Selasa, 10 Disember 2024

MAKHLUK DI BUMI SEBELUM PENCIPTAAN ADAM AS

 

Sesungguhnya alam dunia yang dihuni oleh beberapa makhluk terpencil seperti manusia, haiwan dan tumbuhan adalah merupakan satu daripada banyak lagi cabang dan ranting kepada alam kehidupan yang lain. Segalanya bersifat infiniti dan tidak akan dapat dihitung oleh manusia untuk mengukur saiz alam ini yang luas tidak bertepian. Melihat kepada alam kehidupan umat manusia di dunia ini sahaja sudah memadai untuk kita berasa letih dan penat dengannya. Hal tersebut belum termasuk lagi mengambil kira dengan makhluk yang sedang berkongsi alam yang sama dengan manusia namun memiliki dimensi hidup yang berbeza iaitulah jin dan syaitan. Betapa unik dan luasnya alam ciptaan Allah ini dengan pelbagai kehidupan yang melata ini.

Apabila kita berbicara soal penciptaan kejadian manusia, ianya sudah tentu bermula daripada sejarah penciptaan Nabi Adam AS yang diiktiraf juga sebagai manusia pertama di dunia. Penciptaan Nabi Adam AS sebagaimana juga dijelaskan di dalam al-Quran, ialah berperanan sebagai khalifah di muka bumi Allah. Hal ini dapat difahami dengan melihat firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud :

“Dan ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat : ‘Sesungguhnya Aku akan menciptakan makhluk pengganti di atas muka bumi yang akan menggantikan kepimpinan bumi.’ Mereka berkata : ‘(Wahai Tuhan), adakah Engkau mahu menjadikan makhluk perosak dan yang akan saling menumpahkan darah di atas muka bumi sedangkan Kami ini memuji-Mu dan menyucikan-Mu.’ Allah berfirman : ‘Sesungguhnya Aku tahu apa yang kalian tidak tahu".




Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT telah memberikan pengiktirafan terhadap Nabi Adam AS sebagai khalifah yang mengurus bumi Allah yang luas tidak bertepian ini. Namun begitu, apa yang menarik perhatian kita ialah tentang pertanyaan balas oleh Malaikat kepada Allah SWT mengenai tujuan Allah menciptakan manusia. Ini kerana Malaikat menyatakan bahawa sebelum daripada itu, telah berlaku banyak kerosakan, kemusnahan dan kepincangan yang dilakukan oleh makhkuk lain. Maka barangkali tertanya pula kita siapakah makhluk tersebut yang menduduki dunia ini sebelum daripada penciptaan Nabi Adam AS. Bagi merungkaikan kekeliruan ini, para ulama terlebih dahulu meneliti apakah yang dimaksudkan dengan khalifah. Perkataan "Khalifah" berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud pengganti. Ini bermakna Nabi Adam AS diciptakan oleh Allah sebagai pengganti kepada makhluk yang telah membuat kerosakan.

Soalnya, siapakah makhluk tersebut ? Dalam hal ini para ulama membawakan pelbagai riwayat-riwayat yang menjelaskan makhluk tersebut adalah kelompok jin. Ini dapat dilihat sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam kitab tafsirnya, Jami' al-Bayan li Ta'wil Ayatul Quran, beliau menyebutkan bahawa antara salah satu tafsiran ayat ini adalah makhluk yang menghuni bumi sebelum Adam adalah kelompok Jin. Hal ini berdasarkan athar ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma, Ibn ‘Abbas menceritakan :

“Makhluk yang paling awal sekali menghuni bumi sebelum Adam adalah kelompok Jin. Namun mereka melakukan kerosakan di atasnya dan saling berbunuhan dan menumpahkan darah. Lantas, Allah mengutuskan tentera para Malaikat yang diketuai oleh Iblis ketika itu untuk memerangi mereka semua dan menghalau mereka ke pulau-pulau, laut dan pinggir bukit. Kemudian, Allah menciptakan Adam dan meletakkan Adam di bumi.”

Begitu juga perkataan oleh Imam Abu Muhammad al-Baghawi dalam kitabnya, Ma'alim al-Tanzil, beliau menyebut yang dimaksudkan dengan khalifah adalah pengganti. Hal ini kerana, Adam menggantikan para jin yang hidup di bumi sebelumnya. Selain itu, Imam Ibnu Kathir pula di dalam kitab tafsirnya, beliau menyatakan bahawa jin diciptakan sebelum Nabi Adam AS, dan sebelum jin pula ada makhluk yang mendiami bumi bernama al-Hinn dan al-Binn, kemudian datang bangsa jin dan membunuh dan menghapuskan mereka dari muka bumi. Demikian penjelasan yang diberikan. Menurut Imam Ibn Kathir, sebelum Allah menciptakan manusia, Allah telah menciptakan terlebih dahulu bangsa jin dan sebelum bangsa jin dicipta, Allah telah menciptakan suatu makhluk yang bernama al-Hinn dan al-Binn. Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, al-Bidayah wal Nihayah, beliau menceritakan bahawa Hinn berperang dengan jin dan menumpahkan darah di bumi sebelum manusia, menyebabkan malaikat mempersoalkan perintah Allah untuk meletakkan Adam sebagai khalifah.




Mengenali bangsa al-Hinn dan al-Binn ini, menurut Imam Ibn Kathir mereka adalah seperti jin yang mempunyai dunia mereka sendiri iaitu di langit ke-3. Mereka ini juga boleh turun ke bumi sama sepertimana bangsa jin dan mereka pula pada ketika itu hampir menguasai seluruh bumi. Kerosakan dan segala kemusnahan yang dialami diatas muka bumi ini benar-benar telah memungkinkan segalanya. Dengan ketentuan Nya, bangsa al-Hinn dan al-Binn telah dihapuskan dan bumi ini digantikan oleh Nabi Adam AS. Namun begitu, al-'Allamah Tahir bin 'Asyur dalam kitabnya, al-Tahrir wa al-Tanwir, menyebutkan bahawa segala teori berkaitan al-Hinn dan al-Binn juga termasuk beberapa nama lain seperti al-Tamm, dan al-Ramm adalah suatu sangkaan semata-mata dan ianya tidak berasas. Pada pandangan beliau, maksud khalifah yang difahami sebagai pengganti bukanlah bermakna menggantikan makhluk perosak tersebut. Maksud sebenar khalifah ialah mengambil alih tugas yang diamanahkan Allah untuk memelihara dan memimpin bumi selepas Allah menciptakannya.

Selain daripada itu, turut memainkan peranan memberi pengaruh dalam persoalan makhluk sebelum Nabi Adam ialah teori Evolusi yang sangat diangkat ideanya oleh sebahagian pihak agamawan Kristian dan pengkaji al-Kitab. Mereka percaya bahawa sebelum kewujudan Adam, telah wujud spesis manusia yang disebut sebagai Homo Sapiens sebelum Adam. Dakwaan mereka ini adalah berasaskan beberapa penemuan tulang-belulang dan fosil yang membuktikan kewujudan manusia telah berusia puluhan ribu bahkan ratusan ribu tahun lamanya. Antara kenyataan popular yang mengangkat teori Evolusi ini ialah seperti yang diungkapan oleh John R.W Stott, seorang agamawan Kristian, di dalam bukunya yang berjudul Understanding The Bible, beliau menyebut :

“Kepercayaan saya tentang Adam dan Hawa selaku peristiwa sejarah yang benar adalah sama sekali tidak bertentangan dengan kepercayaan saya bahawa ada hidupan mirip manusia yang telah hidup ribuan tahun sebelum Adam. Kita boleh terima bahawa Tuhan menciptakan Adam secara berasingan daripada mereka itu, hidupan mirip manusia itu kita gelarkan sekarang sebagai homo sapiens.”

Dalam tradisi keilmuan Islam pula tidak kurang ada dikalangan para ulama yang memahami bahawa wujudnya manusia lain sebelum diciptakan Nabi Adam. Pun begitu, sandaran hujah dan dalil diatas perkara tersebut adalah sangat lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Oleh itu, apakah pendirian Islam yang sebenar dalam hal ini ? Sebagaimana kita melihat tiada satu pun sumber yang sahih dan pasti untuk membuktikan kewujudan manusia sebelum Adam AS. Maka memadailah dengan kita berpegang kepada hujah dan dalil yang zahir dan jelas kefahamannya. Bahkan persoalan ini tidak sedikit pun menambah atau mengurangkan keimanan seseorang. Tidak pula mencacatkan agama jika kita tidak tahu akan hal tersebut. Semoga Allah Azza Wa Jalla merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan