Semakin
hari semakin membimbangkan kita. Integriti yang dahulunya di laungkan sebagai
prinsip unggul kini sekadar terpahat di lencana, tetapi tidak di jiwa. Kempen
menelan berjuta-juta sekadar menghangatkan suasana. Pendidikan dicanang bagai
sekadar melepaskan kata-kata. Undang-undang tidak lebih sebagai perca-perca
kertas sahaja. Malangnya, biarpun badan pencegahan rasuah yang dahulunya sebuah
biro di bawah Jabatan Perdana Menteri, tahun 2008 menyaksikan pertukaran taraf
menjadi sebagai sebuah suruhanjaya khas rasuah, masih gagal memainkan
peranannya bahkan badan tersebut juga terpalit dengan skandal rasuah.
Menurut
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, rasuah merupakan sesuatu penerimaan
atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu
kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan
tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan,
jawatan, upah dan diskaun. Di bawah Akta SPRM 2009, terdapat 4 pertuduhan yang
diperuntukkan untuk pertuduhan rasuah seperti Seksyen 16 & 17,
meminta/menerima rasuah, Seksyen 17 (b) menawar dan memberi suapan, Seksyen 18
mengemukakan tuntutan palsu dan Seksyen 23 menggunakan jawatan/kedudukan untuk
suapan pegawai badan awam.
Amat
malang sekali, budaya rasuah kini membarah dalam kalangan masyarakat tanpa
mengenal pangkat dan kedudukan. Jika dahulu, perasuah biasanya terdiri daripada
kalangan mereka yang melakukan perniagaan seperti kontraktor, memberi rasuah
untuk menerima habuan tender projek, kini gejala rasuah semakin rancak membarah
sehingga melibatkan para pegawai tertinggi perkhidmatan awam. Lebih dukacita
lagi, kes rasuah dipandang sepi bagai angin yang lalu. Seolah-olah kita sedang
menormalisasikan budaya rasuah dikalangan masyarakat.
Seperti
mana kita memandang jijik kepada perbuatan zina, lebih teruk dan dasyat lagi
sepatutnya kita memandang gejala rasuah sebagai jijik, kotor lagi tidak
bermaruah. Hal ini kerana akibat sesuatu perbuatan zina tersebut, akan
merosakan sesebuah keturunan sahaja. Paling teruk, barangkali satu dua pihak
sahaa yang terkesan. Tetapi jika masalah rasuah ini berlaku, bukan setakat
merosakan sesuatu keturunan bahkan menghancurkan masa depan negara sekaligus
meleraikan nilai agama dan moral dalam diri manusia.
Islam
sangat tegas dalam melarang umatnya melakukan amalan rasuah. Apatah lagi
dibudayakannya pula. Ketegasan ini dapat kita lihat menerusi firman Nya dalam
surah al Baqarah ayat 188 yang bermaksud :
"Dan
janganlah kamu makan harta orang lain antara kamu dengan jalan yang batil, dan
janganlah kamu menghulurkan harta kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim supaya
kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa
padahal kamu mengetahui salahnya"
Dr.
Yusuf al Qaradhawi dalam al Halal wa al Haram fi al Islam, ketika mengulas ayat
ini berkata :
"Termasuk
memakan harta orang lain dengan cara batil ialah menerima rasuah/suapan. Iaitu
wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai
tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya atau hukum yang merugikan
lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau di tunda
kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya"
Dalam
hal ini, baginda Nabi Muhammad SAW turut menzahirkan sifat ketegasan baginda
kepada pelaku rasuah sama ada mereka yang memberi atau yang menerima. Hal ini
sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, daripada Thauban RA yang
bermaksud :
"Rasulullah
SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat
penghubung antara kedua-duanya"
Penegasan
ini bukan suatu isyarat baharu, bahkan inilah peranan sebenar umat Islam yang
mesti diterjemahkan dengan tindak-tanduk kita benar-benar membenci dan memusuhi
rasuah. Tidak sekadar ungkapan tetapi dibuktikan dengan tindakan. Namun realiti
yang sedang ditonjolkan pada hari ini, bagai semut yang kecil, gigit tidak
sakit, tapi dibunuh semahu-mahunya. Berbeza dengan si lalat besar, terbang
bersama kotoran, tetapi dibiar terbang bebas tanpa sebarang tindakan. Apakah
undang-undang negara kita sudah dinodai oleh kuasa politik tertentu ? Atau
sememangnya kita sedang berjalan menuju misi negara korupsi ?
Dalam
keadaan ini, secara tidak langsung, kita bukan sahaja sedang menghadapi krisis
rasuah, bahkan lebih menakutkan adalah kita sedang berdepan dengan krisis
keruntuhan nilai agama dan moral. Jika dahulu, dapatan kajian mendapati pelaku
rasuah berlaku dikalangan pegawai yang bergaji rendah. Akibat desakan
peningkatan kos sara hidup, diambilnya rasuah bagi menampung kehidupan. Tetapi
hari ini bukan sahaja pegawai rendah bahkan pegawai tertinggi yang nengepalai
sesebuah organisasi juga termakan rasuah. Apakah gaji mereka juga rendah ? Soal
rasuah tidak lagi berputar alasan kerana gaji rendah. Ianya telah menjurus
kepada soal diri sendiri yang tamak haloba, kelam mata dan jiwa.
Ingatlah
bahawa rasuah bukan sahaja merosakan nilai agama dan moral kita di dunia,
bahkan dijanjikan ancaman azab yang amat pedih tidak terperi sakitnya.
Peringatan Nabi SAW kepada mereka yang memakan harta dari sumber yang haram
termasuklah rasuah, dalam sebuah hadith riwayat Muslim, baginda Nabi SAW
bersabda yang bermaksud :
"Demi
Zat yang jiwaku berada dalam genggaman Nya, seorang yang memasukkan sekerat
daging haram ke perutnya, maka tidak akan diterima amalnya selama 40 hari dan
barangsiapa yang dagingnya tumbuh dari barang haram dan riba, maka neraka lebih
utama untuk membakarnya"
Kita
dalam apa jua lapangan, seharusnya mengambil sikap bertanggungjawab melawan dan
memusuhi rasuah sepertimana yang telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Meskipun
kita bukan siapa-siapa, namun hal itu tidak akan sesekali membuatkan kita
memilih untuk terus berdiam diri dan meredhai kemaksiatan bermaharajalela
merosak serta memusnahkan sistem kehidupan yang normal, aman dan sentosa.
Negara ini ada undang-undangnya. Jangan biarkan undang-undang hanya untuk warga
marhaen sahaja. Mesti telus dan halus. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan