Dinamik masyarakat di negara ini sudah hampir mencapai usia tujuh
dekad lamanya. Menyelami dan menghayati perjalanan liku-liku hampir tujuh dekad
ini mencatatkan pelbagai memori yang terukir bersama detik-detik suka dan duka
terlakar. Dalam deruan ombak perpaduan yang dibina, kadang kala diusik dengan
isu-isu perkauman dan agama. Salah faham yang terjadi menjadi kian marak api
kekecohan apabila ada sahaja pihak yang mengambil kesempatan menunggang isu-isu
terbabit untuk publisiti politik murahan. Disebalik kekecohan isu-isu
sensitiviti agama yang berbangkit, sebagai umat Islam seharusnya tampil untuk
menerang terlebih dahulu dan bukannya mendahului tindakan dengan menyerang.
Dalam erti kata lain, usaha dakwah yang berterusan perlu dijadikan agenda utama
dalam negara. Salah faham yang timbul barangkali dibina diatas pemahaman dan
persepsi yang salah terhadap Islam. Maka menjadi tanggungjawab orang Islam
menerangkan tentang Islam kepada mereka yang bukan beragama Islam.
Dalam suasana masyarakat majmuk hari ini, tidak kurang ramai juga
dikalangan orang bukan beragama Islam tertanya-tanya atau sekurang-kurangnya
timbul kehairanan dalam diri mereka, mengapa orang Islam sejak zaman berzaman
selalu, suka dan gemar mengajak orang bukan Islam untuk memeluk Islam ? Persoalan
ini barangkali tercetus dibenak hati mereka apabila melihat pelbagai gerak dan
usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO)
Islam dan badan-badan kerajaan terbabit yang lain, menggerakan program-program
dakwah yang mempunyai tujuan dan sasarannya yang tersendiri selain sentiasa
memperkasakan usaha dakwah di pelbagai peringkat. Kehairanan ini telah
menjadikan segelintir masyarakat bukan Islam melihat orang Islam seperti mahu
memaksa mereka untuk memasuki Islam. Bagi menjawab persoalan ini, kita semua
khususnya orang bukan beragama Islam perlu terlebih dahulu memahami bahawa
orang Islam dilarang dan ditegah daripada memaksa orang bukan Islam untuk
memasuki Islam. Larangan ini juga ditegaskan oleh Allah SWT melalui al-Quran,
menerusi surah al-Baqarah ayat 256, dimana Allah Azza Wa Jalla berfirman yang
bermaksud :
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah
nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”
Berdasarkan ayat ini, jelaslah bahawa sesungguhnya Allah SWT yang
merupakan juga Tuhan untuk sekalian alam ini, melarang perbuatan mana-mana
hamba Nya memaksa orang kafir memeluk agama Islam. Telah berkata seorang
sarjana Islam yang terkenal dalam bidang tafsir al-Quran, Imam Ibnu Kathir,
beliau turut menegaskan mengenai ayat ini dalam kitab tafsirnya dengan beliau
menyebut tidak ada yang dipaksa untuk memeluk agama Islam kerana telah jelas
dan tegas tanda dan bukti kebenaran Islam sehingga tidak perlu lagi memaksa
seseorang untuk memeluk agama Islam. Orang yang diberi hidayah oleh Allah SWT
untuk menerima Islam, lapang dadanya dan dicerahkan pandangannya sehingga ia
memeluk Islam dengan alasan yang pasti. Namun orang yang hatinya dibutakan oleh
Allah SWT dan ditutup hati serta pandangannya, tidak ada manfaatnya memaksa
mereka untuk masuk Islam. Demikian ungkapan oleh Ibnu Kathir. Maka mereka yang
terdiri daripada masyarakat bukan Islam tidak perlu risau dan bimbang apabila
diajak mengenal Islam kerana sesungguhnya orang-orang Islam tidak boleh sama
sekali memaksa mana-mana orang bukan Islam memasuki Islam.
Selain itu, orang bukan Islam juga seharusnya tahu dan faham dengan
jelas bahawa Allah yang disembah oleh orang Islam bukanlah Tuhan untuk kaum dan
bangsa tertentu. Dalam kata lain, Allah itu bukanlah Tuhan untuk orang melayu
semata-mata. Allah, Tuhan yang Maha Esa adalah tuhan untuk sekalian alam ini.
Allah adalah tuhan kepada seluruh makhluk termasuk umat manusia merentasi kaum,
agama, bangsa dan negara. Dalam al-Quran menerusi surah al-Fatihah ayat pertama,
Allah Azza Wa Jalla telah memperakui akan diri Nya adalah Tuhan sekalian alam.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan
mentadbirkan sekalian alam"
Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa diri Nya adalah
Tuhan pencipta, pemilik, pemelihara dan pentadbir bagi seluruh alam ini. Allah
yang disembah oleh orang Islam yang berbangsa melayu adalah Allah yakni Tuhan
yang sama yang disembah oleh orang Islam berbangsa cina, india dan lain-lain. Tiada
bezanya dan seluruh umat Islam tanpa mengira kaum, bangsa dan negara, walau
berada di pelusuk dunia mana sekalipun tanpa terkecuali, semuanya menunduk,
taat dan patuh pada Tuhan yang sama iaitulah Allah SWT Tuhan bagi seluruh alam
ini. Begitu juga bagi agama Islam. Orang bukan Islam harus tahu dan faham
bahawa agama Islam bukanlah agama untuk bangsa melayu tetapi agama Islam adalah
agama untuk semua umat manusia merentasi kaum, bangsa dan negara. Memasuki
agama Islam tidak bermakna perlu menjadi orang melayu. Agama Islam tidak
sesekali datang untuk menghilangkan status bangsa dan kaum asal. Agama Islam
datang sebagai agama dari Tuhan untuk menyatukan umat manusia merentasi
pelbagai perbezaan kaum dan bangsa. Islam tidak menentang kaum tetapi Islam
menentang kesyirikan kepada Tuhan yakni Allah SWT.
Berbalik kepada persoalan yang berbangkit, mengapa orang Islam suka
mengajak orang lain memasuki Islam ? Jawapannya adalah kerana menurut
kepercayaan orang Islam, agama Islam adalah satu-satunya agama yang paling
benar dan agama Islam merupakan jalan yang membimbing kehidupan umat manusia
menuju ke syurga Allah yang kekal abadi selamanya. Oleh kerana orang Islam amat
percaya bahawa Islam adalah agama yang paling benar, maka menjadi tanggungjawab
dan peranan orang Islam menyampaikan ajaran Islam kepada mereka yang bukan
beragama Islam. Seruan menyampaikan ajaran Islam ini juga disuruh dan
diperintahkan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran. Allah SWT menyebut
dalam surah al-Nahl ayat 125, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan
pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya
Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya
dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk"
Melalui ayat ini, Allah SWT memerintahkan kepada orang yang beriman
supaya melakukan usaha dakwah dengan menyampaikan ajaran Islam secara berhikmah
(bijaksana), dan juga mengajarkan mereka tentang Islam dengan cara yang baik
selain memastikan sekiranya perlu berbahas dan berdiskusi, maka berbahas dan
berdiskusilah dengan mengambil sikap yang baik. Demikian juga peranan yang
dilakukan oleh para Nabi dan Rasul termasuklah penutup sekalian para Nabi dan
Rasul iaitu baginda Nabi Muhammad SAW. Baginda Nabi Muhammad telah diajar untuk
menjalankan usaha dakwah dengan menyeru umat manusia dengan cara dan jalan yang
baik. Maka jelas kepada kita bahawa orang Islam suka mengajak orang bukan Islam
memasuki Islam dengan pelbagai cara adalah kerana itulah tuntutan agama selain
hakikatnya juga orang Islam itu sendiri suka berkongsi perkara yang baik. Kalau
ditanya kenapa orang Islam suka berdakwah ? Tidak bolehkah dirinya menjadi
Islam secara berseorangan tanpa perlu menyebarkan kepada orang lain ?
Jawapannya ialah orang Islam berdakwah kerana wajib bagi orang
Islam membantu sesama manusia. Maka dengan menyebarkan Islam berkongsi tentang
Islam, sekurangnya-kurangnya mereka yang beragama Islam yang berdakwah telah
membantu mereka yang bukan beragama Islam untuk memahami dan mengetahui jalan
yang paling selamat untuk dunia dan akhirat iaitulah dengan jalan memeluk agama
Islam. Apakah yang lebih mustahak daripada keselamatan di akhirat ? Pastinya
tiada yang lebih penting selain berusaha menyelamatkan diri manusia di akhirat
kelak. Itulah sebab mengapa orang Islam berdakwah dengan menyebarkan Islam dan
mengajak orang bukan Islam memasuki Islam. Seperti sebuah analogi mudah, di
dalam hutan yang tebal, terdapat sekumpulan kecil manusia tersesat. Maka kita
sebagai individu yang tahu selok-belok jalan keluar yang selamat, pastinya mahu
membantu mereka yang tersesat tadi agar dapat menemui jalan pulang dengan
selamat. Maka kita pun menolong mereka dengan membimbing mereka ke jalan atau
laluan pulang yang selamat. Begitulah dakwah, mengajak manusia ke jalan yang
selamat, yang diredai oleh Allah SWT.
Selain itu, orang Islam suka mengajak orang lain memasuki Islam
adalah kerana mahu mendapatkan ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Sesungguhnya
amatlah besar ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT bagi sesiapa yang
dapat menunjukkan sesuatu kebaikan kepada orang lain. Ini sebagaimana yang
terdapat dalam sebuah hadith Nabi SAW riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA,
bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Barangsiapa yang menyeru (seseorang) kepada hidayah, baginya
ganjaran sepertimana ganjaran orang yang mengikutinya tanpa mengurangi
sedikitpun daripada ganjaran mereka (yang melakukan).”
Begitu juga dalam hadith lain riwayat Bukhari, Nabi SAW menjelaskan
dengan bersumpah dengan nama Allah, apabila Allah memberi petunjuk kepada seseorang
melalui dakwah yang kita laksanakan, hal itu lebih baik dan lebih bernilai bagi
kita daripada memiliki unta merah. Maksudnya, apabila kita berjaya mengislamkan
seseorang, maka ganjaran pahala yang lebih besar Allah akan berikan yang mana
ganjaran pahala tersebut lebih bernilai daripada harta yang sangat berharga.
Demikianlah sedikit sebanyak penjelasan bagi menjawab persoalan dan meleraikan
kebingungan dan kehairanan orang bukan Islam apabila melihat orang Islam suka
mengajak orang bukan Islam memeluk agama Islam. Sesungguhnya Islam adalah agama
yang membawa intipati kesejahteraan, keamanan, kedamaian selain keselamatan
hidup di dunia dan juga di akhirat kelak. Jika kita benar-benar menghayati
intipati ajaran Islam sebenar, nescaya kita akan merasai akan keindahan hidup
sebagai bergelar muslim. Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni kita semua.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan