Anak-anak adalah pelengkap kepada kebahagiaan hidup dalam berumah
tangga. Anak-anak yang merupakan kurniaan Allah dianggap sebagai anugerah
terindah yang tidak ternilai harganya. Oleh kerana itu, menjadi impian semua
yang menjalani hidup berumah tangga untuk memiliki anak. Namun begitu, tidak
semua pasangan diberikan zuriat keturunan oleh Allah. Memiliki anak bermakna
kita sedang memikul amanah terbesar. Amanah tersebut boleh jadi saham pahala di
akhirat sana andai kita benar-benar menjaga amanah ini dengan sebaiknya. Dalam
kebanyakan manusia yang hidupnya dikurniakan anak, tentu sekali mahu melihat
anak-anak membesar dengan baik. Namun andai ajal dan maut yang datang bertamu
terlebih dulu, tiada lagi makna tua atau muda, semuanya bakal kembali ke
pangkuan ilahi.
Persoalan yang timbul, jika anak kecil mati sewaktu di usia belum
baligh, apakah kedudukan mereka di alam akhirat. Begitu juga bagaimana nasib
anak kecil yang bukan beragama Islam mati meninggalkan dunia ini. Apakah
dirinya akan diazab sekaligus dihumban dalam neraka kerana dianggap kafir ?
Bagi merungkaikan persoalan ini, kita perlu memahaminya dalam dua kerangka
besar. Pertamanya, kedudukan anak kecil yang beragama Islam di akhirat sana.
Keduanya pula, kedudukan anak kecil yang mati meninggal dunia, yang bukan
beragama Islam atau disebutkan sebagai kafir. Dalam kerangka pertama, anak
kecil yang meninggal dunia dalam keadaan beragama Islam, sepakat para ulama
menyatakan bahawa anak-anak tersebut berada di dalam syurga. Hal ini
sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Qurtubi di dalam kitabnya, al-Tazkirah,
beliau menyatakan bahawa :
"Pendapat ini sudah menjadi ijma' (kesepakatan) para ulama
bahwa anak-anak orang Islam akan memasuki syurga. Tidak ada yang menentangnya
kecuali kelompok yang menyimpang dari kebenaran,"
Persepakatan pandangan oleh para ulama ini juga bertepatan dengan
firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah at-Tur ayat 21, firman Nya
yang bermaksud :
"Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat
keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat
keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga) ; dan Kami (dengan itu) tidak
mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia
terikat dengan amal yang dikerjakannya”.
Selain itu, di dalam sebuah hadith baginda Nabi Muhammad SAW
riwayat Bukhari, dalam satu peristiwa sewaktu baginda dibawa oleh Malaikat
untuk melihat syurga, antara yang dilihat oleh baginda Nabi ialah syurga yang
dipenuhi oleh anak-anak kecil. Melihat akan hal itu, lalu Malaikat menjelaskan
kepada Nabi yang bermaksud :
"Adapun lelaki yang tinggi itu di dalam Raudhah ialah Ibrahim
SAW, dan sekeliling baginda itu ialah wildan (anak yang meninggal dunia pada
waktu kecil). Maka semua yang dilahirkan pada waktu kecil itu mati di atas
fitrah (yakni Islam dan dimasukkan ke dalam syurga)".
Berdasarkan hadith tersebut, jelaslah bahawa anak-anak kecil orang
Islam yang telah meninggal dunia, mereka berada di dalam syurga dengan penuh
kegembiraan dan berada dalam jagaan oleh Nabi Ibrahim AS. Dalam hadith lain
riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Wahai Ummu Sulaim, tidak mungkin ada dua orang Muslim yang
kehilangan tiga orang anak mereka sehingga Allah memasukkan mereka ke dalam
syurga kerana cintanya kepada mereka." Ummu Sulaim kemudian bertanya,
"Bagaimana dengan dua?" Dia menjawab, "Dua juga."
Sesungguhnya keberadaan anak-anak kecil beragama Islam yang mati
meninggal dunia berada di dalam syurga bukanlah suatu keraguan lagi. Perkara
ini dikuatkan lagi oleh hadith Nabi SAW riwayat Muslim, daripada Abu Hassan RA
yang bermaksud :
"Aku bertanya kepada Abu Hurairah tentang keadaan dua anakku
kecilku yang telah meniggal dunia, “Boleh tidak engkau menyampaikan kepadaku
satu hadis daripada Rasulullah SAW yang boleh memujuk jiwa-jiwa kami kerana
kematian ini?” Jawab Abu Hurairah, “Boleh, anak-anak mereka ialah Da’amis
Syurga. Salah seorang daripada mereka menemui ayah mereka, atau ibu bapa, lalu
menarik bajunya, atau menarik tangannya, seperti aku menarik hujung jahitan
bajumu ini. Anak itu tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan
ibu bapanya ke syurga."
Imam al-Nawawi dalam kitab Syarh Muslim, ketika menghuraikan
maksud hadith tersebut dengan menyatakan bahawa "Da`amis" itu
bererti ahli syurga yang kecil, asalnya ialah du`mūs yang bermaksud
haiwan-haiwan kecil yang berada di dalam air, mereka tidak berpisah dengannya.
Ertinya, anak-anak kecil di dalam syurga tidak berpisah darinya. Selain itu,
menurut Ibnu al-Athir Rahimahullah dalam kitab al-Nihayah fi Gharib
al-Hadith wa al-Athar, beliau menjelaskan bahawa mereka itu bebas bergerak
di dalam syurga, masuk ke dalam rumah-rumahnya, tiada apa yang menghalang
mereka daripada suatu tempat, seperti perangai kanak-kanak ketika di dunia,
tiada siapa yang boleh menghalang mereka memasuki haram (yakni kawasan peribadi
satu-satu keluarga), tiada siapa yang perlu berhijab bila dengan mereka.
Demikian ulasan para ulama berhubung kedudukan anak kecil orang Islam yang
meninggal dunia. Jelaslah mereka berada di dalam syurga.
Dalam kerangka kedua, iaitu kedudukan anak kecil orang kafir atau
bukan beragama Islam yang telah meninggal dunia. Dalam hal ini, para ulama
telah berbeza pandangan. Sekurang-kurangnya terdapat empat perbezaan pandangan.
Antara lain pandangan pertama seperti yang dipegang oleh Imam al-Nawawi,
menyebutkan bahawa mereka anak-anak kecil orang kafir yang meninggal dunia akan
dimasukkan ke dalam syurga. Pandangan ini berasaskan sebuah hadith Nabi SAW
riwayat Bukhari, daripada Samurah bin Junduh RA, sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud :
“…Adapun lelaki yang tinggi di dalam Raudhah (taman syurga) itu,
ialah Ibrahim SAW. Adapun anak-anak yang ada di sekelilingnya adalah setiap
anak-anak yang dilahirkan yang mati di atas fitrah (yakni Islam dan dimasukkan
ke dalam syurga). Lalu sebahagian orang Islam bertanya “Wahai Rasulullah,
adakah ianya termasuk kanak-kanak orang musyrikin?” Lalu Rasulullah SAW
menjawab, “Termasuk anak-anak orang musyrikin…”
Begitu juga berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Isra ayat
15, firman Nya yang bermaksud :
“Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan
seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”
Pandangan kedua, sebagaimana yang dipilih oleh Imam Ibn Kathir,
anak-anak kecil ini akan diuji oleh Allah SWT di akhirat nanti untuk menentukan
sama ada ke syurga atau sebaliknya ke neraka. Pandangan ini juga berasaskan
firman Allah dalam surah al-Isra ayat 15. Imam Ibnu Kathir dalam kitab
tafsirnya, ketika menjelaskan maksud ayat ini menyatakan bahawa demikian itu
merupakan pemberitahuan tentang keadilan Allah SWT di mana Allah tidak akan
mengazab seorang pun melainkan setelah disampaikan hujah kepadanya, yakni
dengan pengutusan Rasul kepadanya. Selain itu, Imam Ibnu al-Qayyim dalam
kitabnya, Tariq al-Hijratain, menyebutkan bahawa :
“...Mereka berpendapat bahawa kanak-kanak kecil orang kafir akan
diuji di sebuah dataran pada hari Kiamat. Setiap orang dikirimkan utusan. Orang
yang mematuhi utusan tersebut akan dimasukkan ke syurga. Manakala yang
membangkang akan dimasukkan ke neraka. Dengan kata lain, sebahagian mereka ada
yang masuk syurga dan sebahagiannya ada yang masuk neraka. Pendapat ini
mencakupi dalil-dalil yang ada dan didokong oleh banyak hadith".
Pandangan ketiga, ada pula yang berpandangan anak-anak ini akan
menjadi pembantu penghuni syurga. Ini berdasarkan sebuah hadith bertaraf lemah
riwayat al-Tabarani dan al-Bazzar, disebutkan bahawa :
“Kanak-kanak daripada orang-orang musyrikin adalah pembantu kepada
penghuni syurga.”
Namun begitu, hadith ini telah dinilai sebagai lemah oleh
kebanyakan para ahli hadith seperti Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fath
al-Bari.
Pandangan keempat, ada pula yang menyatakan bahawa Allah SWT lebih
mengetahui akan kedudukan sebenar mereka ini. Ini bermakna, sebahagian para
ulama lain mengambil sikap bertawaqquf (berdiam diri) dalam menyingkapi
persoalan ini. Pandangan ini pula berasaskan sebuah hadith Nabi riwayat Bukhari
dan Muslim, daripada Ibn Abbas RAnhuma, beliau berkata :
“Rasulullah SAW ditanya berkenaan anak-anak orang musyrikin, lalu
Baginda menjawab: “Allah lebih mengetahui, apa yang mereka kerjakan.”
Demikianlah secara ringkas berkenaan penjelasan mengenai kedudukan
anak-anak kecil yang telah mendahului orang tuanya pergi menghadap ilahi.
Sesungguhnya apapun pandangan yang telah dikemukakan, yakinlah bahawasanya
Allah tidak akan pernah menzalimi para hamba Nya. Ini kerana panji keadilan
Allah terhadap para hamba Nya adalah yang paling tepat hukumannya. Di atas
dunia yang sedang kita diami ini, manusia boleh sahaja berdrama untuk menutupi
kesalahannya namun hal itu tidak akan berlaku di akhirat. Kerana di akhirat,
kita semua akan berhadapan dengan Tuhan yang Maha Adil lagi sempurna akan
segalanya. Semoga Allah meredhai kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan