Rabu, 20 Mei 2026

SIAPAKAH YANG BERGELAR SAHABAT NABI ?

 

Pernahkah kita terfikir bagaimanakah nasib kita andai hidup berkeseorangan di dunia ini ? Pastinya hidup menjadi sendu, sunyi dan sepi serta membosankan. Kerana itu tabiat manusia yang normal adalah suka bersosial. Sifat semula jadi manusia memerlukan kepada pelbagai rangkaian komunikasi yang akhirnya membentuk masyarakat bersosial. Dengan demikian juga, hikmah Allah SWT menjadikan hawa bersama Nabi Adam AS memperlihatkan kepada kita bagaimana tabiat manusia itu suka akan adanya jaringan sosial yang mendorong manusia untuk saling berkasih sayang selain menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Ternyata umat manusia yang serba lemah dan kekurangan ini memerlukan jaringan sosial yang bukan sahaja sekadar menghilangkan sunyi dikala sepi dan merawat luka dikala duka bahkan menjadi tempat bersandar berkongsi rasa serta meraih kekuatan dalam menempuhi ombak kehidupan. Itulah namanya sahabat, kawan, rakan dan taulan.

Perkataan "Sahabat Nabi" bukanlah merujuk kepada sahabat yang biasa-biasa. Ini kerana ada dikalangan para sahabat Nabi SAW yang ramai ini telah dijanjikan syurga oleh Allah Azza Wa Jalla. Ini menunjukkan mereka yang bergelar sahabat Nabi bukan biasa-biasa. Perkataan "Sahabat" itu sendiri berasal dari kalimah bahasa Arab yang disebut dengan kata assahabah (الصحابة). Menurut ahli bahasa iaitu al-Fairuzabadi, beliau menyebut dalam kitabnya Kamus al-Muhit, perkataan sahabat merujuk kepada maksud berkawan atau mengajaknya untuk bersama dan berserta dengannya sebagai teman. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan sahabat membawa maksud kawan, teman dan taulan. Berdasarkan kepada sudut bahasa, ungkapan sahabat boleh kita simpulkan sebagai ikatan kemanusiaan diatas nama kawan, teman dan rakan. Pun begitu, perkataan "Sahabat Nabi" pada sudut istilah memiliki makna dan terma yang khusus dan ianya tidak sama seperti sahabat yang kita fikirkan.




Perkataan Sahabat Nabi memiliki definisi yang pelbagai yang telah dikemukakan oleh beberapa para ilmuan Islam. Seperti contoh, menurut Imam Bukhari, sahabat Nabi bermaksud sesiapa yang bersahabat dengan Nabi SAW ataupun melihatnya dari kalangan muslim, maka dia adalah dikalangan para sahabat baginda Nabi SAW. Sebahagian para ulama menetapkan bahawa seseorang itu layak menjadi sahabat Nabi SAW dengan kadar tempoh masa lamanya mereka bersama Nabi serta sering menghadiri majlis ilmu baginda Nabi. Namun begitu, sebahagian para ulama yang lain pula menyebut bahawa mereka yang hanya bertemu serta melihat baginda sekadar sebentar sahaja sudah layak dianggap sebagai sahabat Nabi SAW. Ini disandarkan kepada ungkapan oleh Ibnu Hanbal yang diriwayatkan oleh al-Khatib, bahawa beliau berkata :

"Aku mendengar Ibnu Hanbal menerangkan mengenai para sahabat Nabi yang terdiri dari kalangan ahli Badar, beliau berkata : " Sebaik-baik manusia adalah ahlu badar dari kalangan para sahabat Nabi adalah mereka yang hidup di kurun itu dan merasai zaman risalah. Setiap dari mereka yang berdampingan dengan Baginda sama ada setahun, sebulan, sehari atau sesaat atau sekadar melihatnya sahaja, maka mereka tergolong dari kalangan sahabatnya. Mereka berhak mendapat hak persahabatan sekadar perdampingan mereka bersama Baginda,mendengar perkataannya dan melihat kearahnya".

Dalam pada itu, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyebut dalam kitabnya Nukhbat al-Fikar, beliau merumuskan bahawa sahabat itu ialah mereka yang sempat bertemu dengan Nabi SAW, beriman dengan baginda Nabi dan mati dalam keadaan Islam. Berdasarkan rumusan kemas oleh Ibnu Hajar al-Asqalani ini maka tentu sekali menjawan persoalan tentang kedudukan Raja Najasyi yang tidak digelar sahabat Nabi walhal baginda raja beriman dengan Nabi. Raja Najasyi tidak digelar sebagai sahabat Nabi kerana baginda raja tidak sempat bertemu dengan Nabi meski baginda raja beriman dengan Nabi dan meninggal dunia dalam keadaan dirinya sebagai orang Islam. Selain itu, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani turut menegaskan persoalan mesti mati dalam keadaan beriman adalah kerana terdapat sesetengah sahabat yang pernah bertemu dan beriman dengan Nabi kembali murtad dan mati dalam keadaan kufur. Perkara ini berlaku kepada Abdullah bin Khatal yang melarikan diri ke kota Makkah uintuk meminta perlindungan kaum Quraisy setelah murtad dari Islam. Akhirnya beliau dihukum bunuh oleh Nabi Muhammad SAW.




Para sahabat Nabi SAW adalah merupakan generasi dan kelompok umat manusia yang dimuliakan oleh Allah SWT. Di dalam al-Quran, Allah Azza Wa Jalla merakamkan banyak ayat-ayat yang memberikan penghormatan terhadap mereka. Sebagai contoh, Allah SWT berfirman menerusi surah al-Taubah ayat 10 yang bermaksud :

"Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama- tama (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah, dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai sungai di bawahnya. Mereka kekal selama-lamanya di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar."

Begitu juga dalam ayat yang lain, Allah Azza Wa Jalla memuji mereka yakni para sahabat Nabi dengan sanjungan umum yang indah. Ini sebagaimana yang tercatat dalam surah al-Fath ayat 29, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :

"Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang- orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang- orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaan- Nya, tanda-tanda mereka tampak pada wajah mereka daripada bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, yaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya karena Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh di antara mereka keampunan dan pahala yang besar."

Selain itu, dalam ayat yang lain juga Allah SWT menjelaskan mengenai kelebihan kaum Muhajirin dan kaum Ansar, memperlihatkan betapa tinggi kedudukan dan martabat mereka di sisi Allah Jalla wa 'Ala. Lihatlah firman Allah SWT di dalam surah al-Hasyr ayat 8 hingga 9, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurniaan daripada Allah dan keredhaanNya dan mereka menolong Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang yang benar. Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin). mereka (Ansar) 'mencintai orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung."




Demikian sebahagian dari ayat-ayat al-Quran yang memperlihatkan kepada kita pujian dan sanjungan tinggi oleh Allah SWT kepada mereka semua yang bergelar sahabat Nabi SAW. Hakikatnya, kita dilarang dan ditegah daripada mencela, menghina dan memaki hamun para sahabat Nabi. Dalam hal ini, baginda Nabi Muhammad SAW telah memberi peringatan keras dengan melarang sesiapa pun mencela para sahabatnya. Hal ini sebagaimana yang direkodkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, dari Abu Sa'id al-Khudri RA, beliau berkata :

"Rasulullah SAW telah bersabda : "Janganlah kalian mencela sahabat-sahabatku. Seandainya salah seorang dari kalian bersedekah emas seperti Gunung Uhud, tidak akan menyamai satu mud (sedekah) salah seorang dari mereka dan tidak pula setengahnya".

Berdasarkan hadith ini, jelaslah bahawa para sahabat Nabi memiliki kedudukan dan martabat yang begitu tinggi dan mulia sehingga dilarang keras oleh baginda Nabi daripada menghina dan mencela mereka. Demikianlah serba sedikit penjelasan mengenai siapakah yang dimaksudkan dengan sahabat Nabi SAW. Sebagai orang yang beriman, kita bertanggungjawab untuk mempertahankan kemuliaan para sahabat Nabi SAW. Janganlah ada dikalangan kita orang Islam mempersenda serta merendahkan kedudukan mereka yang dimuliakan oleh Allah ini. Sesungguhnya mereka adalah merupakan orang pertama yang berjuang bersama baginda Nabi Muhammad SAW menyebarkan Islam ke serata dunia. Tidak akan terbalas oleh kita untuk membayar akan segala titik peluh dan keringat pengorbanan mereka dalam memperjuangkan Islam. Semoga segala yang mereka telah perjuangkan ini dapat diteruskan oleh generasi demi generasi sehingga dunia ini tamat. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan