Sifat kekaguman dan ketakjuban terhadap sesuatu perkara adalah
merupakan nilai dalaman yang dimiliki oleh peribadi setiap makhluk yang bernama
manusia. Kagum dan takjub antara frasa perkataan yang menunjukkan maksud
keterujaan selain menghasilkan rangsangan pada diri untuk merasai kehebatan
terhadap perkara yang dikagumkan. Antara contoh mudah yang sering berlaku
dikalangan masyarakat ialah keterujaan suami isteri menyambut kelahiran bayi.
Sikap keterujaan tersebut akhirnya mendorong diri manusia untuk berkongsi
gambar dengan khalayak ramai. Pun begitu, hakikatnya tidak semua yang melihat
keterujaan tersebut mempunyai niat yang baik. Ini kerana ada yang melihatnya
dengan perasaan hasad, cemburu dan iri hati. Akibatnya, dibimbangi akan terkena
suatu penyakit ancaman halus yang dikenali sebagai penyakit ain.
Penyakit Ain merupakan antara penyakit yang disebutkan dengan jelas
oleh Allah dan Rasul Nya yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Istilah "Ain" merupakan perkataan yang berasal daripada
bahasa Arab yang membawa maksud mata. Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani
dalam kitabnya, Fath al-Bari, beliau menyebutkan bahawa ain adalah
pandangan hasad daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada
orang yang dipandangnya. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa penyakit
ain boleh terjadi dengan rasa takjub walaupun tanpa ada sifat iri dan hasad, (boleh
juga terjadi) walaupun daripada orang yang mencintai dan (walau) daripada
seorang yang soleh (tanpa disengajakan). Imam Ibnu al-Qayyim pula dalam
kitabnya, Zad al-Ma'ad, menyatakan jiwa orang yang menjadi penyebab ain
boleh menimbulkan ain, tanpa hanya dengan penglihatan. Bahkan kadangkala ada
orang buta, kemudian diceritakan tentang sesuatu kepadanya lalu jiwanya boleh
menimbulkan ain walaupun dia tidak melihat sesuatu itu.
Berdasarkan penjelasan tersebut, penyakit ain merupakan suatu
ancaman yang bersifat halus yang terjadi kerana pandangan mata yang takjub dan
hasad. Boleh juga terjadi dengan pandangan mata yang takjub walau tidak ada
perasaan hasad. Selain itu, penyakit ain juga turut boleh terjadi kerana
keadaan jiwa dan tidak semestinya semata-mata kerana pandangan mata. Di dalam
al-Quran, terdapat beberapa dalil dan bukti yang menjelaskan tentang penyakit
ain. Misalnya, firman Allah SWT dalam surah al-Qalam ayat 51 yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir
dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan
kebencian).”
Imam Ibnu Kathir di dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Qur’an
al-‘Azim, ketika menjelaskan ayat tersebut, beliau menukilkan kata Ibn
Abbas, Mujahid dan lain-lain dengan menyebut mereka yakni orang-orang kafir
dengki kepada Nabi Muhammad kerana kebencian mereka terhadap baginda.
Seandainya bukan kerana perlindungan dan pemeliharaan Allah pada baginda Nabi
dari mereka nescaya baginda Nabi tidak selamat yakni akan terkena penyakit ain.
Menurut penjelasan ayat ini, jelas kepada kita akan hakikat kewujudan penyakit
ain yang bersifat halus ini. Kebenaran mengenai ancaman halus penyakit ini
turut dijelaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Ini sebagaimana yang terdapat
dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Nabi
SAW bersabda yang bermaksud :
"Al-‘ain itu adalah haq (benar).”
Dalam lafaz lain hadith riwayat Muslim, daripada Ibnu Abbas
Ranhuma, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
“Al-‘Ain itu haq (benar). Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar
maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk
mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah.”
Berdasarkan hadith tersebut, Imam al-Nawawi dalam kitabnya, Syarh
al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, beliau menyebutkan bahawa hadith ini terdapat
ithbat (ketetapan) keimanan pada takdir Allah SWT dan benarnya perkara ain
(penyakit ain) dan bahawa ia sangat berbahaya. Selain itu, Allah SWT juga
menegaskan tentang bencana hasad (dengki) yang mampu membuatkan manusia merana.
Ini sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Falaq ayat
1-5, yang bermaksud :
"Katakanlah: "Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai
subuh, dari kejahatan makhluk-Nya, dan dari kejahatan malam apabila telah gelap
gulita, dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang mengembus pada
buhul-buhul, dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki."
Demikian sebahagian ayat al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi bukti
dan hujah akan kebenaran kewujudan penyakit ain. Oleh yang demikian, Islam
telah menggariskan beberapa panduan untuk merawat penyakit ain yang menjadi
ancaman halus tidak berupa ini. Penyakit ain pada hakikatnya boleh diubati dan
dirawat sama seperti penyakit yang lain. Dalam sebuah hadith riwayat Ahmad,
daripada Amrah daripada Aisyah Ranha, beliau berkata yang bermaksud :
“Pada suatu ketika Nabi SAW masuk rumah. Tiba-tiba beliau mendengar
anak kecil menangis, lalu Beliau berkata : “Kenapa anak kecilmu ini menangis?
Tidakkah kamu mencari orang yang boleh mengubatinya daripada penyakit ‘ain? ”
Dalam hadith lain riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Sesungguhnya Rasulullah SAW mengarahkannya (iaitu Aisyah) untuk
mengubati dirinya daripada penyait ‘ain.”
Berdasarkan petunjuk hadith tersebut, maka difahami oleh kita semua
bahawa penyakit ain yang menjadi suatu ancaman halus kepada manusia boleh
diubati dan dirawat sama sebagaimana penyakit-penyakit yang lain. Antara bentuk
rawatan yang boleh dilakukan berdasarkan petunjuk hadith Nabi SAW ialah dengan
membaca jampi atau disebut sebagai ruqyah. Hal ini sebagaimana yang disebutkan
oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada
Buraidah bin al-Husyaib, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Tidak ada ruqyah (yang lebih bermanfaat), kecuali untuk penyakit
‘ain, atau penyakit yang diakibatkan sengatan binatang berbisa..”
Hadith tersebut juga boleh difahami dengan membaca doa sepertimana
yang diajarkan oleh baginda Nabi SAW. Baginda telah membacakan doa memohon perlindungan
daripada segala kejahatan untuk cucu baginda iaitu Hassan dan Hussain. Ini
dapat dilihat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Nabi SAW membaca doa
tersebut dengan bersabda yang bermaksud :
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ
وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ
“Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada
godaan syaitan, binatang berbisa dan daripada pandangan mata yang bersifat
dengki.”
Selain merawat dan mengubati dengan membaca ayat ruqyah atau jampi
seperti yang ditunjukkan oleh baginda Nabi, terdapat juga rawatan melalui
mandian. Hal ini boleh difahami melalui hadith Nabi SAW riwayat Ibnu Majah dan
al-Nasa'ie, daripada Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif, beliau berkata yang
bermaksud :
Amir bin Rabi’ah melewati Sahl bin Hunaif ketika dia sedang mandi,
lalu Amir berkata : “Aku tidak melihat seperti hari ini, kulit yang lebih mirip
(keindahannya) dengan kulit wanita yang dipingit.” Tidak berapa lama kemudian
Sahl terjatuh, lantas beliau dibawa kepada Nabi SAW, lalu dikatakan :
“Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit.” Baginda SAW bersabda : “Siapa
yang kamu curigai telah menyebabkan ini?” Mereka berkata : “Amir bin Rabi’ah.”
Baginda SAW bersabda : “Kenapakah salah seorang daripada kamu membunuh
saudaranya? Seharusnya apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada
diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya.”
Kemudian Baginda SAW meminta air, lalu menyuruh Amir untuk berwudhuk. Amir
mencuci wajahnya, kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian
dalam kainnya. Nabi SAW memerintahkannya untuk menyiramkan (bekas air
wudhuknya) kepada Sahl. Sufyan menyebut, Ma’mar berkata, daripada al-Zuhri :
“Baginda SAW memerintahkannya untuk menyiramkan air dari arah belakangnya.”
Ketika membahaskan hadith tersebut, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani
dalam kitabnya, Fath al-Bari, menukilkan ungkapan Imam Ibnu al-Qayyim bahawa
cara pengubatan ini tidak akan dapat mengambil manfaatnya bagi orang yang
mengingkarinya, orang yang mempersendakannya, orang yang meragukannya atau yang
melakukannya sekadar cuba-cuba tanpa meyakini. Demikian nukilan ungkapannya.
Ini bermaksud kaedah mandian dengan menggunakan air tidak akan dapat merawatnya
jika dilakukan dengan tujuan mempersenda selain melakukan cara tersebut tanpa
keyakinan keberkesanannya. Demikianlah antara cara dan kaedah rawatan yang
diajarkan oleh baginda Nabi. Oleh itu, kita seharusnya berwaspada dengan
bersikap bersederhana dalam berkongsikan sesuatu perkara. Tidak semua manusia
punyai rasa yang sama apabila melihat orang lain diberi nikmat. Semoga Allah
merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan