Isnin, 27 Mac 2023

IBADAH PUASA DAN SEJARAHNYA

 

Perbuatan berpuasa boleh dimaksudkan dengan menahan diri daripada makan dan minum. Berpuasa pada maksud syariat Islam membawa maksud menahan diri daripada makan dan minum dan menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbitnya fajar hingga terbenamnya matahari. Berpuasa merupakan amalan kerohanian yang membawa banyak kebaikan bukan sahaja dari sudut pandangan agama bahkan terbukti dengan beberapa kebaikan berpuasa untuk kesihatan fizikal dan mental. Maka tidak hairanlah apabila ibadah puasa ini mampu juga dilakukan oleh mereka yang bukan beragama Islam. Ini kerana, umumnya ibadah puasa ini merupakan suatu amalan kesihatan yang baik untuk diamalkan merentasi agama dan budaya yang ada.

Dalam sejarah, ibadah puasa bukanlah ibadah yang baru diturunkan untuk Islam. Hal ini kerana, sebelum daripada itu, umat manusia terdahulu telah diwajibkan berpuasa sepertimana yang juga telah diwajibkan kepada umat Islam pada hari ini. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan keataa orang-orang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa"




Dalam menafsirkan maksud ayat ini, Imam al-Tabari dalam kitabnya, Jami' al-Bayan'an Ta'wil ayi al-Quran, beliau menyatakan bahawa diriwayatkan umat selepas Nabi Ibrahim AS diperintahkan agar menuruti ajaran Nabi Ibrahim. Allah SWT menjadikannya sebagai pemimpin untuk diikuti dan Nabi Muhammad SAW juga diperintahkan untuk menurutinya sebagaimana yang diperintahkan kepada nabi setelah Nabi Ibrahim seperti berpuasa Ramadan. Imam al-Tabari juga menukilkan riwayat dari al-Suddi bahawa golongan Nasrani juga diwajibkan untuk berpuasa di bulan Ramadan.

Selain itu, Imam al-Qurtubi dalam kitab al-Jami' li Ahkam al-Quran, diriwayatkan daripada al-Sha'bi, juga Qatadah dan selainnya bahawa wujud persamaan di antara puasa zaman Nabi Muhammad SAW dengan umat terdahulu dari sudut waktu dan kadar berpuasa. Dikatakan juga wujud persamaan tersebut pada aspek kewajipan berpuasa, bukan pada aspek waktu dan kadar puasa. Juga dikatakan persamaan itu wujud pada aspek sifat puasa itu sendiri seperti larangan makan dan minum, larangan bersetubuh suami isteri sehingga berbuka puasa. Allah SWT juga mewajibkan puasa pada bulan Ramadan keatas kaum Nabi Musa dan Nabi Isa tetapi mereka dengan sendirinya telah mengubah.

Golongan Yahudi telah mengubahnya dengan menggantikan puasa sebulan Ramadan dengan puasa sehari setahun iaitu pada hari ditenggelamkan Firaun, yakni pada 10 Muharram. Begitu juga golongan Nasrani, sepertimana riwayat yang disebutkan oleh Imam al-Qurtubi bahawa pendeta Nasrani menambah 10 hari lagi kepada 30 hari Ramadan. Kemudian sebahagian pendeta mereka sakit lalu bernazar untuk tambah 10 hari lagi jika sembuh. Maka jumlah bilangan hari berpuasa mereka menjadi 50 hari. Ketika musim panas, mereka tidak mampu melakukan ibadah puasa maka mereka mengubah pula waktu puasa pada waktu lain.

Imam al-Qurtubi yang juga menukilkan riwayat Mujahid bahwa puasa bulan Ramadan diwajibkan kepada semua umat, namun mereka mengubahnya dengan menambah bilangan hari berpuasa sebelum dan selepasnya sehinggalah akhirnya menjadi 50 hari. Mereka juga turut mengubah waktu lain kerana tidak mampu berpuasa pada musim panas sehingga mereka tidak lagi berpuasa pada bulan Ramadan. Diriwayatkan juga bahawa pada zaman dahulu, diharamkan makan, minum dan bersetubuh ketika bulan puasa meskipun pada waktu malam. Ia juga berlaku ketika puasa pada fasa permulaan Islam yang kemudiannya dimansuhkan.




Menurut Imam Ibn Kathir, berterusan sejak zaman Nabi Nuh AS lagi, diwajibkan berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan sehinggalah dimansuhkan dengan diwajibkan puasa di bulan Ramadan. Imam al-Qurtubi menukilkan pula dari pandangan Ibn Abbas dengan menyatakan bahawa umat terdahulu diwajibkan puasa tiga hari setiap bulan dan hari Asyura' (10 Muharram) yang kemudiannya dimansuhkan bagi umat Nabi Muhammad SAW setelah diwajibkan puasa Ramadan. Selain itu, Ibadah puasa bagi umat Nabi Daud AS, mereka diperintahkan dengan kewajipan berpuasa sepanjang tahun dengan cara puasa selang sehari. Kemudian cara puasa ini dimansuhkan menjadi hukum sunat sahaja pada zaman baginda Nabi Muhammad SAW.

Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Dan puasa (sunnah) yang paling dicintai Allah adalah puasa (seperti) Nabi Daud AS"

Dalam pada itu, ibadah puasa juga turut dilakukan oleh agama-agama lain selain Islam dan agama samawi. Berdasarkan pegangan agama Buddha, amalan berpuasa dikenali sebagai Uposatha yang dilakukan pada 1,8,15 dan 23 mengikut kalendar Buddhis. Selain itu, Sidharta Gautama juga pernah berpuasa dengan amalan puasa ekstrim sewaktu dalam pengembaraan beliau. Dikalangan penganut agama Buddha juga ada yang mengamalkan amalan puasa ekstrims yang dikenali sebagai Sokushinbutsu. Menurut Paul Williams, amalan Sokushinbutsu ini mula diamalkan oleh Sami Kukai. Sami Kukai mengamalkan puasa ekstrims ini dengan mengurangkan makan, setelah itu beliau bertindak menghentikan pengambilan makanan dan minuman sambil terus melakukan amalan meditasi agama Buddha.

Amalan berpuasa dalam agama Hindu pula terdapat banyak jenis cara dan kaedahnya. Pada agama Hindu, tidak ada cara yang khusus bagi penganutnya berpuasa. Amalan berpuasa dalam agama Hindu disebut sebagai Upavasa. Perkataan "Upa" itu sendiri membawa maksud dekat. Manakala perkataan "Vasa" pula bermaksud dewa. Ini bermakna, amalan puasa di dalam agama Hindu bertujuan untuk mendekatkan diri dengan dewa mereka. Dikalangan mereka yang berpuasa, ada yang tidak makan dan minum selama mereka berpuasa. Ada pula yang hanya minum air dan tidak makan sebarang makanan selama mereka berpuasa.




Demikian beberapa sejarah amalan berpuasa agama-agama yang ada di dunia. Adalah penting bagi umat manusia memahami bahawa tujuan berpuasa bukanlah untuk menyakiti diri sendiri dengan langsung tidak makan dan minum. Malah, dalam ajaran Islam, Allah SWT telah memerintahkan agar para hamba Nya makan dan minumlah dari sumber yang halal lagi baik untuk diri. Ibadah berpuasa yang dilakukan oleh umat Islam sama sekali tidak bertujuan untuk menzalimi atau membunuh diri, sebaliknya agama memberikan panduan beribadah untuk diri dan juga untuk Allah SWT. Islam sentiasa mengajar bersederhana melalui syariat agama Nya. Tidak melampaui batas dan pada masa sama tidak pula terlalu bermudah-mudah. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan