Khamis, 5 Disember 2024

GOLONGAN ASNAF : SIAPAKAH MEREKA ?

Manusia dan ujian kehidupan merupakan bukti bahawa dunia yang sedang kita diami ini bersifat sementara dan tidak kekal selamanya. Sebab itu kita akan lihat betapa banyak ragam kehidupan yang dirangkumkan sebagai ujian dan dugaam hidup. Namun begitu, ujian hidup tidak hanya bersifat susah, sukar atau payah malah ujian boleh datang dalam bentuk kekayaan, kebahagiaan dan kesenangan hidup. Dalam kata yang lebih mudah, ujian hidup bukan sahaja difahami dalam kerangka hidup susah dan miskin tetapi sesungguhnya kesenangan, kekayaan dan kemewahan juga merupakan bentuk ujian Allah SWT. Dalam Islam, melalui pensyariatan Allah SWT, terdapat golongan yang wajib dibantu dan baginya layak menerima bantuan yang disebut sebagai zakat. Golongan tersebut dikenali sebagai asnaf. 

Perkataan "Asnaf" merujuk kepada maksud pihak yang layak menerima bantuan zakat dari kalangan orang Islam. Apabila bercakap soal asnaf, tidak kurang ramai dikalangan masyarakat yang mempunyai tanggapan dan pemahaman yang salah mengenai golongan asnaf yang layak menerima zakat. Ada antara lainnya memahami bahawa anak yatim dan ibu tunggal termasuk dalam golongan asnaf yang layak menerima zakat. Hakikatnya pemahaman ini adalah salah dan tidak benar. Golongan asnaf yang difahami sebagai pihak yang layak menerima zakat terdiri daripada lapan golongan yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Sebagaimana firman Nya di dalam surah al-Taubah ayat 60 yang bermaksud :

"Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang miskin, amil zakat, yang dilunakkan hatinya (mualaf), untuk (memerdekakan) hamba sahaya, untuk (membebaskan) orang yang berutang, untuk jalan Allah dan untuk orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai kewajiban dari Allah. Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana".




Berdasarkan ayat ini, Syeikh Prof. Dr. Hikmat bin Basyir dalam kitabnya, Fathul Karim Mukhtashar Tafsir al-Qur'an al-'Azim, beliau menyatakan bahawa setelah Allah SWT menyebutkan bantahan orang-orang munafik yang bodoh kepada Nabi SAW dan celaan mereka kepada beliau dalam pembahagian sedekah. Allah SWT menjelaskan bahawa Dia adalah zat membahagikannya dan menjelaskan hukumnya serta mengatur urusannya, Dia tidak akan menyerahkan hal tersebut kepada siapa pun. Maka Allah membahaginya di antara mereka yang telah disebut­kan. Ini bermakna ayat tersebut merupakan keterangan Allah SWT menjelaskan kepada orang munafik yang mempertikaikan tentang pembahagian zakat. Lalu Allah SWT menyatakan bahawa pembahagian golongan tersebut adalah ketetapan daripada Allah dan tidak ada sesiapa yang boleh memberinya tanpa mengikut ketetapan yang telah dinyatakan.

Oleh yang demikian, pembahagian zakat hendaklah diagihkan menurut ketetapan 8 golongan asnaf sebagaimana yang telah disebutkan oleh Nya. Golongan asnaf yang lapan tersebut ialah golongan fakir, golongan miskin, golongan amil (mengutip zakat), para muallaf, golongan al-Riqab (yang dimerdekakan), golongan al-Gharimin (berhutang kerana tujuan keperluan), golongan Fi Sabilillah (berjuang di jalan Allah) dan golongan Ibnu Sabil (orang terputus bekalan dalam perjalanan). Hanyasanya 8 golongan tersebut yang diiktiraf oleh syarak seperti yang ditetapkan oleh Allah SWT. Ini juga bermakna anak yatim atau ibu tunggal tidak termasuk dalam kategori asnaf melainkan jika mereka memenuhi 8 ciri yang dijelaskan tadi. Bagi memahami dengan lanjut 8 golongan asnaf ini, maka marilah kita melihatnya dari sudut yang digariskan oleh syarak.

Golongan pertama yang layak menerima zakat ialah mereka yang Fakir. Fakir boleh difahami sebagai seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian. Pun begitu, meskipun mempunyai pekerjaan tetapi tidak mencapai 50 peratus pendapatannya untuk menampung keperluan hidupnya tetap dikira sebagai fakir. Golongan kedua pula ialah golongan Miskin. Perkataan miskin pula difahami dengan makna seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung orang-orang tanggungannya. Dalam maksud lain, pendapatannya masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan hidup.

Golongan ketiga ialah golongan Amil. Ungkapan amil biasanya akan didengari apabila tibanya bulan Ramadan, Ini kerana amil yang dilantik oleh pihak pemerintah bertanggungjawab mengutip zakat menurut arahan pihak pemerintah. Perkataan amil merujuk kepada seseorang yang mengutip hasil yang ditugaskan oleh pemerintah untuk mengumpul dan mengagihkan zakat. Golongan keempat pula sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT ialah golongan Muallaf. Perkataan Muallaf biasanya difahami sebagai seseorang yang baru memeluk Islam. Namun begitu, golongan muallaf boleh difahami melalui dua kategori iaitu kategori baru memeluk Islam dan keduanya kategori bukan Islam yang boleh dipujuk memeluk Islam atau dipujuk supaya tidak mengancam Islam. Perkataan "Muallaf" itu sendiri bermaksud jinak dapat dilihat dalam 2 kategori tersebut.




Selain itu, golongan kelima pula ialah yang disebutkan sebagai al-Riqab. Maksud perkataan al-Riqab secara mudahnya difahami sebagai seseorang yang terbelenggu di bawah suatu kuasa atau keadaan yang menjadi hambatan kepada dirinya bagi menjalani kehidupan yang lebih baik. Misalnya seperti pelacur yang mahu berubah keluar dari kepompong tersebut menjadi manusia yang lebih berguna. Al-Riqab juga boleh diterjemah sebagai Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan samada dari segi cengkaman fizikal atau mental. Golongan keenam pula ialah golongan al-Gharimin. Istilah al-Gharimin berasal dari bahasa Arab yang bermaksud orang-orang yang berhutang.

Menurut pandangan masyhur dalam mazhab Imam al-Syafie, orang yang berhutang yang layak menerima zakat dibahagikan kepada 3 bahagian. Pertama, mereka yang berhutang demi kebaikan keluarga atau diri sendiri, keduanya mereka yang berhutang demi kebaikan individu lain dan ketiganya individu yang bertindak sebagai penjamin hutang orang lain. Kesemua ini disifatkan sebagai golongan al-Gharimin. Selain itu, al-Gharimin juga merujuk kepada mereka yang mengalami kerosakan harta benda akibat ditimpa musibah atau bencana alam seperti banjir, ribut dan kebakaran. Ini sebagaimana disebutkan oleh al-Marhum Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, Fiqh al-Zakat. Setelah itu, golongan ketujuh yang layak menerima zakat ialah golongan Fi Sabilillah yakni mereka yang berjuang di jalan Allah. Ini bermaksud mereka yang terlibat dalam sebarang usaha dan aktiviti yang bertujuan untuk menegakkan dan mempertahankan agama Allah. Ini termasuklah mereka yang menyambung pengajian, gerakan sukarelawan dan seumpamanya.

Golongan terakhir yang kelapan ialah golongan Ibnu Sabil. Perkataan Ibnu Sabil boleh difahami sebagai orang Islam yang kehabisan belanja semasa memulakan perjalanan atau dalam perjalanan yang mendatangkan manfaat serta sesuai dengan hukum Syarak. Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya, al-Mughni, menjelaskan bahawa Ibnu Sabil adalah pengembara yang tidak memiliki (harta) untuk membekali kepulangannya ke negara asalnya, sementara dia merupakan orang yang mampu di negaranya. Maka, dia diberikan sekadar apa yang mencukupinya sebagai bekal untuk kembali ke negaranya. Demikian 8 golongan asnaf yang ditetapkan oleh Allah SWT. Ketetapan ini menjadi kewajiban kepada umat Islam khasnya kepada pihak pemerintah agar memastikan agihan tersebut dilakukan mengikut sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Adapun soal anak yatim dan ibu tunggal tidak termasuk dalam kategori asnaf kecuali mereka berada dalam keadaan lapan asnaf tersebut. Semoga Allah mengampuni kita semua.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan