Penciptaan langit yang tinggi tidak bertiang dan bumi yang luas
terbentang tiada sempadan bukti keagungan dan kehebatan sang penciptanya
iaitulah Allah Azza Wa Jalla. Langit yang tinggi dihiasi pada malamnya dengan
keindahan gemerlapan bintang selain pada siangnya pula terpancar sinaran suria
matahari yang menghangatkan suasana warga bumi. Jika direnung dengan penuh
keinsafan, betapa halus dan berseninya ciptaan Allah SWT ini. Dari
sebesar-besar ciptaan sehinggalah sekecil-kecil ciptaan Nya. Kesemuanya
mendorong manusia untuk terus menggali khazanah alam ini, mengkaji dan
menyelongkar rahsia dan keajaiban alam ini. Disebalik kepelbagaian ciptaan
Allah yang penuh berseni ini, manusia mendapat pelbagai manfaat melaluinya seperti
penerokaan ilmu sains yang mengkaji alam ini termasuklah ilmu yang dikenali
sebagai ilmu falak.
Perkataan "Falak" berasal daripada bahasa
Arab. Pada sudut bahasa, ungkapan falak merujuk kepada maksud laluan
jasad-jasad langit atau dalam istilah lain dikenali sebagai orbit. Selain itu,
perkataan falak juga boleh difahami dengan makna tempat perjalanan
planet-planet. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ungkapan falak membawa maksud
bulatan langit, lengkung langit atau cakerawala. Maka berdasarkam definisi yang
dikemukakan, dapat kita rumuskan bahawa perkataan falak adalah merujuk kepada
sesuatu objek yang berada di langit. Sementara itu, ilmu falak pula boleh
difahami sebagai suatu ilmu yang berkaitan dengan kedudukan benda-benda di
langit seperti matahari, bulan, bintang dan sebagainya. Selain itu, kita juga
boleh menyifatkan bidang atau keilmuan falak ini sebagai satu bidang kajian
yang bertujuan untuk mengetahui kedudukan, peredaran, pergerakan, perihal serta
fenomena-fenomena jasad di langit seperti bintang, matahari dan bulan.
Dalam al-Quran melalui firman Allah SWT, terdapat beberapa ungkapan
falak (فلك) yang merujuk
kepada maksud peredaran, kedudukan dan pergerakan. Ini sebagaimana yang
terdapat di dalam surah Yasin ayat 40, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam
pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis
edarnya".
Begitu juga di dalam surah al-Anbiya' ayat 33, Allah Azza Wa Jalla
berfirman yang bermaksud :
"Dan Dia lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang,
serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat
edaran masing-masing (di angkasa lepas)".
Sebelum dikenali dengan istilah falak, satu istilah lain telah
muncul yang juga hakikatnya merujuk kepada bidang ilmu falak. Istilah tersebut
ialah astronomi. Dalam catatan awal sejarah manusia, ilmu astronomi mulai
muncul dan berkembang luas tertumpu kepada beberapa tamadun awal manusia iaitu
tamadun Maya, Sumeria, Babylon, Yunani dan China. Sejarah tertulis pada
kira-kira 2000 tahun sebelum Masihi, kaum Assyrian di Sumeria (selatan Iraq)
merekodkan kejadian gerhana yang berlaku di tempat mereka melalui artifak dan
lukisan purba. Sebenarnya terdapat perbezaan yang jelas di antara astornomi pada
zaman tamadun Islam dengan astonomi pra tamadun Islam. Perbezaan yang jelas ini
berlaku kerana inspirasi dan tujuan asal kajian ilmu astronomi pada zaman pra
tamadun Islam berlainan dengan inspirasi awal kajian astronomi zaman tamadun
Islam. Pada zaman sebelum kedatangan Islam seperti tamadun pra-Yunani, telah
muncul pelbagai pengaruh falsafah terhadap ilmu astronomi pra-Islam.
Sebagai contoh, pandangan Yunani terhadap kejadian alam ini
menyifatkan dunia diibaratkan sebagai suatu keseluruhan yang tersusun dan
teratur iaitu sebuah kosmos. Pandangan ini hakikatnya bercanggah dengan apa
yang disebutkan di dalam al-Quran. Selain itu, perkembangan ilmu astronomi ini
kemudiannya mencatatkan beberapa kejayaan lain. Pada abad ke-3 sebelum Masihi,
Aristarkhos dari Samos telah menempa nama sebagai orang pertama yang berjaya
melakukan perhitungan atas ukuran bumi serta jarak antara bumi dan bulan yang
kemudiannya mengajukan model Tata Surya yang heliosentris. Sejurus itu muncul
lah lagi beberapa ahli astronomi lain yang turut berjaya menempa nama dengan
beberapa lakaran kejayaan baru. Dalam konteks ilmu falak yang juga disebut
dengan istilah astronomi Islam, para sarjana Islam telah menterjemah banyak
karya-karya Yunani kepada bahasa Arab. Selain karya dari Yunani, turut
diterjemahkan juga beberapa karya dari Parsi, Syria dan India.
Hasil ketekunan dan kegigihan para sarjana Islam di dalam usaha
menterjemahkan pelbagai karya bidang astronomi pada ketika itu, akhirnya
lahirlah beberapa nama tokoh besar dalam bidang astronomi Islam seperti
al-Battani, beliau yang bertanggungjawab memperkenalkan ilmu trigonometri,
suatu ilmu cabang matematik yang mengkaji hubungan antara sudut dan sisi segi
tiga terutamanya segi tiga bersudut tegak. Selain itu, muncul juga seorang ilmuan
falak bernama Muhammad al-Fazari, beliau yang bertanggungjawab memperkenalkan
alat astrolobe, suatu jenis alat yang berfungsi untuk mengukur altitud bintang,
matahari dan sebagainya. Begitu juga lahirlah nama besar lain seperti al-Biruni
yang telah menghasilkan sebuah karya terpenting berjudul al-Qanun
al-Mas'udi, sebuah ensiklopedia astronomi yang ditulis pada tahun 421
hijrah/1030 masihi. Pada konteks perkembangan ilmu falak di Tanah Melayu,
dicatatkan bahawa ilmuan falak terawal yang bertanggungjawab mengajar ilmu
tersebut ialah al-Marhum Syeikh Muhammad Tahir Jamaluddin al-Falaki al-Azhari.
Beliau merupakan ahli falak yang telah menerima pendidikan berkaitan ilmu
tersebut di Universiti al-Azhar, Mesir. Karya terawal beliau berjudul Pati
Kiraan, telah banyak menjelaskan mengenai cara pengiraan waktu solat dan
arah kiblat.
Secara umumnya, ilmu falak sangat penting bagi umat Islam khususnya
dalam usaha untuk menentukan tarikh, bulan selain meneliti kejadian alam yang
lain. Tanpa adanya ilmu falak, maka sukar bagi umat Islam menentukan arah
kiblat, mengira waktu solat dan sebagainya. Beberapa kepentingan ilmu falak
boleh kita sebutkan antaranya ialah ilmu falak penting sebagai bukti akan tanda
kewujudan Allah Azza Wa Jalla serta memperlihatkan keagungan kebesaran Nya. Ini
kerana melalui ilmu falak, manusia boleh memahami dan mengkaji mengenai
pergerakan matahari, bulan dan bintang. Perubahan pergerakan ini telah
menjadikam bumi adanya waktu siang dan malam. Ini juga sebagaimana berlandaskan
kepada firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah Ali-Imran ayat 190
hingga 191, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada
pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan
keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (190) (Iaitu) orang-orang
yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa
mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit
dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan
benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari
azab neraka. (191)".
Selain itu, ilmu falak juga sangat penting untuk umat Islam
khususnya kerana bertujuan untuk memudahkan urusan melakukan ibadah kepada
Allah SWT. Hakikatnya, pelaksanaan ibadah yang diperintahkan oleh Allah Azza Wa
Jalla mempunyai kaitan dengan fenomena-fenomena alam yang terjadi seperti
contoh pergerakan bumi, matahari dan bulan. Setiap pergerakan yang berlaku
pastinya mempunyai batasan-batasan waktu yang tertentu sekaligus dapat
menentukan waktu bagi menunaikan solat. Begitu juga bagi tujuan ibadah lain
seperti ibadah puasa di bulan Ramadan yang memerlukan kepada penampakkan anak
bulan dan lain-lain. Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran menerusi surah
al-Baqarah ayat 189, firman Nya yang bermaksud :
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai
(peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu
menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji".
Ilmu falak juga sangat penting sebagai petunjuk dan sumber rujukan
bagi manusia dalam menghadapi kehidupan seharian. Melalui ilmu falak, umat
manusia secara amnya dapat mengetahui arah tempat, waktu serta kalendar hijri.
Misalnya, pada zaman dahulu, para pelayar atau para musafir dahulunya
menggunakan arah tiupan angin, bintang-bintang di langit dan kedudukan
gunung-ganang bagi mengetahui arah untuk menuju ke suatu tempat yang hendak
dituju. Selain pada itu, bidang pertanian juga sangat bergantung kepada ilmu
falak bagi menentukan gerak kerja pertanian seperti pembajaan, penyulaman padi
dan lain-lain. Dalam hal ini, Allah SWT menjelaskan akan kekuasaan Nya yang
mengatur alam semesta ini. Allah SWT menyatakan dalam surah al-'Araf ayat 54 yang
bermaksud :
"Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit
dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam
dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang
menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada
perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan
(sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan
mentadbirkan sekalian alam".
Demikianlah sebahagian kecil pengenalan mengenai ilmu falak dan
kepentingannya dalam kehidupan seharian manusia. Sesungguhnya setiap ilmu yang
baik itu adalah ilmu yang memberikan manfaat kepada manusia selain mendekatkan
kita kepada sang Pencipta. Walau sekecil-kecil perkara, tiap-tiap yang diciptakan
itu tiada yang bersifat sia-sia. Pada hakikatnya, ilmu falak telah banyak
menyelamatkan umat manusia daripada tenggelam dalam falsafah alam yang menipu
dan cuba memberikan khayalan yang tidak pasti tentang kejadian alam ini. Begitu
juga ilmu falak telah menjadi benteng kepada akidah umat Islam daripada
terpedaya dengan teori-teori karut yang bersendikan falsafah semata-mata.
Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan