Jabariyah
adalah merujuk kepada suatu kelompok yang berpegang kepada iktikad bahawa
manusia tidak memiliki sebarang daya usaha bahkan sebaliknya Allah memaksa
manusia untuk menyerah kepada takdir semata-mata. Kata dasar perkataan
Jabariyah ialah Jabr yang bermaksud kuat dan berkuasa. Jabr juga merupakan
salah satu nama-nama Allah yang termaktun di dalam al Quran. Firman Allah SWT
dalam surah al Hasyr ayat 23 yang bermaksud :
"Dialah
Allah yang tiada Tuhan selain Dia, Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha
Suci, Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan), Yang Maha
Melimpahkan Keamanan, Yang Maha Pengawal serta Pengawas, Yang Maha Kuasa, Yang
Maha Kuat (menundukkan segala-galanya), Yang Melengkapi segala Kebesaran Nya,
Maha Suci Allah daripada segala yang mereka sekutukan dengan Nya"
Dalam
sebuah hadith Nabi SAW riwayat Bukhari, dari Sa'id al Khudriy, Nabi SAW
bersabda yang bermaksud :
"Pada
hari kiamat nanti, bumi ini bagaikan sebuah roti yang diperlakukan oleh Allah
al Jabbar (Yang Maha Berkuasa) sebagaimana salah seorang diantara kamu yang
memperlakukan rotinya ketika sedang dalam safar (perjalanan), sebagai hidangan
bagi ahli syurga"
Golongan
Jabariyah memaknai al Jabbar itu adalah dengan makna Allah Maha Memaksa.
Menterjemahkan perkataan "al Jabar" kepada makna Maha Memaksa adalah tidak tepat.
Ini kerana, sekiranya difahami al Jabar itu bermaksud Allah Maha Memaksa, maka
sudah tentu kita dapat simpulkan bahawa Allah masih mempunyai kelemahan kerana
terpaksa bersifat memaksa bagi memaksa para hamba Nya untuk taat patuh pada
Nya. Walhal, Allah bersih lagi suci daripada segala sifat kelemahan tersebut.
Menurut
Syeikh Muhammad Soleh al Uthaimin dalam kitabnya Asmaa Allah al Husnaa, makna
nama Allah al Jabbar ini merangkumi tiga makna iaitu menunjukkan makna
kekuatan, makna kasih sayang dan juga membawa makna ketinggian. Berdasarkan
tiga makna ini, kesemuanya merujuk kepada Allah SWT. Allah SWT Maha Kuat untuk
menyusun atur kehidupan para hamba Nya. Dia juga berkuasa untuk memberikan
nikmat kepada hamba Nya yang dikasihi, Dia lah juga yang berkuasa berkedudukan
paling tinggi, mampu menundukkan mana-mana kuasa lain.
Seperti
sifat Allah yang lain, sifat al Jabbar bukanlah sifat bagi manusia. Dalam
sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Kesombongan
adalah selendang Ku, kebesaran adalah pakaian Ku, oleh itu sesiapa pun yang
ingin mengambil salah satu dari dua perkara itu daripada Ku, nescaya akan Aku
lemparkan dia ke dalam neraka"
Berdasarkan
hadith ini, dapat difahami bahawa manusia bahkan seluruh makhluk Nya dilarang
untuk bersifat sombong, berkuasa dan rasa besar diri kerana ianya adalah sifat
mutlak Allah SWT. Termasuk juga al Jabbar, kita tidak boleh bersikap keras
untuk memaksa orang lain menunduk kepada kita. Sebaliknya Allah diatas hak Nya
yang selayaknya, berkuasa dan berkehendak untuk menundukkan mana-mana kuasa
para makhluk Nya.
Fahaman
"Jabariyah" ini diasaskan oleh Jaham bin Safwan. Beliau
seorang ilmuan menetap di Khurasan, Iran pada zaman pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah.
Beliau yang sangat aktif memberi ceramah agama akhirnya mendorong beliau untuk
membuat iktikad pegangan yang terang-terang bercanggah dan menyalahi iktikad
Ahli Sunnah Wal Jamaah. Melalui iktikad pegangan sesat golongan ini, mereka
mendakwa bahawa Allah SWT telah memaksa aturan hidup manusia mengikut apa yang
telah ditentukan oleh Allah.
Ini
bermakna, jika seseorang itu berkelakuan buruk dan jahat, membuat maksiat dan
sebagainya, maka hal itu tidaklah berdosa bagi dirinya kerana demikian itulah
takdir Allah. Seolah-olah Allah lah dalang disebalik tindak-tanduk baik buruk
seseorang manusia tersebut. Mereka beranggapan segala sesuatu yang terjadi
adalah diatas paksaan Allah menentukan nasib untung rugi kita di dunia dan
akhirat. Bagi mereka, manusia tidak ada daya dan usaha. Melainkan hanya
berserah semata-mata pada takdir Nya.
Oleh
kerana fahaman mereka bahawa manusia tidak ada daya dan usaha, maka di sisi
mereka, memadai bagi manusia untuk beriman tanpa beramal soleh. Golongan ini
secara tidak langsung telah memisahkan antara "iman" dan "amal
soleh". Sehingga ketika dan saat ini, masih wujud sekumpulan kecil mereka
yang mendakwa ahli tasawwuf, melampaui batas hingga mendakwa iman cukup sekadar
dihati, tanpa perlu solat, puasa dan sebagainya. Ini juga sebahagian daripada
Jabariyah. Kononnya solat dan lain-lain ibadat lagi khas untuk kumpulan
syariat. Berbeza dengan mereka yang kononnya "maqam tinggi".
Hal
ini secara jelas menunjukkan pegangan mereka ini benar-benar tersasar dan jauh
terpesong dari landasan Islam sebenar. Allah SWT berfirman dalam surah al
Baqarah ayat 286 yang bermaksud :
"Bagi
manusia ada ganjaran berdasarkan apa yang diusahakannya dan mereka akan dihukum
berdasarkan apa yang diusahakannya (juga)"
Jelas
bahawa firman Allah ini menjawab kepesongan fahaman Jabariyah yang menafikan
usaha dan ikhtiar umat manusia. Malah ada segelintir daripada masyarakat kita
terpengaruh dengan fahaman ini sehingga ada yang sanggup dan rela berbohong
berkaitan sijil vaksinasi. Kerana bagi mereka, suntik atau tidak, mati itu
tetap pasti. Dakwaan mereka itu ada benarnya. Namun, dalam keadaan getir ini,
Allah memerintahkan kita untuk berusaha mencari jalan keluar, berubat dan
sebagainya. Bukan sekadar berserah tanpa usaha.
Allah
Azza Wa Jalla mengingatkan kita menerusi firman Nya dalam surah ar Ra'd ayat 11
yang bermaksud :
"Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan
diri mereka sendiri..."
Oleh
yang demikian, menjadi tanggungjawab dan peranan setiap para makhluk Nya untuk
berusaha, ikhtiar dan mencuba melakukan sesuatu untuk mencari jalan keluar, sebaliknya
bukan berserah dan menyalahkan takdir Nya. Allah telah memberikan kita akal
untuk dimanfaatkan, maka dengan anugerah akal tersebut, ianya dapat mendorong
dan membantu kita untuk berfikir menyusun atur gerak tindak tanduk dan bukan
menyerah pada takdir semata-mata. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan