang daerah kerana mengenakan inai pada kedua tangan dan kakinya. Ini sepertimana yang dijelaskan dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang dinilai sanadnya dhaif oleh Syeikh al-Arna'uth, daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud :

"Sesungguhnya Nabi SAW telah didatangkan kepada Baginda seorang mukhannas[1] yang mana telah menginai kedua tangan dan kakinya. Maka berkata Nabi SAW: “Apa halnya dengan lelaki ini?” Maka dikatakan: “Ya Rasulullah, lelaki ini menyerupai wanita.” Lalu Rasulullah SAW mengarahkan agar lelaki tersebut dibuang daerah ke al-Naqii’. Maka mereka berkata: “Ya Rasulullah, mengapa kita tidak membunuhnya?”. Maka jawab Baginda: “Sesungguhnya aku dilarang untuk membunuh orang yang solat.”

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, adapun mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai, maka digalakkan bagi yang berkahwin dalam kalangan perempuan berdasarkan hadith-hadith masyhur padanya dan haram ke atas lelaki-lelaki (memakai inai) kecuali untuk berubat. Begitu juga menurut al-Imam al-Syarwani dalam kitabnya Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj, beliau menyimpulkan bahawa digalakkan bagi wanita yang telah berkahwin untuk berinai dan haram ke atas lelaki. Maka daripada semua penjelasan ini, dapatlah kita merumuskan beberapa perkara. Pertama, kaum wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum berkahwin diharuskan memakai inai di jari selagi tidak menimbulkan fitnah. Malah inai itu sendiri dianggap sebagai perhiasan khusus bagi kaum wanita. Kedua, adalah haram bagi kaum lelaki memakai inai di jari kecuali pada tujuan yang melibatkan kepentingan diri seperti untuk tujuan perubatan dan lain-lain. Ketiga, sesuatu perkara yang dianggap sebagai adat tradisi tidaklah lebih tinggi daripada hukum syarak. Maka mengikut syarak adalah lebih utama dan penting berbanding adat dan tradisi. Demikianlah serba ringkas mengenai hukum memakai inai di jari. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan