Khamis, 27 April 2023

BIAR HIDUP MISKIN, TETAPI JANGAN PEMALAS DAN PENGOTOR

 

Perjalanan hidup manusia di muka bumi ini merangkumi dua bab terpenting, iaitulah pilihan atau ketetapan. Jika kita lihat pada kehidupan ini, sebahagian besar hidup ini berdiri diatas pilihan kita sendiri. Kita boleh memilih dengan siapa kita mahu bersama, kita boleh memilih apa pekerjaan yang hendak kita lakukan, kita juga boleh pilih untuk apa jua yang terbaik pada sangkaan kita. Namun sebahagian besar yang lain pula merupakan ketentuan hidup yang ditentukan oleh Allah SWT. Sebagai contoh, kita tidak diberi pilihan untuk memilih dilahirkan dari keturunan orang kulit cerah. Kita juga tidak diberi pilihan untuk dilahirkan sebagai bangsa apa dan agama kita. Semuanya itu tertakluk kepada ketentuan Allah.

Begitu juga pada awal kehidupan kita. Jika diberi pilihan, sesiapa pun tidak mahu memilih untuk hidup dalam keadaan miskin dan susah. Pun begitu, kehidupan miskin tidak semestinya kekal miskin selamanya. Dengan kudrat yang ada, dengan izin Nya jua, kita boleh mengubah nasib hidup ini kearah hidup yang lebih senang dan lebih baik. Hidup dalam status kemiskinan bukanlah sesuatu yang mengaibkan. Islam datang melalui syariat Nya yang suci ini, telah memuliakan orang fakir dan miskin dengan mensyariatkan peruntukkan zakat kepada golongan tersebut. Ini sepertimana yang telah disebutkan di dalam al-Quran, surah at Taubah ayat 60 yang bermaksud :

"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada jalan Allah) dan orang-orang musafir (yang terputus bekalan) dalam perjalanan".




Maka hidup miskin tidak berharta bukanlah sesuatu yang memalukan. Islam memuliakan golongan miskin menjamin hak pembelaan terhadap mereka yang kurang bernasib baik ini. Meskipun begitu, hidup miskin tidak bermaksud hanya tunggu dan meminta-minta sambil mengharapkan belas kasihan orang lain semata-mata. Hidup miskin bukanlah bererti tidak perlu melakukan apa-apa atau tidak perlu berusaha mencari rezeki kerana mengharapkan zakat dan sumbangan sana-sini. Perangai seperti ini iaitu dengan mengharapkan bantuan dan pemberian orang lain adalah sikap pemalas yang ditegah dan dilarang dalam Islam. Islam agama yang sangat memerangi sikap pemalas ini. Hal ini boleh disingkap melalui sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api diatas belakangnya lalu menjualnya, dengan sebab itu Allah memelihara maruahnya, maka itu lebih baik daripada meminta-minta kepada manusia, sama ada mereka memberikannya atau tidak"

Selain itu, sikap pemalas ini juga menjadi antara intipati doa baginda Nabi SAW agar tidak dibelenggu hidup dengan kemalasan, kelemahan dan sebagainya. Kata Anas bin Malik RA, dalam sebuah hadtih riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

"Aku mendengar Nabi SAW sering berdoa : "Ya Allah sesungguhnya daku berlindung dengan Mu daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang"

Baginda Nabi SAW sebagai insan yang terpaling mulia di sisi Allah dan para makhluk Nya pun memohon perlindungan kepada Allah daripada bersikap bermalasan, apatah lagi kita sebagai umatnya yang serba kekurangan ini. Sewajarnya kita perlu lebih terbuka untuk berusaha mengubah nasib hidup ini dengan rajin bekerja dan berusaha mencari rezeki yang halal. Tidak sekadar duduk bersahaja menunggu bantuan tiba. Akibat daripada kemalasan berusaha ini juga, akan mengheret kita menjadi seorang yang pengotor. Ini juga berpunca daripada sikap malas berusaha membersihkan diri, halaman rumah dan kawasan sekitarnya. Bermalasan dalam hal kebersihan, antara lain seperti malas mandi, tidak memotong kuku, tidak mengemas rumah, ruang kediaman dan di luar halaman rumah, akan membawa seribu satu penyakit kepada kita.




Islam selain memerangi sikap pemalas, Islam juga menentang dan memerangi sikap pengotor. Dalam al-Quran, menerusi surah al-Muddathir ayat 4, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan"

Menurut Imam al-Baidhawi dalam kitab tafsirnya, Tafsir Anwar al-Tanzil Wa Asrar al-Ta'wil, beliau menyatakan bahawa bersih pakaian ialah bersih daripada segala najis, kerana sesungguhnya membersihkan itu adalah (suatu) kewajipan sebelum (melaksanakan ibadah) solat. Ini sekaligus membawa maksud seseorang yang melakukan solat, berpuasa, menunaikan haji, membaca al-Quran dan sebagainya masih belum dikatakan sempurna dan lengkap keimanannya jika masih mengamalkan tabiat pengotor. Kesedaran untuk hidup dalam keadaan bersih dan sihat merupakan suatu tuntutan dalam Islam. Malah kebersihan juga antara faktor kesempurnaan iman. Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Membersihkan itu (adalah) sebahagian daripada iman"




Hadith ini menunjukkan penekanan oleh baginda Nabi SAW berkenaan kepentingan menjaga kebersihan. Hidup di dalam kemiskinan tidak bermakna hidup mesti dalam kekotoran. Barangkali kemiskinan hidup merupakan suatu ketetapan Allah tetapi hidup dalam kekotoran adalah suatu pilihan diatas diri sendiri. Kita yang memilih untuk hidup selesa dengan keadaan persekitaran yang tidak terurus, jijik dan kotor. Faktor kemiskinan sama sekali tidak menyumbang kepada isu kekotoran. Orang kaya atau miskin, bukanlah punca hidupnya sebagai seorang pengotor. Yang menentukan hidup sebagai pengotor ini adalah diri kita sendiri yang memilih untuk malas menjaga kebersihan. Untuk menyalahkan kemiskinan hidup punca kita menjadi pengotor, betapa banyak di luar sana, mereka yang diuji dengan kemiskinan, namun hidup mereka bersih dan teratur.

Hakikatnya, kemiskinan hidup bukanlah sebuah alasan yang konkrit dalam kehidupan. Meskipun hidup dalam kemiskinan, tetapi ruang dan peluang untuk mengubah nasib hidup menjadi lebih baik sentiasa terbuka bagi mereka yang rajin dan mahu berusaha. Dengan hidup tidak bermalasan, juga akan mendorong kita untuk menjadi manusia yang bersih dan sihat. Hidup dalam kemiskinan tidaklah berdosa dan tidak pula bermaksud terhina. Apa yang menentukan tentang soal dosa pahala ini bukanlah kaya atau miskin. Sebaliknya, yang menjadi penentu akan dosa pahala tersebut adalah tentang sikap kita sendiri. Oleh itu, pilih lah untuk bersikap rajin dan jauhilah daripada tabiat pengotor. Semoga Allah melindungi kita semu daripada sifat malas dan pengotor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan