Sabtu, 19 Februari 2022

KHURAFAT & PENDIRIAN ISLAM

 

Perkataan khurafat adalah berasal daripada bahasa arab. Dalam pelbagai definisi, menurut al Mu'jam Al Wasith, khurafat membawa makna cerita-cerita mempesona yang dicampur adukkan dengan perkara dusta. Kamus al Marbawi pula memberi makna cerita karut (karut-marut). Berdasarkan pelbagai definisi yang ditemui, dapatlah kita rumuskan bahawa khurafat adalah merujuk kepada semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, atau sebarang kepercayaan yang berupa ramalan, pantang-larang atau pemujaan.

Hukum beramal dengan perkara khurafat adalah haram dan berdosa besar. Malah amalan khurafat tersebut menjerumus manusia ke lembah kesyirikan. Ketahuilah bahawa dosa syirik adalah dosa paling besar dan tidak akan diampuni oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah an Nisa' ayat 48 yang bermaksud :

"Allah tidak ampunkan dosa syirik sementara Dia memaafkan dosa-dosa yang lain. Maka sesiapa yang mempersekutukan (syirik) kepada-Nya sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar"




Perkara-perkara khurafat seperti mempercayainya ramalan-ramalan tertentu, mempercayai akan kewujudan sial dan malang, juga seperti mempercayai akan kelebihan dan kemudharatan tertentu, adalah haram dan ditegah oleh Islam. Hal ini sepertimana yang disebut dalam sebuah hadith riwayat at Tabrani, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Bukan dari golongan kami sesiapa yang merasa sial atau meminta diramalkan kesialannya atau menenung nasib atau minta ditenungkan atau mensihirkan atau meminta disihirkan"

Termasuk sebahagian khurafat juga adalah mempercayai kesialan, nasib malang pada bulan Safar. Dalam sebuah hadith yang lain, riwayat Bukhari, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Tiada penularan penyakit, tiada thiyarah, tiada nasib malang pada burung hantu, dan tiada musibah pada bulan Safar"

Selain itu, Islam juga melarang sebarang sembahan yang dipercayai mempunyai keramat tertentu seperti kubur tok wali, pokok keramat dan lain-lain. Pada zaman arab jahiliah, terdapat satu amalan khurafat yang terkenal iaitu dengan melepaskan burung sambil melihat kearah mana burung tersebut tersebut. Maka lahirlah pelbagai kepercayaan baik atau sialnya sesuatu perkara. Nabi SAW telah melarang akan perbuatan khurafat tersebut. Sepertimana yang disebutkan dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud dan At Tirmizi, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Percaya kepada burung itu syirik, dan tiada seorang pun dari kita melainkan dilanda oleh perasaan itu, tetapi Allah akan menghilangkannya dengan tawakkal"




Begitu juga mempercayai akan hal-hal kubur keramat, keramat tok wali dan tok guru, ia juga sebahagian daripada perkara-perkara khurafat, karut dan merosakkan akal yang waras. Allah Azza Wa Jalla mengingatkan kita dalam surah al Isra' ayat 56 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik) : Serukanlah orang-orang yang kamu dakwah (boleh memberi pertolongan) selain daripada Allah, maka sudah tentu merek tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya"

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT memerintahkan baginda Nabi SAW untuk bercakap secara tegas kepada kaum musyrik yang telah mendakwa sembahan mereka itu berkuasa atas sesuatu. Oleh itu, Allah SWT mencabar kaum musyrik untuk membuktikan bahawa sembahan mereka itu berkuasa padahal hanyalah khayalan dan karut semata-mata. Tidak ada yang boleh mendatangkan kebaikan atau keburukkan melainkan kuasa Allah semata-mata. Maka amalan menyembah kubur tok wali yang di dakwa mempunyai keramat dan sebagainya adalah perbuatan bodoh bahkan menjurus kepada syirik dan berdosa besar.

Dalam surah yang lain, Allah SWT mengingatkan kita dalam surah an Nahl ayat 73 yang bermaksud :

"Dan mereka menyembah benda-benda yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberikan mereka sebarang rezeki pemberian dari langit dan bumi dan mereka pula tidak berdaya sama sekali mendapat kuasa itu"




Betapa malangnya nasib mereka yang terperangkap dengan amalan khurafat beralasankan kerana adat turun-temurun orang tua dahulu kala. Kepercayaan karut, mistik dan selainnya adalah akar kepada pintu khurafat. Cerita-cerita yang di jaja diatas meja penceramah seperti petua amalan-amalan tertentu memerlukan kepada kebijaksanaan kita untuk menilai agar kita tidak terjerat dengan amalan khurafat yang dibaluti diatas nama agama. Marilah kita merenung firman Allah SWT dalam surah al Taubah ayat 51 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) tiada sesuatu pun akan menimpa kami melainkan dengan ketentuan Allah. Dialah penolong kami, maka hendaklah orang yang beriman itu bertawakkal kepada Allah"

Demikianlah pendirian Islam berkaitan amalan khurafat yang pada dasarnya membodohkan akal yang waras. Adalah penting untuk kita mengenali amalan-amalan yang membawa kepada khurafat. Sekaligus kita wajib menjauhi dengan meninggalkan segala amalan dan kepercayaan karut-marut. Agama Islam yang dibawa oleh utusan Allah bertujuan untuk memandaikan umat manusia, bukan sebaliknya memperbodohkan akal. Semoga Allah melindungi kita semua dari sebarang kepercayaan dan amalan khurafat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan