Bulan
Rajab merupakan antara salah satu bulan-bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT.
Hal ini kerana, sebagaimana yang telah disebutkan oleh baginda Nabi SAW, Allah
SWT menjadikan bulan Rajab itu salah satu bulan Haram. Dalam al Quran, Allah
juga turut menjelaskan kedudukan dan kemuliaan bulan-bulan termasuklah padanya
bulan Rajab. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah al Taubah ayat 36 yang
bermaksud :
"Sesungguhnya
bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah
ditetapkan) dalam kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di
antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu adalah agama
yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang
dihormati itu (dengan melanggar larangan Nya); dan perangilah kaum kafir
musyrik seluruhnya ; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang
yang bertaqwa"
Dalam
sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda
yang bermaksud :
"Waktu
berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi.
Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan
yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah
dan Muharram) dan yang keempat adalah Rajab terletak antara Jamadil Akhir dan
Sya'ban".
Menurut
Imam Ibn Kathir ketika membicarakan berkenaan kelebihan bulan haram, dalam
kitabnya Tafsir al Quran al Azhim, beliau telah menukilkan pendapat Ibn Abbas
yang menyebutkan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan
haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga
sebaliknya, amal soleh yang dikerjakan adalah lebih besar pahala berbanding
bulan-bulan lain.
Berdasarkan
daripada dalil-dalil tersebut, dapat kita simpulkan bahawa bulan Rajab adalah
antara salah satu bulan daripada empat bulan yang mempunyai kedudukan dan
kelebihannya yang tersendiri. Diatas kelebihan ini, segala kezaliman dan
kejahatan yang dilakukan pada bulan Rajab dan pada bulan-bulan haram yang lain,
dosa akan berganda-ganda. Sebaliknya, segala amal soleh yang dilakukan pada
bulan Rajab seperti puasa, solat sunat, bersedekah dan sebagainya adalah lebih
besar ganjarannya berbanding pada bulan-bulan yang lain.
Namun
begitu, dalam keghairahan kita melakukan amal soleh di bulan Rajab, adalah
menjadi tanggungjawab kita memastikan amalan yang dilakukan itu menepati al
Quran dan sunnah Nabi, bukan amalan yang direka-reka atau amalan yang
dikhususkan pada bulan Rajab walhal tidak ada satu pun dalil yang berkaitan
amalan khusus dan tertentu pada bulan Rajab. Kata Imam Ibnu Hajar al Asqalani
dalam Tabyin al 'Ujab bi Ma Wurida fi Fadhl Rajab, beliau menyatakan
bahawa :
"Tidak
terdapat sebarang hadith yang sahih yang boleh dijadikan hujah berkenaan
keutamaan hari-hari tertentu dalam bulan Rajab, dan qiamullail khusus dalam
bulan Rajab. Sebelumku perkara ini telah dipastikan oleh al Imam Abu Ismail al
Harawi al Hafiz".
Adapun
hadith-hadith yang menceritakan tentang kelebihan bulan Rajab adalah palsu dan
batil. Antara hadith palsu yang seringkali disebarkan oleh masyarakat kita
adalah seperti hadith memasuki bulan Rajab. Sepertimana yang sering kita lihat
hadith tersebut yang bermaksud :
"Barangsiapa
yang memberitahu akan kemasukan bulan (1 Rajab) yang mulia ini kepada orang
lain, maka haram baginya api neraka"
Juga
dalam beberapa riwayat palsu yang lain, yang bermaksud :
"Kelebihan
bulan Rajab berbanding bulan-bulan lain adalah seperti kelebihan al Quran
berbanding semua jenis kalam"
Hadith
ini dihukum palsu dan ianya juga merupakan pendapat Imam Ibnu Hajar.
"Janganlah
kamu lalai pada Jumaat yang pertama daripada bulan Rajab kerana sesungguhnya
terdapat padanya satu malam yang dinamakan oleh malaikat sebagai al
Raghaib"
Menurut
Imam Ibnu Qayyim dalam al Manar al Munif, hadith ini dusta
keseluruhannya.
"Barangsiapa
yang berpuasa pada hari pertama bulan Rajab umpama berpuasa setahun,
barangsiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka dan
barangsiapa yang berpuasa pada bulan Rajab sepuluh hari diseru daripada penyeru
dari langit bahawa mintalah lalu diberikan (apa yang diminta)"
Menurut
Imam as Syaukani dalam Fath al Rabbani, hadith ini batil dan tiada asal
baginya.
Demikian
beberapa hadith seputar lalu yang seringkali disebarkan oleh masyarakat awam.
Kita harus berhati-hati di dalam hendak menyebarkan hadith-hadith Nabi
lebih-lebih yang melibatkan ganjaran dan kelebihan tertentu. Ingatlah penegasan
oleh baginda Nabi SAW kepada sesiapa yang menipu diatas namanya. Sepertimana
yang tercatat dalam sebuah hadith sahih riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang
bermaksud :
"Barangsiapa
yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam
neraka"
Dalam
hadith yang lain riwayat Bukhari dan Muslim, sabda baginda Nabi SAW yang
bermaksud :
"Janganlah
kamu berdusta di atas namaku, kerana ia iaitu yang berdusta di atas namaku
tempatnya adalah neraka"
Demikianlah
penegasan dan tegahan baginda Nabi SAW kepada golongan yang berdusta diatas
namanya. Hal ini termasuklah pada mereka yang berkongsi dan menyebarkan sesuatu
hadith palsu. Oleh yang demikian, adalah wajib kita perlu lebih berhati-hati
dan lebih teliti dalam usaha berkongsi dan menyebarkan kebaikan, lebih-lebih
lagi dalam urusan kehidupan beragama.
Untuk
itu, sebagai seorang muslim, kita seharusnya lebih bertanggungjawab
mempertahankan kesucian kalam Nabi SAW dengan cara menyebarkan hadith-hadith
yang sahih dan tidak menyebarkan sebarang hadith palsu lagi batil. Jika
sekiranya tidak ada sekalipun hadith palsu berkaitan bulan Rajab, tidak
bermakna bulan Rajab tidak memiliki kelebihan dan keistimewaan. Kerana Allah
dan rasul Nya telah mengiktiraf kelebihan bulan Rajab. Semoga Allah memberikan
kita kesedaran yang tinggi untuk mempertahankan kesucian hadith baginda Nabi
SAW.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan