Penindasan
atau kezaliman adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan akan ditentang oleh
mana-mana kelompok manusia yang berfikiran waras. Menolak sebarang bentuk
penindasan dan kezaliman bukan lagi suatu pilihan bahkan ianya suatu
tanggungjawab manusia sebagai khalifah diatas muka bumi Allah SWT ini. Sesuatu
penindasan dan kezaliman boleh terjadi dalam pelbagai aspek kehidupan seperti
penindasan kaum, penindasan ekonomi, penindasan politik dan sebagainya. Jelasnya
di sini, apa jua bentuk penindasan yang berlaku, diatas apa jua nama sekalipun,
Islam telah meletakkan asas menolak segala penindasan yang berlaku.
Termasuklah
juga penindasan yang berlaku dalam sektor ekonomi. Oleh itu, Allah SWT melalui
kitab Nya, al-Quran, telah mengharamkan pengamalan riba yang padanya terdapat
unsur penindasan dan kezaliman. Dalam surah al-Baqarah ayat 275, Allah SWT
berfirman yang bermaksud :
"Allah
telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa
yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia
berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu
(sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah
kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu)
maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya".
Demikian
pula dalam sebuah hadith Nabi SAW riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu
Hurairah RA, bahwa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Jauhilah
kamu daripada tujuh dosa besar ini (perkara yang membinasakan). Para sahabat
bertanya: Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW bersabda: Syirik
kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah SWT
melainkan dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan
diri dari peperangan dan menuduh wanita yang beriman dengan berzina”
Perkataan
"Riba" menurut bahasa Arab bermaksud lebihan, pertambahan dan
perkembangan. Dari sudut istilah pula, terdapat beberapa maksud yang diberikan
oleh para ulama bagi mendefinisikan maksud riba. Antaranya, dalam Ibn Abidin,
mazhab Hanafi menyatakan maksud riba ialah lebihan suatu harta tanpa tukaran
(gantian) di dalam sesuatu akad tukaran harta dengan harta. Maksudnya, lebihan
harta walaupun lebihan itu dalam bentuk hukum sahaja. Selain itu, mazhab Maliki
dalam kitab Kifayah al-Talib, menyatakan riba adalah setiap jenis
daripada jenis riba mengikut yang ditakrifkannya.
Dalam
kitab Mughni al-Muhtaj pula, mazhab Syafie mendefinisikan maksud riba
sebagai suatu akad yang dimeterai sebagai pertukaran barang tertentu tetapi
pada ketika akad dimeterai pertukaran ini tidak diketahui kesamarataannya
menurut ukuran syarak ataupun penyerahan salah satu atau kedua-kedua barangan
tersebut dilewatkan. Demikian pula di dalam mazhab Hanbali, dalam kitab Kasyaf
al-Qina', riba pada sisi mazhab Hanbali ialah berlaku lebihan dalam
beberapa perkara dan kelewatan penyerahan yang dikhususkan dengan perkara
tertentu berdasarkan syariat yang mengharamkannya.
Secara
rumusannya, riba boleh kita fahami dengan maksud segala barangan yang ada unsur
ribawi dan mendapati segala ciri-cirinya seperti tiada bertangguh, maka
dianggap sebagai riba. Perkataan ribawi merujuk kepada barangan yang disebutkan
oleh baginda Nabi SAW sebagai barangan yang punyai harga dan nilai. Ini
sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada 'Ubadah Bin al-Somit
RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :
“Emas
dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan
barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti
sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan
kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki
dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta".
Berdasarkan
hadith ini, jual beli item ribawi seperti emas dan perak mestilah dilakukan
secara serta-merta dan bukan secara bertangguh. Pun begitu, terdapat juga
pandangan ulama seperti Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah, menyebutkan bahawa emas
perhiasan tidak termasuk dalam maksud ribawi. Walaubagaimana pun, secara
umumnya, emas merupakan bentuk item ribawi. Termasuk maksud bagi item ribawi
ini adalah wang kertas yang digunakan sekarang. Ini berdasarkan dalam kitab Fiqh
Manhaji, iaitu fiqah mazhab Syafie semasa yang diiktiraf seluruh dunia,
dengan jelas menyatakan bahawa :
"Setiap
apa yang digunakan sebagai duit mengambil kedudukan (menggantikan) emas dan
perak seperti matawang yang digunakan secara meluas sekarang adalah dianggap
sebagai barang ribawi, berlaku padanya riba mengambil hukum emas dan
perak"
Islam
menolak riba bertujuan untuk menjaga hak peniaga dan juga hak pembeli supaya
tidak berlaku unsur penipuan, penindasan dan kezaliman. Sama ada penindasan
terhadap peniaga atau terhadap pembeli, pengharaman ini melindungi hak secara
saksama. Pengharaman riba juga menunjukkan kepada kita betapa berat dan
jijiknya perbuatan memakam harta atau mengambil harta orang secara batil dan
zalim. Selain itu, Allah juga mengharamkan riba bagi tujuan melarang manusia
daripada bersikap melampaui batas. Mengaut keuntungan berlebihan sehingga
sanggup melakukan kemungkaran. Ini dilarang dalam Islam. Meskipun jual beli
dalam Islam dibenarkan dengan mengambil kira juga soal keuntungan, tetapi
sehingga menipu, menzalimi orang dengan menindas mereka, ianya telah menjadi
batil.
Hakikatnya,
membenarkan amalan riba seolah-olah seperti membenarkan orang yang lemah
diperas ugut oleh orang yang kuat. Akhirnya, yang kuat bertambah kaya dan yang
lemah bertambah miskin. Secara tidak langsung, ini juga akan menyebabkan
ketidakadilan dalam berurusan. Akan timbul penyakit dengki, manusia akan
bermusuhan dan turut menjadikan manusia bertuhankan materialistik semata-mata.
Oleh itu, terdapat pelbagai ayat-ayat yang memberi ancaman kepada mereka yang
mengamalkan riba. Antaranya seperti yang terkandung di dalam al-Quran, surah
al-Baqarah ayat 279, firman Allah yang bermaksud :
"Oleh
itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu),
maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya,
(akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu
(yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu
tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh
sesiapa."
Berdasarkan
ayat ini, bermaksud mereka yang mengamalkan riba setelah diberi hujah dan
keterangan, maka ketahuilah bahawa mereka sedang berperang dengan Allah dan
Rasul Nya. Demikian juga ancaman berdasarkan hadith Nabi SAW riwayat Muslim,
daripada Jabir RA katanya :
"Rasulullah
SAW melaknat orang yang makan harta riba, yang memberikan riba, penulis
transaksi riba dan kedua saksi transaksi riba. Mereka semuanya sama
(berdosa)"
Demikianlah
Islam mengharamkan sebarang bentuk penindasan dan kezaliman keatas manusia.
Haramnya riba tentunya memberikan suatu nilai keadilan kepada semua. Tidak ada
jalan yang halal untuk mengaut keuntungan dengan melakukan riba. Apa jua
namanya, riba tetap haram dan melakukannya akan mendapat dosa besar. Berwaspada
lah kita semua supaya diri ini dan kita semua tidak terjebak ke dalam kancah
riba yang haram lagi berdosa besar ini. Syariat Islam mengharamkan riba
sekaligus memberi isyarat kepada kita bahawa tiada ruang dalam Islam untuk
pemuka-pemuka ini melakukan penindasan dan kezaliman keatas harta orang lain.
Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan