Khamis, 2 Mac 2023

ISLAM DAN ISTILAH MADANI

 

Perkataan "Madani" bukanlah suatu yang terasing lagi. Malah, istilah tersebut bukanlah suatu yang baharu. Sejak berzaman lagi, istilah ini telah digunapakai dan diwacanakan dalam pelbagai aspek dan sudut pandangan. Istilah Madani ini berasal dari kata akar bahasa Arab yang bermaksud kota atau peradaban. Ia juga boleh dimaksudkan dengan kota Madinah yang merupakan kota suci kedua umat Islam. Menurut Dewan Bahasa Dan Pustaka, perkataan Madani membawa maksud sebagai maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.

Dalam sejarah keilmuan Islam, istilah Madani ini telah dibawa dan dimasyhurkan oleh Al-Farabi, seorang tokoh pemikiran Islam. Pada umumnya, al-Farabi diiktiraf oleh para sarjana pemikiran Islam sebagai pengasas falsafah politik dalam tamadun Islam. Beliau juga dianggap sebagai pengasas teori masyarakat madani bukan sahaja dalam konteks sejarah Islam tetapi juga dalam konteks sejarah dunia. Pada karya beliau, kita akan mendapati banyak sekali penulisan-penulisan beliau yang membahaskan soal madani. Misalnya, dalam kitab beliau bertajuk Ihsa' al-'ulum, al-Farabi menggunakan perkataan madani untuk merujuk kepada salah satu cabang ilmu falsafah amali.




Selain itu, perkataan Madani juga turut dibahas dan diwacanakan dikalangan para ilmuwan Barat. Kebanyakan mereka lebih menggunakan istilah "masyarakat madani" atau civil society yang merujuk kepada teori yang dibawa oleh Thomas Paine, John Locke, Jean-Jacques Rousseau dan lain-lain. Turut tidak ketinggalan membincangkan istilah ini adalah bapa falsafah dunia, Aristotle yang membawa idea madani ini melalui karyanya yang bertajuk Politics. Perbahasan dan perbincangan tentang istilah madani ini bukan sahaja diperdebatkan dan dibina persepsi dan asas-asasnya namun lebih luasnya turut diterjemahkan dalam bentuk wacana politik. Kerana untuk membentuk masyarakat itu sendiri memerlukan kuasa politik untuk membina dan membuat dasar melahirkan masyarakat yang bertamadun.

Menurut al-Farabi ketika membahaskan soal madani ini, beliau berpandangan dikalangan masyarakat-masyarakat yang boleh digelar masyarakat madani, terdapat tahap-tahap "kemadanian" atau ketamadunan. Ini berdasarkan apa yang telah beliau kupaskan dalam kitabnya, Fusul al-Madani, beliau dengan tegas menyatakan bahawa masyarakat madani pada tahap yang rendah, mereka saling bekerjasama sekadar untuk memperolehi keuntungan peribadi, bantu-membantu dari segi kebendaan dan sekadar untuk berdagang dan berniaga. Berbeza dengan masyarakat madani yang berada pada tahap tinggi. Dalam masyarakat madani tahap tinggi, beliau menyatakan bahawa mereka berganding bahu untuk membina tamadun yang luhur iaitu untuk mencari dan menegakkan kebenaran.

Selain al-Farabi, antara yang turut membahaskan istilah madani ini ialah Ibnu Khaldun. Beliau dalam karya terkenalnya, al-Muqaddimah, menyatakan bahawa manusia itu madani mengikut tabiinya. Maksud Ibnu Khaldun, manusia yang bertamadun itu bukanlah dicipta pada hal yang baharu tetapi mengikut fitrah ciptaan manusia itu sendiri. Sebagai contoh, manusia yang bertamadun akan menolak sebarang agenda menghalalkan LGBT. Ini kerana, pada fitrah manusia itu, akan saling mencintai berlainan jantina. Berlawanan dengan hal itu, tidak lagi dikira sebagai bertamadun.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud :

“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali (bermasyarakat). Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”




Berdasarkan ayat ini, jelas kepada kita Allah SWT menciptakan manusia yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Selain daripada itu, tidak ada gender yang diiktiraf oleh Allah SWT. Kewujudan beberapa spesis manusia yang keliru akan jantinanya berpunca daripada kecelaruan identiti oleh diri mereka sendiri. Bukanlah kerana dibenarkan oleh agama juga tidak diiktiraf oleh manusia yang berakal waras. Oleh sebab itu, Islam sangat konsisten dalam usaha membina umat manusia yang bertamadun dengan memelihara hak setiap manusia dan meraikan naluri fitrah insani melalui pensyariatan agama. Misalnya, Islam melarang umatnya untuk melakukan perbuatan zina. Namun pada masa yang sama, Islam membenarkan persetubuhan yang halal melalui syariat perkahwinan.

Ketamadunan umat manusia tidak terhad dan tertumpu kepada soal ritual agama semata-mata. Bahkan, ketamadunan itu merencanakan umat Islam untuk berlaku adil kepada mereka yang tidak beragama Islam. Bersikap telus dalam pengurusan, menterjemahkan sifat rahmah sepertimana yang telah diajarkan oleh baginda Nabi SAW. Juga ketamadunan ini merangkumi aspek pendidikan, sosial dan politik. Kerana itu juga, kita akan dapati bagaimana idea yang dibawa oleh al-Farabi tentang ilmu madani yang dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, ilmu madani berkaitan pembezaan antara kebahagiaan sejati dan kebahagiaan bersifat sementara. Akhirnya, ilmu madani bahagian pertama ini akan membuatkan kita menjadi bijak menilai baik buruk dengan menghayati nilai-nilai murni. Manakala ilmu madani pada bahagian kedua, lebih menyentuh soal dasar bagaimana untuk mengatur sistem akhlak, sistem politik dan soal pengurusan yang lain.

Rumusan yang boleh kita katakan, istilah madani telah diperbincangkan dengan panjang lebarnya. Baik dari kalangan tokoh pemikir Islam mahupun dikalangan sarjana Barat. Namun yang lebih penting dan mustahak adalah bagaimana kita mahu menterjemahkan istilah ini dengan mengikut acuan dan panduan dari ilahi. Seterusnya, cabaran juga bagi kita setelah diterjemahkan, bagaimana pula cara pelaksanaannya agar benar-benar mencapai makna sebenar madani itu sendiri. Ini bukanlah gagasan baharu yang sekadar diperingkat bahas sahaja. Namun inilah masanya untuk dilaksanakan agenda mentamadunkan umat manusia merentasi kepentingan tertentu. Maruah Islam harus dikembalikan, kekuatan dan kesepaduan umat wajib diperkukuhkan. Jika kita benar-benar menghayati maksud madani, pastinya kita akan kembali menjadi umat Islam yang bermaruah dan disegani oleh masyarakat dunia. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan