Antara perkara yang tidak dapat dipisahkan oleh makhluk yang
bernama manusia ialah tentang soal tanggungjawab. Insan yang disebut juga
sebagai manusia merupakan makhluk Allah yang sangat istimewa. Selain kejadian
manusia yang diiktiraf oleh Allah SWT sebagai sebaik-baik ciptaan, manusia juga
dimuliakan dengan menggalas tanggungjawab mengimarahkan bumi Allah SWT ini.
Berbeza dengan makhluk yang lain, manusia disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran
sebagai umat terbaik dengan tanggungjawab menyeru manusia kepada kebaikan dan
mencegah manusia dari berbuat kemungkaran. Semuanya kerana nilai tanggungjawab
yang diamanahkan oleh Allah SWT.
Dalam fasa kehidupan berumahtangga, tanggungjawab antara lain ialah
kunci kepada keutuhan dan keharmonian hidup selain saling memberi penghormatan,
saling bantu-membantu dan memahami antara satu sama lain. Tanggungjawab yang
paling utama ialah peranan si suami memberikan nafkah kepada isteri dan
anak-anak. Perkataan "Nafkah" adalah berasal dari
bahasa Arab. Dalam kitab al-Mu'tamad fi al-Fiqh al-Syafie, nafkah pada
sudut bahasa bermaksud mengeluarkan iaitu merujuk kepada pembiayaan belanja
yang dikeluarkan oleh seseorang terhadap ahli keluarganya. Pada sudut istilah
syarak pula, ungkapan nafkah bermaksud makanan, pakaian, tempat tinggal dan
selainnya. Nafkah pula dibahagikan kepada dua iaitu nafkah zahir dan nafkah
batin. Kesemua itu disebut sebagai nafkah kerana dikeluarkan atau dibelanjakan
untuk tujuan keperluan tersebut.
Kemuliaan seorang suami adalah duduk letaknya kepada tanggungjawab
memberikan nafkah kepada anak dan isteri. Secara umum, Allah SWT melalui
al-Quran memberikan penghormatan besar kepada kaum lelaki yang memiliki
tanggungjawab utama lebih-lebih mereka yang bergelar suami. Penghormatan
tersebut dapat dilihat melalui firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 34,
yang bermaksud :
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang
bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan
orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan,
dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah)
sebahagian dari harta mereka".
Berdasarkan ayat ini, kedudukan kaum lelaki adalah sangat istimewa
bersesuaian dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul olehnya. Menurut
Sayyid Qutub dalam kitab tafsirnya, Fi Zilal al-Quran, beliau
menjelaskan bahawa Allah telah menciptakan manusia lelaki dan perempuan sebagai
suami isteri mengikut peraturan semesta untuk membangunkan alam ini. Di antara
tugas-tugas perempuan yang telah dijadikan Allah ialah mengandung, melahir,
menyusu dan membela anak selaku hasil hubungan dengan lelaki. Tugas-tugas ini
adalah tugas yang besar dan penting bukannya tugas yang senang dan kecil yang
boleh dilaksanakan begitu sahaja tanpa persediaan jasmani, persediaan kejiwaan
dan persediaan amali yang mendalam dalam diri perempuan.
Tambah beliau lagi, oleh itu adalah adil bagi Allah meletakkan ke
atas bahu lelaki tugas mengadakan keperluan-keperluan rumahtangga dan tugas
memberi perlindungan kepada perempuan supaya ia dapat memberi tumpuan kepada
tugas yang penting ini. Tentulah tidak sewajarnya ia dipaksa mengandung,
melahir, menyusu dan memelihara anak-anak sedangkan serentak dalam waktu yang
sama ia terpaksa bekerja, berpenat dan berjaga untuk memelihara keselamatan
dirinya dan keselamatan anaknya. Demikian penjelasan oleh Saayid Qutub. Amanah
dan tanggungjawab terbesar bagi para suami ialah memberikan nafkah kepada ahli
keluarga. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah
al-Baqarah ayat 233, firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua
tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan
kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara
yang sepatutnya".
Selain itu, tuntutan memberi nafkah juga turut ditekankan oleh
baginda Nabi Muhammad SAW. Dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada
Mu’awiyah al Qusyairi R.anhu, telah bertanya kepada Nabi SAW yang bermaksud :
"Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami
yang menjadi kewajipan suaminya? ” Baginda menjawab,”Engkau memberi makan
kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau
berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya,
dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”.
Oleh itu, berdasarkan hujah dan bukti yang jelas dari wahyu Allah,
maka para ulama telah bersepakat menyatakan bahawa hukum wajib bagi suami
memberikan nafkah terhadap anak dan isterinya. Kewajiban memberi nafkah ini
termasuklah menafkahi isteri yang bekerja atau memiliki pendapatan sendiri. Ini
bermakna walaupun isteri seorang yang bekerja dan mempunyai pendapatan, tetap
wajib suami menafkahi isterinya dan kewajiban tersebut tidak gugur. Namun
begitu, Syeikh Wahbah al-Zuhayli menyebutkan dalam kitabnya, al-Fiqh
al-Islam wa Adillatuh, kewajiban menafkahi isteri oleh sang suami akan
tergugur sekiranya isteri tersebut menghalalkannya. Dalam keadaan itu, maka
gugurlah kewajiban suami menafkahi isterinya.
Selain persoalan hukum memberikan nafkah, turut menjadi perbualan
masyarakat ialah tentang senarai perkara yang disebutkan sebagai nafkah.
Sebahagian masyarakat beranggapan bahawa duit poket yang diberikan oleh suami
kepada isterinya dianggap sebagai nafkah. Tidak kurang pula ada yang
beranggapan bahawa duit kepunyaan suami adalah hwk milik isteri jua. Soalnya,
apakah perkara yang dianggap sebagai nafkah itu hanya tertakluk kepada
pemberian wang ringgit semata-mata ? Dalam hal ini jumhur (majoriti) para ulama
meletakkan 7 perkara dibawah maksud nafkah. Sebagaimana yang dinukilkan dalam
kitab Mughni al-Muhtaj, tujuh hal tersebut merangkumi makanan, barang
dapur, pakaian, tempat tinggal, alat-alat untuk membersihkan diri, barangan
rumah dan pembantu isteri jika kebiasaannya isteri mempunyai pembantu.
Berdasarkan penjelasan tersebut, difahami bahawa para suami
bertanggungjawab memberi nafkah memenuhi tujuh keperluan tersebut. Pun begitu,
tanggungjawab memberi nafkah oleh suami mestilah ditunaikan dalam kerangka kemampuan
si suami. Ini bermakna para suami wajib menyediakan tempat tinggal, makanan dan
sebagainya dengan kadar kemampuannya dan bukannya mengikut kehendak isteri. Ini
selari dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Talaq ayat 7
yang bermaksud :
"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut
kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi
nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah
tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah
kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah
akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan".
Oleh yang demikian, dalam perbahasan para ulama seperti yang
dinukilkan dalam kitab Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim, para ulama
membahagikan kategori suami kepada tiga golongan berdasarkan kemampuan.
Iaitulah golongan pertama, suami yang senang atau kaya. Kedua, golongan suami
yang sederhana dan terakhir golongan ketiga ialah golongan suami yang susah.
Para suami wajib memberi nafkah dalam kadar kemampuannya. Maka jelaslah kepada
kita bahawa sesungguhnya kewajiban memberi nafkah adalah sesuatu yang dituntut
oleh syarak. Untuk itu, pemberian nafkah hendaklah tertakluk dibawah ketetapan
syariat dan bukannya mengikut kemahuan dan kehendak isteri. Sekalipun jika
keperluan nafkah sudah dipenuhi, jika ada lagi pemberian oleh suami maka hal
itu termasuk dalam bab ihsan si suami. Semoga Allah memberkati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan