Khamis, 5 Februari 2026

SIFAT MALU PADA WACANA ISLAM

Perhiasan diri merupakan antara topik atau tajuk yang sering dibualkan oleh manusia di pelbagai peringkat umur dan usia. Sejak awal usia sebulan lagi, ibubapa akan sibuk menghiasi anaknya dengan pelbagai baju yang cantik, menarik selain selesa untuk dipakai. Apabila usia menginjak ke alam usia awal kanak-kanak, mereka sudah pandai bergaya dengan memilih baju mengikut kehendak sendiri. Sementelah itu, apabila anak-anak mencapai usia alam remaja pula, maka bertambahlah cara dan gaya yang hendak dikenakan lebih-lebih bagi anak-anak perempuan yang telah mulai berjinak-jinak dengan dunia solekan. Maka tidak salah untuk kita katakan sudah menjadi tabiat biasa manusia, bertambah meningkat usia maka bertambahlah juga perasaan untuk menghiasi diri sendiri. Dalam pada itu, kita barangkali terlupa atau terleka untuk mencantikan dan menghiasi dalaman diri dengan sifat malu yang terpuji di dalam Islam.

Perkataan "Malu" dalam kosa kata Melayu sepertimana yang dinyatakan dalam Kamus Dewan Edisi 2010, malu merujuk kepada berasa aib, hina, rendah diri kerana membuat sesuatu yang salah atau yang tidak sopan, berasa segan dan agak takut. Pada sudut bahasa Arab, perkataan malu disebutkan sebagai al-Haya' (الحياء) atau al-Khajila (الخجل). Menurut al-Jurjani dalam kitabnya al-Ta'rifat, al-Haya' atau malu itu bermaksud menahan diri dari sesuatu dan meninggalkannya dalam keadaan berjaga-jaga supaya tidak tercela. Telah berkata Imam Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya Madarijus Salikin, sifat malu berasal dari kata hayah (hidup), dan ada yang berpendapat bahawa malu berasal dari kata kata al-hayaa (hujan), tetapi makna ini tidak masyhur. Hidup dan matinya jantung hati seseorang sangat mempengaruhi sifat malu orang tersebut. Begitu juga dengan hilangnya rasa malu, dipengaruhi oleh kadar kematian hati dan roh seseorang.




Selain itu, al-Junaid menyebut bahawa malu adalah perasaan melihat keseronokan dan kelalaian, yang menimbulkan yang dikenali sebagai malu. Intipati rasa malu adalah sikap yang mendorong kita untuk meninggalkan kejahatan dan menghalang kita daripada mensia-siakan hak kita. Maka rumusan daripada beberapa definisi yang dikemukakan, dapat kita sebutkan sebagaimana yang disimpulkan makna malu oleh Syaikh Salim al-Hilali dalam kitabnya al-Haya' fi Dhau-il Quranil Karim wal Ahadith al-Shahihah, bahawa perasaan malu itu adalah akhlak atau perangai tingkah laku yang mendorong manusia untuk meninggalkan perbuatan-perbuatan yang buruk lagi tercela sehingga mampu menghalang seseorang dari melakukan dosa dan maksiat serta mencegah sikap melalaikan hak orang lain. Demikian rumusan berkaitan maksud malu pada sudut pandang wacana Islam. Walau apapun, tidak salah untuk kita katakan bahawa sifat malu itu hakikatnya adalah sifat yang terpuji di dalam Islam.

Dalam intipati ajaran Islam, terdapat beberapa keutamaan memiliki sifat malu dalam diri manusia. Antara keutamaan tersebut ialah sifat malu pada hakikatnya tidak memberikan sesuatu kecuali dengan kebaikan. Ini bermakna perasaan malu pada asasnya akan membawa banyak kebaikan dalam kehidupan manusia. Ini sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan semata-mata"

Sesungguhnya perasaan malu itu adalah merupakan akhlak para Nabi dan Rasul. Oleh kerana itu, perasaan malu yang dimiliki oleh mereka telah memberikan kebaikan kepada diri mereka dan orang disekeliling mereka. Selain itu, keutamaan sifat malu juga ialah sifat malu merupakan antara cabang-cabang keimanan kepada Allah Azza Wa Jalla. Hal ini boleh dilihat sebagaimana yang tercatat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim serta lain-lain lagi yang meriwayatkan hadith ini, baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Iman memiliki lebih dari tujuh puluh atau enam puluh cabang. Cabang yang paling tinggi adalah perkataan ‘La ilaha illallah,’ dan yang paling rendah adalah menyingkirkan duri (gangguan) dari jalan. Dan malu adalah salah satu cabang Iman.”

Berdasarkan maksud hadith ini, jelas kepada kita bahawa antara cabang-cabang keimanan yang berjumlah 70 atau 60 cabang itu, sifat malu adalah salah satu antara cabang-cabang iman tersebut. Oleh kita, janganlah kita bermain-main dengan sifat malu kerana ianya bersangatan dengan hal keimanan kita kepada Allah Azza Wa Jalla. Maka sebagai orang yang beriman kepada Allah, memiliki sifat atau perasaan malu adalah petanda bahawa kita memiliki salah satu daripada cabang-cabang iman. Selain itu, keutamaan sifat malu juga adalah kerana sifat malu tersebut merupakan akhlak bagi para malaikat. Kedudukan tinggi para malaikat bukan sahaja kerana penciptaannya dari cahaya tetapi juga kerana mereka memiliki sifat malu yang disukai oleh Allah SWT. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim, baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Apakah aku tidak patut merasa malu terhadap seseorang padahal para malaikat merasa malu"




Demikianlah antara sebahagian keutamaan sifat malu yang sewajarnya kita renungi bersama selain berusaha menanam perasaan malu yang terpuji ini. Hakikat yang harus kita tahu ialah perasaan malu yang terpuji ini boleh dilihat dalam sejarah kehidupan baginda Nabi Muhammad SAW. Baginda sangat terkenal dengan sifat pemalu dan malunya baginda kadang-kala lebih malu daripada anak dara yang baru berkahwin. Perkara ini telah diceritakan oleh Abu Said al-Khudri dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, beliau berkata yang bermaksud :

"Rasulullah SAW itu tinggi sifat malunya. Bahkan lebih malu berbanding anak dara yang baru dikahwinkan dengan suami yang tidak dikenalinya. Jika Rasulullah SAW melihat perkara yang tidak menyenangkan hatinya, kita dapat melihat perubahan riak wajahnya."

Begitulah pemalunya baginda Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya perasaan malu itu dapat kita bahagikan kepada dua jenis. Jenis yang pertama, perasaan malu yang lahir daripada tabiat manusia itu sendiri. Perasaan malu seperti ini adalah akhlak paling mulia yang diberikan oleh Allah Azza Wa Jalla kepada seseorang hamba. Malu yang seperti ini bukanlah boleh dibuat-buat. Ianya lahir dari dalam diri manusia itu sendiri. Perasaan malu seperti ini juga akan dapat menghalang seseorang daripada melakukan perbuatan buruk dan tercela sekaligus mendorong dirinya untuk berakhlak mulia. Pada sudut Islam, malu seperti ini termasuk sebahagian daripada keimanan kepada Allah SWT. Telah direkodkan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitab Jami'ul 'Ulum wal Hikam, ungkapan oleh al-Jarrah bin Abdullah al-Hakami, beliau berkata :

"Aku tinggalkan dosa selama empat puluh tahun kerana malu, kemudian aku mendapatkan sifat wara'(taqwa)".




Perasaan malu jenis yang kedua pula ialah perasaan malu yang timbul kerana adanya usaha. Ini bermakna perasaan malu yang timbul dalam diri seseorang adalah hasil daripada usahanya mengenali Allah Azza Wa Jalla dengan mengenal keagungan Nya, kedekatan Nya dengan hamba, perhatian Nya terhadap mereka selain pengetahuan Nya terhadap mata yang khianat dan apa sahaja hal yang dirahsiakan oleh jantung hati. Perasaan malu seperti inilah yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai cabang-cabang keimanan. Apabila diri manusia itu sendiri mengenali akan hakikat Allah SWT yang Maha Sempurna dan jauh dari segala sifat hina dan cela, maka perasaan malu itu muncul dan takut untuk melakukan perkara yang dilarang kerana malu dilihat oleh Allah SWT. Meskipun perbuatan jahat dan mungkar tersebut tidak diketahui oleh sesiapapun dikalangan manusia, namun perasaan malu yang kuat terhadap Allah SWT akan menghalang diri daripada melakukan perkara-perkara kejahatan dan keburukan. Perasaan sebegini tidak akan dapat diperolehi melainkan setelah benar-benar mengenali Allah Azza Wa Jalla.

Berkenaan perasaan malu juga, dalam sebuah hadith berstatus hasan, diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ahmad dan lain-lain, sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Hendaklah kalian malu kepada Allah Azza wa Jalla dengan sebenar-benar malu. Barang-siapa yang malu kepada Allah Azza Wa Jalla dengan sebenar-benar malu, maka hendaklah ia menjaga kepala dan apa yang ada padanya, hendaklah ia menjaga perut dan apa yang dikandungnya, dan hendaklah ia selalu ingat kematian dan busuknya jasad. Barangsiapa yang menginginkan kehidupan akhirat hendaklah ia meninggalkan perhiasan dunia. Dan barangsiapa yang mengerjakan yang demikian, maka sungguh ia telah malu kepada Allah Azza wa Jalla dengan sebenar-benar malu.”




Maksud hadith ini antara lain mengajar kita supaya menjadikan perasaan malu itu di tempat yang sewajarnya. Menjaga perasaan malu itu di tempat yang berhak dan selayaknya. Janganlah kita malu dalam mempelajari sesuatu ilmu yang kita sendiri jahil dan tidak tahu, membiarkan kejahilan menguasai diri dek kerana adanya sifat malu untuk belajar, ketahuilah itulah malu yang tercela. Sebaliknya janganlah pula kita tidak tahu malu untuk melakukan maksiat kerana itu adalah kebinasaan yang nyata. Telah berkata al-Qadhi 'Iyadh dan yang lainnya dalam kitab Fath al-Bari yang bermaksud :

"Malu yang menyebabkan seseorang itu mensia-siakan haknya bukanlah malu yang disyariatkan, sebaliknya ia adalah ketidakmampuan dan kelemahan. Ia mutlak dan dinamakan malu kerana ia menyerupai keaiban yang ditetapkan oleh syariat."

Antara sifat malu lain yang tercela adalah seperti malu mengaji al-Quran, malu untuk solat berjemaah di masjid atau surau, malu mencari nafkah untuk keluarga dan sebagainya. Malu seperti ini tidak sepatutnya ada dalam diri manusia. Demikianlah serba sedikit tentang hakikat perasaan malu. Sesungguhnya malu adalah salah satu sifat yang terpuji dan dipandang tinggi oleh Islam. Perasaan malu adalah suatu perasaan diwarisi oleh para Nabi dan Rasul selain malu juga merupakan sifat mulia bagi para malaikat. Dengan adanya perasaan malu, ianya dapat mencegah manusia daripada melakukan kejahatan, mendorong manusia berakhlak mulia selain dapat melindungi maruah dan harga diri seseorang. Pun begitu, ada juga sifat malu yang tercela, iaitu malu untuk melakukan kebaikan seperti malu dalam menuntut ilmu, malu mengaji al-Quran dan seumpamanya. Malu yang demikian adalah yang tercela dan tidak patut wujud dalam diri manusia. Semoga Allah merahmati kita semua.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan