Mana-mana
manusia yang berakal waras pasti akan tergerak hatinya untuk berfikir dan terus
berfikir tentang hakikat kehidupan yang fana ini. Melihat kepada alam yang
terbentang luas seolah-olah melihat sebuah lukisan yang indahnya tidak terperi.
Langit membiru tegak berdiri tanpa bertiang, bumi yang menghijau terus
menyembah ke bawah. Keajaiban, kekaguman dan ketakjuban. Demikian perkataan
yang boleh diterjemahkan apabila melihat penciptaan alam ini.
Apabila
manusia menggunakan anugerah akal ini, maka tiap-tiap akal yang berfikir akan
bergerak mencari dan terus merasainya akan keajaiban alam ini. Disebalik semua
ini, pasti ada yang mentadbir dan mengaturnya. Oleh yang demikian, manusia
sejak zaman primitif lagi, sudah mempunyai kepercayaan akan adanya sesuatu
kuasa ghaib yang mengatur akan segala hal ini.
Maka
tidak hairanlah, manusia sejak dahulu lagi menyembah bermacam berhala dan
patung, ada yang menyembah alam seperti bulan dan matahari. Semuanya diatas
satu perasaan yang sama iaitu menyakini akan wujudnya sesuatu kekuasaan.
Stephen
Fuch S. V. D, seorang pakar biologi pernah berkata dalam penulisan bukunya
Origin Of Religion yang bermaksud : "Tidak ada puak atau manusia di
dunia ini walau mundur sekalipun mereka atau tingginya tamadun mereka yang
tidak mempunyai kepercayaan kewujudan yang maha berkuasa atau Tuhan, tanpa
apa-apa kepercayaan agama". Ini bermakna, sehebat apa pun seseorang
itu, baik dari tamadun apa pun datangnya dia, semuanya pasti mempunyai perasaan
untuk hidup bertuhankan sesuatu.
Jauh
di sudut benak hati kita, barangkali timbul persoalan besar tentang mengapa
fitrah manusia yang cenderung kepada sifat mahu menyembah ini berada dalam
setiap manusia tanpa mengira bangsa dan kaum apa pun dia ? Kenapa kita sendiri
mempunyai naluri untuk hidup bertuhankan sesuatu kuasa ? Perkara ini sudah pun
dijawab oleh Allah Azza Wa Jalla menerusi firman Nya dalam surah Adz-Dzariyat
ayat 56 yang bermaksud :
"Dan
tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka
menyembah-Ku"
Tujuan
penciptaan manusia itu sendiri adalah untuk menyembah Allah. Diatas tujuan
inilah, manusia pasti memiliki kecenderungan untuk menyembah sesuatu yang pada
anggapannya ianya berkuasa. Sejarah juga menceritakan kepada kita bagaimana
fitrah hidup bertuhan ini telah membuka ruang dan peluang untuk manusia
berusaha mencari makna kekuasaan yang benar-benar berkuasa atas segalanya.
Ketika
manusia bergelut mengembara mencari akan sang kekuasaan yang sebenar, muncul
lah berbagai-bagai sembahan yang semakin lama semakin membuatkan diri berfikir
akan kebenaran. Bermula dari sembahan unsur alam seperti angin, air, bulan,
matahari dan bintang, kemudian muncul pula pemujaan semangat roh, sehingga ke
peringkat menyembah manusia yang masih hidup yang dianggap sebagai wakil tuhan.
Manusia
dengan kudrat akal yang terhad, melalukan pelbagai usaha berfikir dan terus
merungkai untuk mencari hakikat ketuhanan. Seperti Thales, tokoh falsafah
pertama membicarkaan tentang tamadun pemikiran manusia, beliau berpendapat
bahawa asal segala sesuatu itu ialah air. Susulan itu, muncul pula
Anaximandros, beliau menyatakan asal segala sesuatu itu ialah nous, yang tidak
berkesudahan.
Kemudian,
datang Socrates kembalikan landasan pemikiran manusia mencari Tuhan dengan
mengaitkannya dengan penciptaan diri. Untuk mengukuhkan lagi pemikiran beliau,
Plato anak muridnya Socrates, menyakinkan lagi cara fikir gurunya dengan
menyebut kajian tentang adanya Yang Maha Kuasa, penggerak dari segala sesuatu.
Demikian berkembangnya akal manusia dikala berusaha mencari makna hidup
bertuhan.
Tatkala
dalam keadaan kegelutan mencari Tuhan yang sebenar, Allah SWT telah memberikan
jalan keluar kepada segala kegelutan ini. Dalam surah al Hajj ayat 43, Allah
SWT berfirman yang bermaksud :
"Sesungguhnya
segala yang kamu seru selain Allah tidak dapat menciptakan seekor lalat pun,
walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas
sesuatu daru mereka, mereka tidak akan dapat merebutnya kembali dari lalat itu.
Sama lemahnya yang menyembah dan yang disembah"
Berdasarkan
firman Nya, segala yang diseru dan dipuja oleh manusia selain daripada Allah
merupakan suatu perbuatan yang sia-sia sahaja. Tidak dapat memberikan sebarang
fadhilat mahupun mudharat. Oleh yang demikian, agama Islam telah datang untuk
memerdekakan manusia daripada dibelenggu oleh kejahilan hidup bertuhan. Islam
datang dengan membawa kebenaran hanyasanya Allah, Tuhan yang wajib disembah.
Tidak ada sekutu bagiNya. Islam datang untuk menyelamatkan manusia daripada
diperbodohkan menyembah sesuatu yang tidak berkuasa.
Dalam
hidup ini, ada perkara yang berlaku di dalam kawalan kita. Ada juga perkara
yang berlaku di luar kawalan kita. Hal itu juga membuktikan hidup ini mesti
bersandarkan pada sesuatu yang berkuasa. Tujuannya adalah untuk memohon
perlindungan dan peliharaan. Untuk itu, hidup ini sebenarnya tidak dapat lari
daripada bertuhankan yang Maha Kuasa. Adalah luar dari fitrah, apabila kita
mendakwa Tuhan itu tidak wujud. Sangat kepelikkan dan keanehan. Semoga Allah
menjadikan kita dikalangan para hamba Nya yang bertaqwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan