Perkataan
Rahmat adalah sesuatu yang tidak asing lagi bagi umat manusia. Penggunaan
perkataan ini seringkali kita dengar dalam doa yang diucapkan oleh orang Islam.
Tidak kurang juga, mereka yang bukan Islam seringkali mengungkapnya dengan
ungkapan yang sama tetapi dengan bahasa dan nilai yang berbeza. Perkataan
seperti "May God Bless You" jika kita terjemahkan membawa
makna yang sama iaitu semoga Tuhan merahmati kamu. Namun begitu, rahmat bagi
orang Islam berbeza dengan rahmat bagi orang bukan Islam. Seperti kata Imam Ibn
Kathir di dalam kitab tafsirnya, beliau menyatakan bahawa tidak sama orang yang
beriman dengan yang tidak beriman. Inilah yang harus disyukuri oleh orang
beriman. Rahmat Allah bagi orang beriman di dunia dan akhirat. Sebaliknya bagi
yang tidak beriman, rahmat hanya di dunia.
Istilah
"rahmat" berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud kasih
sayang, kurniaan, belas kasihan dan penyayang. Ini juga meliputi kasih sayang,
kurniaan nikmat dan belas kasihan Allah kepada seluruh makhluk Nya tidak kira
sama ada yang beriman mahupun sebaliknya yang tidak beriman. Firman Allah SWT
dalam surah al-A'raf ayat 156, yang bermaksud :
"....dan
rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu...."
Berdasarkan
tafsiran para ulama, seperti yang telah dinukilkan oleh Imam al-Tabari dalam
kitabnya Jami' al-Bayan Fi Ta'wil Ayy al-Quran, beliau menyatakan
pandangan Imam Hasan al-Basri juga Qatadah, mereka menyatakan bahwa rahmat
Allah luas ketika di dunia yang meliputi orang yang baik dan berdosa. Pada hari
kiamat, rahmat Allah adalah khusus untuk orang yang bertaqwa. Tafsiran ini
memberikan gambaran kepada kita bahawa kasih sayang, belas kasihan dan kurniaan
Allah itu sangat luas di dunia untuk semua makhluk Nya termasuklah bagi mereka
yang bukan Islam. Perkara ini telah dizahirkan oleh Allah SWT kepada mereka
yang beriman dan kepada mereka yang tidak beriman. Diatas rahmat Nya jua, kita
lihat orang bukan Islam kadang-kala hidup lebih baik dari orang Islam.
Keluasan
rahmat Allah ketika di dunia tidak dapat diukur dengan angka, tidak dapat
diungkap dengan bahasa dan tidak mampu ditulis dengan pena. Ini sepertimana
yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari,
sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Allah
menjadikan rahmat sebanyak seratus bahagian. Dia menyimpan 99 bahagian dan
menurunkan satu bahagian ke dunia. Di antara bahagian tersebut adalah sifat
saling mengasihi antara makhluk sehingga seekor binatang akan mengangkat tapak
kakinya daripada anaknya takut-takut akan terpijak anaknya".
Demikian
betapa luas tidak terperinya rahmat Allah SWT buat para makhluk Nya meliputi
segalanya termasuklah manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Umum mengetahui,
manusia akan memasuki syurga adalah kerana dengan rahmat Allah, bukan
semata-mata kerana amal soleh yang telah kita kerjakan. Seperti yang dinyatakan
dalam sebuah hadith riwayat Muslim, dari Jabir RA, aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud :
"Amal
soleh kamu tidaklah memasukkan kamu ke dalam syurga dan tidak pula menjauhkan
dari api neraka, tidak pula aku, kecuali dengan rahmat dari Allah SWT".
Persoalannya,
jika benar dengan rahmat Allah sudah memadai untuk memasuki syurga, apa guna
Allah ciptakan dosa pahala. Kemusykilan ini akan membawa kita berfikir pula
siapakah mereka yang akan memperolehi rahmat Allah SWT. Dengan mengharapkn
rahmat Allah semata-mata tanpa berusaha menjadi lebih baik adalah suatu
perbuatan yang sia-sia. Ini kerana rahmat Allah SWT adalah untuk para hamba Nya
yang sentiasa berusaha menjadi insan yang lebih baik. Hal ini berdasarkan apa
yang disebutkan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam surah al-A'raf ayat 56 yang
bermaksud :
"Dan
janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang
membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang
(kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan
(supaya diterima). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang
memperbaiki amalannya."
Berdasarkan
ayat ini, rahmat Allah SWT sentiasa ada dan dekat bagi mereka yang berusaha
menjadi insan yang lebih baik. Untuk memburu rahmat Allah, kita perlulah
berusaha berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan dengan mentaati segala
perintah Nya dan berusaha menjauhi larangan Nya. Ini juga bermaksud berusaha
menjemput rahmat Allah bukanlah sekadar bersangka baik kepada Allah tanpa
berbuat apa-apa sebaliknya menuntut kita untuk melakukan perubahan kearah yang
lebih baik.
Begitu
juga rahmat Allah bagi para manusia yang tidak berputus asa bertaubat memohon
keampunan Nya meskipun telah mengulangi kesalahan tersebut. Allah menyeru para
hamba Nya agar tidak berputus asa untuk terus bangkit dari kesilapan. Firman
Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 53 yang bermaksud :
“Katakanlah
(wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap
diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu
berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala
dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Inilah
antara sebab memperolehi rahmat Nya. Sesungguhnya yang namanya manusia itu
tidak ad yang sunyi daripada melakukan dosa. Oleh yang demikian, jalan taubat
dengan sebenar-benar pengharapan agar Allah menghapuskan dosanya merupakan
suatu kerahmatan bagi hamba Nya yang tidak berputus asa. Lihatlah bagaimana
Allah menceritakan di dalam al-Quran melalui surah Ghafir ayat 7, firman Allah SWT
yang bermaksud :
"Malaikat
yang memikul 'Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji
Tuhannya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang yang
beriman (dengan berdoa merayu): Wahai Tuhan kami! rahmat-Mu dan ilmu-Mu
meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang yang bertaubat serta
menurut jalan-Mu dan peliharalah mereka dari azab neraka."
Demikian
betapa luasnya rahmat Allah meliputi para hamba Nya yang sentiasa bertaubat
memohon keampunan Allah SWT. Maka tidak ada lagi alasan untuk kita
terus-menerus berputus harap mendambakan keampunan Nya. Rahmat Allah juga
dikurniakan kepada setiap anggota badan yang melakukan kebaikan. Dengan rahmat
Nya yang Maha Luas, Allah membuka ruang dan peluang seluasnya kepada hamba Nya
untuk melakukan kebaikan menjemput kerahmatan hanya dengan melalui anggota
badan. Ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith Bukhari dan Muslim,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Setiap
anggota badan manusia adalah sedekah baginya pada setiap hari apabila terbit
matahari; kamu berlaku adil (iaitu mendamaikan) antara dua orang (iaitu dua
orang yang berbalah) adalah sedekah, kamu membantu seseorang menaiki
kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah,
perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah yang kamu untuk pergi
menunaikan sembahyang adalah sedekah dan menghilangkan sesuatu bahaya di tengah
jalan adalah sedekah."
Inilah
sebahagian besar jalan untuk memperolehi rahmat dari Allah SWT. Ada pun soal
dosa pahala, sesungguhnya dalam setiap amal kebaikan itu ada pahalanya dan
dalam pahala tersebut terkandung rahmat Allah. Demikian pula, setiap amal
keburukan itu ada dosanya dan dalam dosa tersebut terkandung murka Nya. Oleh
itu, untuk mendapatkan rahmat kasih sayang Allah, perlulah berusaha melakukan
kebaikan dan kebajikan disamping terselit ganjaran pahala yang dijanjikan. Dosa
pahala merupakan isyarat penting bagi menentukan rahmat atau murka Nya.
Ketahuilah bahawa rahmat tidak datang kepada mereka yang hanya berserah diri
dalam noda dan dosa. Harus bangkit lakukan perubahan, berusaha menjadi yang
lebih baik. Kerana disana, pastinya ada rahmat Allah. Semoga Allah merahmati
kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan