Rabu, 25 Februari 2026

LARANGAN MEMBAZIR DALAM KEHIDUPAN

 

Kehidupan manusia saban hari memperlihatkan kepada kita akan kemajuan yang semakin berkembang pesat. Keupayaan manusia pada hari ini sudah jauh berbeza dengan apa yang ada pada zaman dahulu. Hari ini segalanya mudah dengan menggunakan jari. Aktiviti "window shopping" atau cuci mata untuk membeli-belah sudah tidak lagi memerlukan pergerakan secara fizikal. Memadai dengan menggunakan hujung jari sahaja. Begitu juga untuk membeli makanan, tanpa perlu hadir ke kedai pun boleh membuat pesanan melalui khidmat penghantaran makanan terus ke rumah. Pada masa yang sama, kecanggihan teknologi hari ini memperlihatkan kepada kita bahawa telefon bimbit bukan lagi sekadar berfungsi sebagai alat telekomunikasi tetapi telah menjadi sebagai alat rakaman gambar dan video dengan kecanggihan kamera yang ada. Melihat kepada semua yang terjadi ini, manusia terpaksa bertarung dengan diri sendiri dan terhimpit antara keperluan dan kehendak dalam usaha memenuhi tuntutan kehidupan. Sedar atau tidak, hal ini telah mendorong kita untuk melakukan pembaziran dalam kehidupan.

Perkataan "Membazir" bukanlah suatu istilah asing bagi kalangan masyarakat. Membazir merujuk kepada suatu sikap negatif yang merangkumi pelbgai aspek kehidupan. Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, membazir membawa maksud berlebih-lebihan sehingga terbuang. Dalam salah satu karya terpenting oleh al-Marhum Dr. Yusuf al-Qaradawi yang berjudul Daur al-Qiyam wal Akhlak fil Iqtishad al-Islami, beliau menyatakan bahawa pembaziran berasal dari perkataan Arab yang membawa erti menggunakan harta tanpa faedah dan tanpa pahala atau tersalah menetapkan hak pemberian. Selain itu, Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya, ketika membicarakan mengenai maksud pembaziran, beliau menukilkan pendapat Qatadah dalam mendefinisikan maksud pembaziran. Menurut Qatadah, pembaziran ialah perbelanjaan pada perkara-perkara maksiat yang ditegah Allah dan yang bukan hak atau perkara-perkara yang buruk.




Sementara itu menurut Mujahid pula, beliau menyebut sekiranya seseorang itu membelanjakan hartanya sebesar gunung dalam keadaan taat kepada Allah maka ia tidaklah termasuk orang-orang yang melampaui batas dan sekiranya ia membelanjakan satu dirham dalam kemaksiatan kepada Allah maka ia termasuk di antara orang-orang yang melampaui batas. Selain itu, Sayyid Qutb dalam kitab tafsirnya Fi Zilalil Quran, beliau menyatakan bahawa Ibnu Mas'ud dan Ibnu Abbas RAnhuma menafsirkan pembaziran itu ialah berbelanja kepada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah). Justeru, boros dan berlebih-lebihan dalam berbelanja juga dianggap sebagai membazir. Secara ringkas, ungkapan pembaziran boleh difahami sebagai suatu perbuatan yang bersifat berlebih-lebihan merangkumi semua sudut kehidupan. Membazir bukan sahaja tertakluk kepada perkarakebendaan semata-mata seperti wang, pakaian dan makanan malah pembaziran juga boleh berlaku secara tidak nampak seperti pembaziran tenaga, masa dan perasaan. Sesungguhnya Islam yang datang sebagai agama bersifat wahyu, telah mengingatkan umat manusia akan ancaman dari bersikap membazir tersebut. Dalam hal ini, Allah Azza Wa Jalla dengan penuh ketegasan, menyamakan mereka yang melakukan pembaziran sebagai saudara iblis dan syaitan. Ini sepertimana yang ada di dalam al-Quran, Allah Azza Wa Jalla berfirman dalam surah al-Isra' ayat 26 hingga 27 yang bermaksud :

"Janganlah kamu membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya".

Secara literalnya, kita dapat lihat betapa tegas dan murkanya Allah SWT kepada para hamba Nya yang melakukan pembaziran. Dalam menafsirkan maksud ayat tersebut, Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya menjelaskan bahawa maksud saudara syaitan adalah seperti menyerupai sifat mereka yakni syaitan yang suka membazir dan boros. Ketegasan dalam hal ini juga turut dizahirkan oleh Rasulullah SAW melalui sebuah hadith berstatus dhaif tetapi sahih sanadnya pada makna, riwayat Ibn Majah, daripada Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash RAnhuma, beliau berkata yang bermaksud :

"Sesungguhnya Rasulullah SAW lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini ?” Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf ? Lalu baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir".




Bagi memahami makna yang jelas pada hadith ini, Syeikh Mulla Ali al-Qari dalam kitab Mirqat al-Mafatih menyebutkan bahawa beliau yakni Sa'ad berlebihan (israf) dalam sama ada dalam perbuatan wuduk seperti menambah dari tiga kali basuhan, ataupun israf pada kadar seperti menambah lebih dari kadar yang diperlukan dalam penggunaan air. Beliau menyebutkan lagi bahawa tidak ada kebaikan pada israf (berlebihan), dan tidak ada israf pada kebaikan. Beliau (Abdullah bin Amru) menyangka bahawa tidak ada israf pada hal ketaatan dan ibadah. Lalu baginda bersabda: “Ya ada israf padanya. Sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”. Hal ini kerana pada perbuatan tersebut terdapatnya israf pada waktu dan pensia-siaan terhadap umur atau melampau had syar’ie (dalam wuduk) seperti yang telah disebutkan. Demikian ulasan maksud hadith oleh Syeikh Mulla Ali al-Qari. Berdasarkan penjelasan tersebut, sebahagian ulama menjelaskan bahawa israf dan membazir itu adalah suatu perkataan yang sama maksudnya. Namun menurut al-Jurjani dalam kitabnya kitab al-Ta'rifat, beliau menyatakan bahawa israf merupakan penggunaan ke atas sesuatu yang perlu secara berlebihan dari kadar keperluan. Manakala membazir pula penggunaan ke atas sesuatu yang tidak perlu.

Hakikatnya, pembaziran boleh berlaku dalam semua keadaan, baik dalam perkara maksiat mahupun dalam perkara ketaatan. Barangkali ramai yang tidak sedar dan tahu bahawa perbuatan membazir tidaklah terjadi semata-mata pada perkara yang berbentuk maksiat malah sikap membazir juga boleh berlaku atau terjadi dalam perkara ketaatan kita kepada Allah. Sebagai contoh, membazir ketika membeli juadah makanan untuk berbuka puasa. Meskipun berbuka puasa adalah ibadah yang dimuliakan bahkan dituntut untuk bersegera berbuka puasa, tetapi sekiranya berbuka puasa dengan juadah yang banyak dan tidak habis dijamah, perbuatan tersebut akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Begitu juga pembaziran ketika mengambil wuduk. Penggunaan air yang banyak ketika berwuduk sehingga pembaziran berlaku, hal tersebut juga boleh mengundang kemurkaan Allah. Apatah lagi pembaziran dalam perkara kemaksiatan seperti berjudi, melanggan pelacur, membeli minuman arak dan seumpamanya. Selain itu, pembaziran juga tidak boleh dinafikan dengan perbuatan berbelanja pada perkara yang sia-sia. Misalnya seperti membeli mercun yang langsung tiada faedah bahkan ibarat seperti membakar duit sendiri sahaja.




Pembaziran juga boleh berlaku melalui aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak, merokok dan lain-lain. Sikap suka melepak hingga tidak terbatas waktunya secara tidak langsung telah mensia-siakan peruntukkan masanya sendiri. Begitu juga dengan mereka yang suka merokok, dirinya sendiri ibarat mensia-siakan kesihatannya dengan bersikap khianat pada diri memasukkan racun ke dalam tubuh badannya dengan relanya. Begitulah juga kadang sebahagian masyarakat membazirkan perasaan emosinya dengan melayan berita-berita yang tidak memberi tambah nilai pada dirinya. Demikianlah Islam melarang umatnya daripada bersikap membazir dalam apa jua aspek kehidupan. Ingatlah bahawa tiap-tiap pembaziran yang dilakukan kelak akan dipersoalkan oleh Allah Azza Wa Jalla. Hayatilah pesanan dan peringatan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith berstatus hasan riwayat Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Tidak akan berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehinggalah dia disoal tentang empat perkara. Mengenai umurnya kemanakah dihabiskan umurnya? Mengenai ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari sumber manakah dia perolehi dan jalan manakah dia belanjakan? Dan tentang tubuh badannya, apakah yang telah dia lakukan?”

Melalui hadith ini, insaflah kita dengan apa yang sedang kita nikmati ini. Harta, umur, pangkat dan darjat, semuanya tidak akan terlepas daripada perhitungan oleh Allah Azza Wa Jalla. Oleh itu, marilah kita bersama melihat ke dalam diri, sejauh mana kita telah memanfaat pelbagai nikmat yang Allah SWT kurniakan ini. Kemana kita berbelanja harta kita, kemana pula kita gunakan usia yang ada ini untuk mencari kebaikan dan menolak keburukan, bagaimana pula kita manfaatkan ilmu yang ada. Kesemua yang kita miliki ini adalah pinjaman oleh Allah yang mana kita sendiri akan dipertanggungjawabkan. Maka dengan penuh ketegasan, Islam amat menentang golongan manusia yang suka membazir baik pembaziran itu berlaku pada soal usia, tenaga, harta, kedudukan, pangkat mahupun peruntukkan masa yang sentiasa berputar meninggalkan sejarahnya. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan