Rabu, 31 Mei 2023

LGBT DAN TUNTUTAN HAK ASASI MANUSIA

 

Golongan LGBT merujuk kepada mereka yang mengamalkan kehidupan songsang diluar normalisasi fitrah manusiawi. Kecenderungan seksual yang melawan fitrah, juga boleh disifatkan sebagai kecelaruan minda. Secara peribadi, adalah wajar untuk dibuat semakan semula pada golongan ini bagi menjustifikasikan golongan ini sebagai pesakit mental akibat kecelaruan perasaan dan gender. Golongan ini juga boleh kita sifatkan sebagai tidak normal, melawan hukum alam dan seumpamanya. Islam sangat melarang umatnya daripada terjebak dalam kancah tidak bermoral ini. Malah, sejak dahulu kala lagi, golongan ini sama sekali tidak pernah diiktiraf oleh mana-mana ketamadunan dan peradaban manusia.

Oleh itu, bagi memastikan kelangsungan perjuangan tidak normal mereka ini, tidak ada yang boleh ditunggangi melainkan berpaut pada perlembagaan ciptaan Barat iaitu deklarasi Hak Asasi Manusia. Secara umumnya, Islam sejak dahulu lagi telah memberikan hak manusiawi merentasi sempadan perkauman, warna kulit dan agama. Ini dapat dilihat ketika baginda Nabi SAW menubuhkan Piagam Madinah, yang telah menekankan soal hak persaudaraan, keadilan, toleransi, keselamatan, kedamaian dan kesejahteraan. Melalui piagam tersebut, baginda Nabi telah menyatukan dua kaum utama di Madinah, iaitulah Aus dan Khazraj. Disamping berjaya mengeratkan hubungan antara kaum Ansar yang merupakan penduduk tetap Madinah dengan kaum Muhajirin, penduduk Mekah yang berhijrah bersama Nabi SAW.




Golongan LGBT yang berpaut pada hak asasi manusia ciptaan Barat adalah bertuhankan sekular dan liberal. Ini sekaligus menjadi binatang tunggangan golongan LGBT bagi menuntut kebebasan cara hidup mereka yang songsang itu. Pada tanggal 10 Disember 1948, setelah hampir tiga tahun lamanya, akhirnya tercipta lah Universal Declaration Of Human Rights (UDHR) 1948. Dalam UDHR, sebanyak 30 artikel berkaitan hak asasi manusia merangkumi soal kesamarataan, kebebasan, keselamatan diri, larangan perhambaan, larangan buang negeri, kemanusiaan, kesamaan di sisi undang-undang, kebebasan berhimpun dan sebagainya. Rentetan daripada itu, Lembaga Hak Asasi Manusia dan Mahkamah Hak Asasi Manusia ditubuhkan di Strasbourg, Perancis. Penubuhan ini berperanan sebagai mengadili aduan-aduan berkaitan hak asasi manusia.

UDHR sememangnya telah menjadi alat tunggangan golongan LGBT ini bagi memperjuangkan hak mereka sebagai manusia normal. Seperti yang dinyatakan oleh Marks, seorang aktivis LGBT, dalam tulisannya bertajuk "Global Recognition of Human Right for Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender People", beliau merujuk kepada tujuh perkara yang terkandung dalam UDHR. 7 perkara utama tersebut adalah seperti yang termaktub dalam UDHR. Pada perkara 1 berkaitan kebebasan manusia yang dilahirkan adalah sama rata dan mulia.Perkara 2, isu kebebasan tanpa diskriminasi, perkara 3 hak nyawa dan keselamatan diri, perkara 5 hak mendapat layanan yang sama tanpa kezaliman dan penindasan, perkara 6 tentang hak pengiktirafan sebagai manusia di sisi undang-undang, perkara 7 berkenaan kesamarataan setiap insan di sisi undang-undang dan perkara 16 berkaitan kebebasan perkahwinan.

Berdasarkan 7 perkara yang terkandung dalam UDHR tersebut, maka dapat kita simpulkan bahawa perjuangan golongan LGBT yang bertuhankan Barat dan bersumberkan UDHR ini, mereka menuntut 8 perkara utama ini. Antaranya, mereka menuntut aktiviti seks sesama jantina (tanpa mengambil kira soal hukum halal dan haram). Mereka menuntut pengiktirafan terhadap hubungan sesama sejenis atau berlainan jenis. Selain itu, mereka mahukan perkahwinan sesama jantina dibenarkan, mereka menuntut membenarkan gay dan lesbian untuk berkhidmat dalam tentera, selain mahu memperjuangkan undang-undang untuk identiti gender dan ekspresi gender. Mereka juga tanpa segan silu mahu memperjuangkan juga antidiskriminasi berdasarkan orientasi seksual.




Inilah yang menjadi nadi serta tunjang kepada perjuangan LGBT ini. Bersumberkan kitab wahyu mereka, UDHR sentiasa menjadi rujukan utama mereka untuk melindungi aktiviti tidak bermoral mereka ini. Melalui perjuangan tidak bermoral mereka ini, maksud utama mereka adalah untuk mahukan seluruh dunia mengiktiraf kecenderungan seks mereka dan perlu dihormati, di turuti akan hak-haknya oleh kerajaan dan masyarakat awam tanpa sebarang syarat dan bentuk diskriminasi. Mereka juga mahu mengajak masyarakat awam supaya tidak memandang serong kepada golongan LGBT dan tidak bersikap prejudis. Ini sekaligus seolah-olah mahu mengajak untuk kita menolak nilai halal dan haram dalam Islam diatas nama toleransi, hormat-menghormati dan sebagainya.

Namun begitu, kita amat bertuah kerana masih dikurniakan akal yang waras. Warga dunia yang budiman dan waras rata-ratanya menolak UDHR sebagai suatu instrumen dalm perundangan. Ini boleh kita lihat dalam satu penghakiman di Tribunal Sivil di Brussels, UDHR dikategorikan sebagai perisytiharan biasa dan tidak mempunyai kuasa perundangan. Mahkamah pula menyatakan matlamat asal perisytiharan UDHR tersebut diwujudkan untuk melontarkan persamaan idea yang berjaya dicapai oleh semua negara yang terlibat. Begitu juga turut dipersetujui oleh Hakim Mahkamah Tinggi dan Duta Amerika Syarikat ke PBB, Arthur J. Goldberg, beliau berpandangan bahwa UDHR bukanlah satu instrumen undang-undang tetapi sekadar perisytiharan biasa. Malah, Diplomat Amerika Syarikat, Eleanor Roosevelt menyatakan bahawa UDHR bukanlah suatu bentuk perjanjian atau undang-undang.

Demikianlah bagaimana kebuntuan golongan LGBT yang sama sekali tidak pernah diiktiraf oleh mana-mana sejarah tamadun dunia. Pun begitu, beberapa buah negara dunia kini sudah menzahirkan sokongan dan solidariti terhadap perjuangan LGBT. Ianya tetap sama sekali tidak mewakili keseluruhan suara warga dunia yang masih waras dan berakal. Dalam konteks Malaysia, ada baiknya jika kerajaan melihat semula cadangan untuk menjustifikasikan golongan ini sebagai masalah mental. Ini kerana dunia tidak pernah mengiktiraf gender ketiga yang sememangnya di luar tabiat manusia normal. Walau apa pun peluru dan senjata mereka untuk memperjuangkan kebatilan ini, pastinya rapuh dan rebah kerana kebenaran tidak akan pernah tunduk dan padam pada perkara kebatilan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan