Khamis, 10 Februari 2022

AWAS ! BERHATI-HATI DENGAN SI TUKANG CERITA

 

Adalah menjadi suatu fitrah bagi seseorang manusia yang berakal waras, cenderung kepada cerita-cerita dan hikayat yang mengkagumkan dirinya. Sebahagian kita gemar mendengar cerita-cerita yang menakjubkan ini sekadar menghiburkan hati dan jiwa. Walau apa pun kecenderungan kita untuk mendengar cerita atau hikayat sesuatu perkara, adalah mustahak untuk kita ketahui bukan semua hal dalam kehidupan ini boleh dibuat cerita itu ini tanpa disandarkan kepada fakta yang benar. Khususnya dalam beragama, cerita atau hikayat bukanlah suatu hujah yang boleh dijadikan sebagai ikutan.

Dikalangan para ulama hadith sejak dahulu lagi, kerapkali mengingatkan kita khususnya umat Islam akan tentang bahayanya golongan tukang cerita atau disebut sebagai "qussas" dan "wu'adz". Angkara golongan ini, telah tercipta lah hadith-hadith palsu, perkara israiliyyat, petua-petua khurafat dan cerita hikayat yang karut-marut. Maka tidak hairanlah apabila wujud sebilangan kecil agamawan yang mencanang cerita itu ini yang akhirnya tidak dapat memberikan apa-apa faedah pada yang mendengarnya. Kesan daripada itu, orang akan lebih ingat cerita karut-marut berbanding kalam Allah dan Nabi. Dengan wujudnya kelompok ini jugak, timbul lah pelbagai petua zikir yang bukan-bukan, yang sumbernya bukan datang dari baginda Nabi SAW.




Dalam catatan sejarah, angkara si tukang cerita ini, umat Islam telah berpecah-belah di zaman Saidina Uthman bin Affan, apabila seorang lelaki Yahudi bernama Abdullah bin Saba' mencucuk jarum halus mencetuskan pergaduhan dan perbalahan dikalangan umat Islam yang akhirnya mengheret umat ke dalam kancah pergelutan kuasa politik. Bermula daripada cerita-ceritanya yang berbaur fitnah dan palsu, sehingga beliau berjaya melahirkan para pengikutnya yang amat taksub padanya dan lebih parah lagi, sehingga mereka ke tahap mencipta hadith-hadith palsu bagi mencapai pengaruh dan demi meraih kuasa politik. Lahirlah Syiah, lalu bertambah lah hadith-hadith palsu bertujuan hendak memenangkan mereka.

Demikian juga Abu Ismah Nuh bin Abi Maryam, atau dikenali sebagai Nuh al Jami', dalam kitab al Maudhu'aat karangan Imam Ibn al Jauzi RA, beliau sendiri mengakui bahawa sememangnya dirinya mencipta hadith-hadith palsu yang kononnya diriwayatkan oleh Ibn Abbas, menceritakan kelebihan surah-surah tertentu, yang tiada dalilnya kerana pada zahirnya nampak baik, beliau mahu mengajak manusia untuk membaca al Quran tetapi dengan cara yang tidak betul, mencipta hadith yang bukan datangnya dari baginda Nabi SAW. Ketika ditanya kepadanya, mengapa beliau sanggup membuat hadith palsu, maka jawabnya beliau melihat ramai orang mula meninggalkan al Quran dan sibuk mempelajari fiqh Abu Hanifah dan Maghazi Ibn Ishaq.

Berdasarkan jawapan Nuh bin Abi Maryam, begitu lunak dan hebatnya alasan yang diberikan demi untuk menutup kesalahan jenayah besarnya iaitu mencipta hadith-hadith palsu. Apa pun alasan serta hujahnya, mereka-reka hadith adalah suatu jenayah besar lagi terkutuk. Mengadakan-adakan cerita tidak berasas, lebih-lebih lagi hal berkaitan agama, adalah amat bahaya dan boleh mengundang barah kejahilan yang besar. Sekiranya Nuh bin Abi Maryam ini masih hidup, nescaya ramai yang akan terpegun dengan ceritanya walhal hal itu telah menyesatkannya.




Meskipun Nuh bin Abi Maryam sudah tiada, namun sebahagian agamawan sedang dan telah mewarisi ideologinya berdusta diatas nama Nabi SAW dengan gemar bercerita hal-hal karut-marut, mengajar selain apa yang dibawakan oleh Nabi, menyebarkan hadith palsu dan bermacam lagi jenayah terkutuk ini. Malangnya, golongan si tukang cerita ini telah mendapat tempat di hati ramai masyarakat. Keadaan ini telah menjadikan kita lebih gemar mendengar cerita-cerita ustaz berbanding mempelajari firman Allah dan sabdaan baginda Nabi SAW. Golongan tukang cerita ini jika dibiarkan, maka bertambah sukarlah usaha untuk memandaikan umat.

Kata Dr. Nasir bin Abdul Karim al Aql dalam al Ahwa' wa al-Firaq wa al-Bida' 'ibr Tarikh al Islam, beliau menyatakan bahawa :

"Qussas mereka itu adalah wu'adz yang mengadakan majlis-majlis untuk memberi nasihat, yang mana menyanggahi majlis ilmu. Mereka memberi nasihat kepada orang ramai dengan pelbagai hikayat, Israiliyyat dan seumpamanya yang tidak ada asal usulnya, atau palsu, atau apa yang akal orang awam tidak dapat memikirkannya".

Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah, seorang ulama hadith al Azhar pernah berkata dalam Al Wasit fi' Ulum wa al-Mustalah al Hadith, katanya :

"Masih ada penceramah yang tidak ada ilmu hadith, sama ada ilmu riwayah atau dirayah. Mereka hanya membaca hadith apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadith tersebut. Apa yang mereka pentingkan hanyalah keredaan orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya. Mereka ini sepatutnya dihalang daripada berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah".

Kesalahan si tukang cerita bukanlah pada perbuatan memberi nasihat dan tazkirah, tetapi pada perbuatan mereka menyampaikan hadith-hadith palsu, cerita karut-marut yang tidak memandaikan umat. Bahkan menyebabkan Islam dilihat semakin susah dan payah. Oleh itu, kita sebagai orang awam seharusnya perlu berhati-hati dengan golongan si tukang cerita ini. Kita semestinya perlu bijak dan cerdik dalam menilai sesuatu intipati yang diajar oleh agamawan kerana dibimbangi kita tertipu oleh golongan tukang cerita ini. Moga Allah meredhai kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan