Pelbagai
ragam kehidupan umat manusia dapat dilihat yang tujuannya adalah untuk mewarnai
kehidupan masing-masing. Ada yang sanggup mengeluarkan duit untuk membeli kasut
bagi tujuan untuk dijadikan koleksi, ada pula yang suka menghiasi kenderaan
walau memakan modal yang besar Tidak kurang pula ada yang tidak kisah
menghabiskan wang ringgit untuk mengembara mengelilingi dunia. Begitulah
sebahagian ragam yang dapat dilihat pada sisi kehidupan manusia. Ada ketikanya
umat manusia akan tersepit di persimpangan dilema hidup untuk membuat keputusan
melakukan pertimbangan yang sewajarnya antara keperluan dan kehendak pada
kehidupan. Tanpa perlu dinafikan, tidak kurang ramai manusia hari ini sanggup
membuat pinjaman atau berhutang demi memenuhi hasratnya. Begitu pula
sebaliknya, ada yang terpaksa berhutang demi memenuhi keperluan asasnya.
Hutang
atau dalam bahasa Arab disebut sebagai al-Qard. Pada sudut bahasa, al-Qard
bermaksud potong. Ini sebagaimana yang disebutkan di dalam Kamus al-Misbah al-Munir, perkataan Qard pada sudut kata nama
membawa makna satu barangan yang diberikan kepada seseorang sebagai hutang. Ini
bermakna orang yang memberi hutang bermaksud orang tersebut telah memotong hak
pemilikan hartanya untuk diberi pinjam kepada orang yang berhutang. Perkataan
al-Qard pada sudut istilah pula merujuk kepada maksud penyerahan sesuatu barang
atau harta daripada pemiutang kepada penghutang dengan syarat barang tersebut
sama nilai dengannya akan digantikan kembali kepada pemilik asal tanpa sebarang
penambahan. Selain itu, perkataan al-Qard ini juga disebutkan di dalam al-Quran
menerusi surah al-Baqarah ayat 245, firman Allah SWT yang bermaksud :
“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan
pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah
melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya?”
Dalam
Islam, pada asalnya hukum berhutang adalah harus dan hukum memberi hutang
adalah sunat. Ini sebagaimana yang telah dibahaskan dalam kitab Fiqh al-Manhaji. Hukum ini terletak
kepada keadaan biasa secara umum. Namun begitu, hukum asal memberi hutang boleh
berubah berdasarkan kepada niat orang yang berhutang tersebut. Dalam hal ini,
sekurang-kurangnya terdapat tiga hukum berbeza bergantung kepada niat si
penghutang tersebut. Pertama, hukumnya adalah haram memberi hutang
sekiranya diketahui hutang tersebut akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan
seperti minum arak, berzina, berjudi dan sebagainya. Kedua, hukum memberi
hutang adalah makruh sekiranya diketahui hutang tersebut akan digunakan untuk
perkara yang tidak berfaedah dan memberi manfaat. Ini termasuk juga keadaan
dimana hutang tersebut bertujuan untuk menunjuk-nunjuk selain diketahui orang
yang mahu berhutang tersebut tidak mampu membayar semula. Ketiga, hukum memberi
hutang adalah wajib jika si penghutang tersebut sangat memerlukannya untuk
tujuan menampung keperluan hidupnya.
Selain
soal hukum memberi hutang dan berhutang, Islam melalui pensyariatannya juga
turut menggariskan beberapa panduan serta tanggungjawab yang perlu dilakukan
oleh mereka yang berhutang. Antara lain ialah Islam menyuruh mereka yang
terlibat dalam urusan hutang ini untuk mencatat segala butiran hutang piutang
termasuklah mencatat tempoh yang diberi untuk dibayar semula hutang tersebut.
Hal ini dijelaskan lagi oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah
al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman!
Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh
hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa
bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan
adil (benar)".
Selain
manusia dituntut untuk menulis butiran hutang, Islam juga turut menegaskan
tentang kepentingan untuk membayar hutang berdasarkan perjanjian yang telah
dilakukan. Ketegasan Islam dalam hal ini dapat dilihat di dalam firman Alah SWT
di dalam al-Quran, surah al-Maidah 1 yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman,
penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian".
Oleh
yang demikian, dapat kita fahami bahawa urusan hutang piutang ini bukan sahaja
sekadar jumlah kecil atau besarnya sesuatu hutang tersebut namun lebih mustahak
lagi ialah hutang adalah suatu amanah yang wajib dilunaskan. Ini sepertimana
yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 283, firman Nya
yang bermaksud :
"Kemudian kalau yang memberi hutang
percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang
gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu
menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia
bertaqwa kepada Allah Tuhannya."
Oleh
itu, Islam sangat menekankan tentang amanah membayar dan melunaskan hutang.
Begitu juga di dalam hadith baginda Nabi SAW, terdapat banyak hadith Nabi yang
mengingatkan umatnya untuk melangsaikan hutang. Antara lain hadith riwayat
Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Sekalipun aku memilki emas sebesar
gunung Uhud, aku tidak akan senang jika tersisa lebih daripada tiga hari,
kecuali yang aku sisihkan untuk pembayaran hutang".
Selain
itu, baginda Nabi SAW juga menyebutkan mengenai niat di dalam berhutang.
Sekiranya kita berhutang dengan niat baik untuk membayar kembali, tentu Allah
akan permudahkannya. Namun sebaliknya jika kita berhutang dengan niat sengaja
tidak mahu membayarnya, maka Allah akan membinasakannya. Ini sebagaimana yang
terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud :
"Barangsiapa yang mengambil harta
manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan
menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang)
dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan
membinasakan dirinya".
Semasa
hayat hidup baginda Nabi SAW, baginda pernah menolak atau enggan bersolat
jenazah keatas jenazah yang mempunyai hutang. Kisah ini sebagaimana yang
terdapat dalam sebuah hadith panjang riwayat Bukhari, daripada Salamah bin
Akwa' RA bahawa dia berkata yang bermaksud :
“Pernah suatu ketika kami duduk-duduk
bersama Rasulullah SAW, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang
membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah SAW: “Mohon disolatkan jenazah
ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab,
“Tidak”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan (mewariskan)
sesuatu?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian
dibawakan jenazah lain dan mereka memohon, “Wahai Pesuruh Allah! Solatkan
jenazah ini”. Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka
menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan sesuatu?”
Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian
datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda
Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu
Baginda bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian
ini.” Lalu Abu Qatadah merespon: “Mohon solat ke atas jenazah ini wahai Pesuruh
Allah, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.”
Demikianlah
sebahagian daripada syariat Islam berhubung hutang yang melibatkan antara pihak
penghutang dan pihak pemiutang. Kesimpulannya, adalah menjadi kewajiban setiap
orang Islam untuk melunaskan hutangnya. Pun begitu, sekiranya pemiutang atau
pemberi hutang tersebut dengan rela hati menghalalkan hutangnya, maka gugurlah
serta hilanglah tanggungjawab orang yang berhutang tadi. Dalam hal ini juga,
baginda Nabi telah ajarkan kepada kita satu doa untuk mengurus hutang, dibaca
pada waktu pagi dan petang. Ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith
riwayat Abu Daud yang bermaksud :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ
وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ
وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung
kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari
sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan
bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan
manusia.”
Maka
marilah sama-sama kita beramal dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi SAW
dengan harapan dan tekad agar suatu masa nanti kita mesti bebaskan kehidupan
ini daripada dibelenggu oleh hutang. Jika sekalipun terpaksa hutang, kita
berharap jua Allah memberikan kita kekuatan untuk membayarnya sebagaimana yang
telah dijanjikan. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan