Sejak
kebelakangan ini, tidak sedikit kisah hubungan intim suami isteri menjadi
perbualan hangat dikalangan masyarakat. Tambahan pula, lebih menggalakkan lagi
keadaan ini apabila pengeluar atau penjual produk ubat kuat tidak lagi segan
silu membuat testimoni yang menceritakan akan cerita dalam kelambu antara suami
isteri. Agak membimbangkan, jika perkara ini cuba dinormalisasikan di dalam
masyarakat, bercakap tentang aksi itu dan ini dikhalayak awam, mendedahkan
teknik itu dan ini berkaitan hubungan intim suami isteri, akhirnya masyarakat
sudah tidak tahu malu dan hilang maruah diri dan pasangan.
Islam
melalui syariat-syariatnya, telah mengatur semua urusan kehidupan manusia ini
bermula sejak bangun tidur hingga lah ke saat tidur kembali. Baik urusan
manusiawi itu membabitkan hal keduniaan seperti berniaga, melancong dan
seumpamanya mahupun melibatkan urusan akhirat, kesemuanya Islam telah
meletakkan asas dan garis panduan yang menjadi perbatasan syarak. Demikian pula
tentang penceritaan hubungan intim suami isteri. Baginda Nabi SAW telah
memberikan peringatan kepada kita akan ancaman pelanggaran amanah terbesar di
sisi Allah adalah dengan menyebarkan cerita hubungan ranjang atau intim suami
isteri.
Dalam
sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Sesungguhnya
di antara seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang
lelaki yang bersama dengan isterinya dan isterinya bersama dengannya (melakukan
hubungan intim), kemudian dia mendedahkan rahsia isterinya".
Berdasarkan
hadith ini, bukanlah bermaksud ancaman ini untuk para suami semata-mata bahkan
para isteri juga dilarang untuk berkongsikan cerita keintiman bersama suami kepada
orang lain. Para sarjana ilmuan Islam seperti Ibnu Abbas, Imam al-Qurtubi,
Mujahid dan lainnya berpandangan hadith ini berkait rapat mengenai hubungan
seksual suami isteri. Selain itu, al-Hirawy dan al-Kalbiy pula menyatakan
bahawa pentakrifan rahsia suami isteri itu adalah secara umum dan tidak terhad
pada hubungan intim sahaja. Syeikh Abdullah al-Bassam pula ketika menghuraikan
hadith ini berkata aib yang terdapat pada pasangan seperti bentuk anggota badan
adalah termasuk dalam rahsia pasangan suami isteri yang tidak wajar diketahui
oleh orang lain.
Imam
An-Nawawi, dalam kitabnya, Syarh Sahih Muslim, ketika menjelaskan hadith
ini, beliau menyatakan bahawa :
“Dalam
hadis ini, terdapat larangan bagi suami untuk menyebar-nyebarkan apa yang
terjadi antara dia dan isterinya dalam perkara istimta’, menggambarkan secara
terperinci yang terjadi di antara keduanya, dan apa yang dilakukan oleh pihak
wanita (isteri), baik berupa ucapan, perbuatan, dan sepertinya. Adapun
semata-mata menceritakan adanya hubungan suami isteri (tanpa menyebutkan
detailnya, pent.), jika hal itu tidak ada faedah dan tidak ada keperluan, maka
hukumnya makruh, kerana hal ini dinilai menyelisihi (menurunkan) muru’ah
(kehormatan seseorang).”
Menjaga
keaiban hubungan intim suami isteri merupakan peranan dan tanggungjwab bersama
pasangan. Baik suami mahupun isteri, dilarangan sama sekali untuk kita
menceritakannya pada orang lain. Namun begitu, seperti yang dinyatakan oleh
Imam An-Nawawi, sekiranya terdapat keperluan seperti untuk mendapatkan nasihat
perubatan, untuk membuat aduan kepada hakim, ianya adalah diharuskan dengan
tujuan yang dibenarkan oleh syarak. Itupun tidak boleh sama sekali dijaja dan
disebarkan pula pada khalayak awam apatah lagi diperluaskan pula sebaran di
media sosial. Keharusan menceritakan hubungan intim sekadar keperluan bagi
tujuan tertentu sebagaimana yang diungkapkan oleh Syaikh Muhammad Luqman
al-Salafi dalam kitabnya, Tuhfatul Kirom Fisyarhi Bulughil Marom,
katanya :
"Harus
menceritakan hubungan diatas ranjang sekadar keperluan. Misalnya, dituduh tidak
mampu bersetubuh oleh sang isteri, kemudian ia mengubatinya"
Fenomena
menormalisasikan perkongsian cerita hubungan intim suami isteri lebih terbuka
dan terdedah kepada mereka yang menjual ubat kuat. Dalam sebahagian keadaan,
testimoni berkenaan keberkesanan ubat kuat tersebut telah melampaui batas.
Selain itu, topik bualan di tempat kerja juga tidak terlepas daripada fenomena
berkongsikan cerita hal keintiman ini. Amat dukacita sekali, apabila segelintir
rakan sepejabat menjadikan cerita-cerita sebegini sebagai bahan gurauan.
Walhal, perkara ini membabitkan keaiban dan maruah suami isteri. Oleh yang
demikian, Islam dengan peraturannya yang tersendiri, meletakan asas agar kita
tidak melampaui batas dalam soal berkongsikan hal-hal keintiman suami isteri
pada orang lain. Pada namanya suami dan isteri itu, terdapat nilai maruah dan
keaiban yang harus dipelihara bersama.
Sepertimana
firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 187, yang bermaksud :
"Isteri-isteri
kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi
mereka"
Menurut
al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan bahawa isteri itu seperti pakaian adalah
kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara maruah
masing-masing. Beliau menyatakan bahawa dijadikan pakaian itu sebagai satu
perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan
menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan
mereka berdua. Hal ini menjelaskan lagi kepada kita bahawa hidup sebagai suami
isteri memainkan peranan saling tutup menutupi keaiban antara satu sama lain.
Demikian juga Allah menggunakan perkataan "pakaian". Kerana
tujuan utama manusia memakai pakaian baju dan seluar adaah kerana ingin
menutupi tubuh badan diatas sebab malu dan segan.
Lazimnya,
pakaian antara perkara yang rapat dengan kita. Kemana sahaja kita berada, walau
dimana pun kita, pakaian akan sentiasa bersama menutupi keaiban anggota badan
kita. Begitulah juga dengan suami isteri, yang mesti saling menutupi keaiban
satu sama lain dengan tidak berkongsikan cerita membabitkan hubungan intim.
Kita harus sedar bahawa dengan kepantasan internet, kelajuan teknologi akan
membuka banyak ruang dan peluang untuk disebarkan cerita-cerita sebegini. Oleh
itu, peliharalah maruah dan keaiban suami isteri agar kita tidak diancam oleh
Allah SWT kelak. Harus juga diingatkan kepada mereka yang melakukan perniagaan
seperti ubat kuat, lakukanlah iklan dan promosi dengan cara yang lebih baik.
Elakkan daripada berkongsikan kisah hubungan intim orang lain demi mahu
lariskan produk. Mendedahkan cerita dalam kelambu ini demi mencari sesuap nasi,
dikhuatiri tidak diberkati dan diredhai Allah. Semoga Allah merahmati kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan