Jumaat, 13 Februari 2026

SYARIAT IBADAH BADAL HAJI

 

Hakikat manusia tidaklah lebih dari seorang hamba yang dimiliki oleh tuannya yakni Tuhan yang Maha Esa. Oleh itu, manusia apabila tiba saat dan ketikanya, yang akan dibawa pulang kembali untuk bertemu dengan Allah hanyalah bekalan iman dan taqwa. Itulah sebaik-baik bekalan yang menjamin keselamatan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Kefardhuan ibadah seperti ibadah haji merupakan suatu ketaatan tinggi kepada Allah. Hal ini kerana selain manusia perlu mengorbankan harta dan wang ringgit untuk ke sana, kita juga perlu mengorbankan tenaga dan keringat, bersesak-sesak dengan puluhan bahkan jutaan manusia lain selain berbagai macam lagi dugaan dalam menempuhi pelaksanaan ibadah haji. Syariat ibadah haji amatlah teristimewa sekali kerana disyaratkan kepada yang berkemampuan sahaja atau disebut dengan istilah Istita'ah.

Perkataan "Badal Haji" adalah gabungan daripada dua ungkapan berbeza iaitu "Badal" yang bermaksud ganti atau wakil dan perkataan "Haji" pula merujuk kepada pensyariatan ibadah haji. Persoalannya, apakah boleh untuk melakukan badal haji kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk ke sana kerana kekangan tertentu seperti sakit uzur, kemiskinan dan seumpamanya lagi. Firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah Ali-Imran ayat 97 yang bermaksud :

"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya".




Dalam hal ini, perkataan Istita'ah atau berkemampuan memainkan perana penting untuk memahami syariat ibadah badal haji tersebut. Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Taudhih Syarah al-Idhah, perkataan berkemampuan atau disebut Istita'ah yang terhasil daripada orang lain ialah seseorang yang tidak mampu daripada melakukan haji dengan dirinya sendiri dengan sebab kematian, kecacatan, atau sakit yang tidak ada harapan sembuh atau yang amat tua sehingga tidak mampu tetap atas tunggangan atau kenderaan kecuali dalam keadaan yang sukar. Orang yang tidak mampu seperti ini yang masih hidup dinamakan dengan ma’dhub (معضوب). Kemudian wajib diwakilkan haji bagi si mati jika dia mampu pada masa hidupnya di mana dia tidak melaksanakan ibadat haji. Ini pun sekiranya dia mempunyai harta pusaka. Jika sebaliknya, maka tidak wajib bagi waris menunaikan haji untuknya.

Berdasarkan apa yang diungkapkan oleh Imam al-Nawawi, dapat kita rumuskan bahawa syariat badal haji adalah terpakai kepada dua keadaan. Pertama, bagi mereka yang masih hidup namun tidak berdaya atau tidak mampu dari sudut fizikal seperti kecacatan, sakit yang kronik yang tidak ada harapan untuk sembuh dan selainnya, maka diharuskan baginya untuk dilaksanakan badal haji. Adapun disebabkan miskin, adalah tidak dibenarkan baginya untuk dilakukan ibadah badal haji. Kedua, iaitulah keadaan dimana seseorang yang telah meninggal dunia, tetapi tidak melakukan ibadah haji dalam keadaan dia mampu ketika hidup, maka dalam keadaan ini wajib bagi dirinya dilakukan ibadah badal haji. Sesungguhnya syariat ibadah haji adalah suatu kewajiban bagi setiap mereka yang beriman dan berkemampuan untuk melakukan. Hukumnya adalah wajib hanya sekali sahaja sepanjang hayat. Ini adalah berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim serta lain-lainnya, daripada Abu Hurairah RA katanya yang bermaksud :

“Rasululllah SAW pernah berkhutbah kepada kami seraya bersabda: Hai sekalian manusia, telah difardhukan ke atas kamu haji, maka lakukanlah ibadat haji. Maka seorang lelaki bangkit seraya bertanya: Adakah setiap tahun ya Rasulullah? Maka Rasulullah diam sehingga ditanya tiga kali, lantas sabda Nabi SAW: “Jika aku katakan ‘Ya’, maka haji akan menjadi wajib sedangkan kamu tidak mempunyai kemampuan.”




Berdasarkan hadith ini, jelaslah bahawa ibadah haji tidaklah diwajibkan pada setiap tahun. Namun begitu, memadai wajib hanya sekali seumur hidup. Sekiranya ibadah haji menjadi kewajiban pada setiap tahun, nescaya tidak ada yang mampu untuk melakukannya. Ibadah haji adalah wajib sekali seumur hidup dengan syarat berkemampuan. Apatah lagi bagi mereka yang bernazar untuk melakukan haji tetapi tidak sempat kerana meninggal dunia, maka wajib baginya dilakukan badal haji. Hal ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ibnu Abbas RA yang bermaksud :

“Seorang perempuan daripada puak Juhainah telah datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk mengerjakan ibadat haji, tetapi tidak sempat menunaikannya sebelum dia meninggal dunia, adakah aku boleh mengerjakan ibadat haji itu bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: Ya, tunaikanlah ibadat haji itu bagi pihaknya. Apakah pandanganmu jika ibumu mempunyai hutang, sudah tentu kamu akan melangsaikan hutang tersebut (bagi pihaknya). Langsaikanlah hutang (dari segi ibadat) kepada Allah, sesungguhnya hutang kepada Allah adalah lebih patut untuk kamu langsaikan.”

Berkenaan hukum melaksanakan ibadah badal haji, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, dengan menyatakan bahawa terdapat dua keadaan yang dibolehkan bagi seseorang itu untuk melakukan ibadah haji ke atas orang lain iaitu keadaan yang pertama, uzur yang berpanjangan iaitu tubuh badannya tidak mampu untuk melakukan ibadah haji. Hal ini berkemungkinan kerana keadaannya yang sudah tua dan sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Sedangkan dia berkemampuan dari segi harta untuk melakukan ibadah haji. Selain itu, tidak sah badal haji sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan badannya sekiranya dia masih hidup. Keadaan yang kedua, meninggal dunia dan tidak sempat menunaikan ibadah haji. Maka wajib ke atas warisnya untuk menunaikan haji ke atasnya, sekiranya dia seorang berkemampuan dari segi kewangan. Demikian kata-kata oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili. Namun begitu, bagaimana pula bagi mereka yang telah meninggal dunia tetapi tidak mempunyai harta untuk dilakukan ibadah badal haji ?




Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya Raudhatut Talibin, dengan menyebut badal haji dilakukan di dalam dua keadaan bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang harta atau si mati yang tidak mempunyai harta peninggalan. Dua keadaan tersebut ialah pertama, anak-anak, cucu-cucu dan mereka yang tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan (ajnabi) memberi bantuan kewangan dalam bentuk upah menunaikan badal haji. Bantuan kewangan yang diberi ini dianggap sebagai sedekah jariah. Keadaan kedua pula, anak-anak, cucu-cucu dan mereka yang tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan (ajnabi) tersebut boleh menunaikan sendiri badal haji ini dengan syarat sudah menunaikan ibadat haji, selain ia ditunaikan oleh mereka yang boleh dipercayai dari segi syarak dan tidak mempunyai halangan untuk melaksanakan ibadat haji. Dalam pada itu, terdapat beberapa syarat sah ibadah badal haji yang perlu ditekankan. Antara lain tidak sah badal haji bagi yang mampu melakukannya sendiri. Selain itu, badal haji tidak sah kepada orang fakir yang masih hidup yang ketiadaan wang.

Begitu juga bagi mereka yang melaksanakan badal haji, perlu mendapat keizinan daripada individu yang tidak mampu menunaikan haji tersebut jika masih hidup. Sebaliknya jika telah meninggal dunia, mereka tidak lagi memerlukan sebarang keizinan atau wasiat daripada si mati. Selain itu, tidak boleh seseorang yang telah diwakilkan untuk melaksanakan badal haji, mewakilkan pula kepada orang lain kecuali dengan terlebih dahulu diberitahu kepada pemberi amanah tersebut dan dirinya bersetuju dengan perwakilan tersebut. Ibadah badal haji juga boleh diambil dengan mereka yang berlainan jantina. Dalam kata lain, dibolehkan bagi wanita mengambil badal haji untuk lelaki dan begitulah sebaliknya seorang lelaki mengambil badal haji untuk wanita. Demikian antara sebahagian perkara asas dalam memahami tentang syariat badal haji. Sesungguhnya ibadah haji adalah lambang kepada suatu pengorbanan yang mulia lagi suci, yang dilakukan bertujuan membesarkan Allah SWT. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan