Khamis, 8 Jun 2023

NUMEROLOGI : KESYIRIKAN MENILIK DAN MERAMAL

 

Perkataan numerologi adalah merujuk kepada amalan tradisi, sistem kepercayaan atau suatu bentuk ramalan yang dilakukan oleh sesebuah masyarakat dalam hubungan mistik di antara nombor dan benda hidup. Numerologi juga sering dikaitkan dengan ilmu ghaib yang menyatakan sesuatu kelebihan atau keburukan hidup terletak kepada sesuatu angka nombor. Sebagai contoh, telah menjadi kepercayaan masyarakat terdahulu mempercayai bahawa angka 8 membawa maksud durian runtuh atau membawa tuah. Begitu juga dipercayai bahawa angka 4 adalah membawa maksud sial, malang atau mati.

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, istilah Numerologi merujuk kepada maksud sesuatu kajian tentang nombor-nombor yang dipercayai mempunyai pengaruh atau erti tertentu dalam kehidupan seseorang individu dan sebagainya. Berdasarkan definisi ini, boleh kita simpulkan bahwa nuremologi merupakan salah satu cabang ilmu menilik nasib dan membuat ramalan berkenaan kehidupan. Ini juga tidak jauh beza dengan ilmu-ilmu alam lain seperti astrologi yang melibatkan penelitian terhadap pergerakan objek-objek di langit untuk menilik nasib dan membuat ramalan. Numerologi dan astrologi terangkum dalam ilmu pseudosains yang bercanggah dengan kaedah saintifik.




Amalan ilmu numerologi ini telah bermula dengan sejarah yang panjang dengan merentasi garis masa ketamadunan manusia. Pengamalan numerologi ini telah dikenalpasti wujud semenjak tamadun awal manusia lagi. Sebahagian para ilmuan telah mengiktiraf tamadun Mesir Purba dan tamadun Babylon di Mesopotamia sebagai tempat kelahiran numerologi. Selain itu, beberapa tamadun lain juga turut dipercayai mengamalkan ilmu ini seperti tamadun Vedik di India dan tamadun Kuno China. Pada zaman moden, asal usul numerologi ini telah diasaskan oleh seorang ahli falsafah Yunani yang bernama Pythagoras. Beliau merupakan seorang ahli matematik dan falsafah.

Numerologi adalah berasaskan kepada sistem kepercayaan monism atau monistik. Istilah monistik adalah merupakan sebuah gagasan pemikiran yang beranggapan tidak ada perbezaan antara diri dan pencipta tertinggi. Dalam istilah bahasa arab, monistik dikenali sebagai wehdatul wujud. Mereka percaya bahwa segala perkara yang wujud dalam alam semesta ini hakikatnya datang daripada pancaran zat Tuhan yang terzahir buat kali pertamanya dalam bentuk nombor dan huruf. Kesan daripada kepercayaan tersebut, mereka turut mempercayai bahawa setiap nombor dan huruf tertentu mempunyai kuasa tertentu yang dapat menentukan baik buruk dalam kehidupan.

Ilmu Numerologi boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, iaitulah numerologi Arab (Abjad), numerologi China dan numerologi India. Numerologi Arab atau sistem abjad ialah sistem yang meletakan nilai pada setiap nombor. Numerologi China pula beramal dengan mempercayai nombor bertuah yang dikaitkan dengan nasib. Pengamal bagi numerologi China lazimnya terdiri daripada pengamal akupuntur, ahli peramal dan pakar Feng Shui. Manakala numerologi India pula berasaskan sistem setiap nombor terdiri dari abjad-abjad tertentu kecuali nombor sembilan. Demikian antara kaedah numerologi yang telah dan masih diamalkan dengan pegangan dan kepercayaan tertentu yang sudah pastinya bercanggah dengan pendirian Islam yang hanya meyakini Allah SWT semata-mata dan tiada sekutu bagi-Nya.




Meskipun pengamalan ilmu numerologi ini diasaskan oleh ketamadunan terdahulu dan dipelopori oleh mereka yang menganut kepercayaan bersifat pagan (kepercayaan pra-Kristian) namun tradisi ilmu ini turut diamalkan dan diserap masuk oleh masyarakat yang beragama semitik seperti Kristian, Yahudi dan Islam. Sebagai contoh, dalam masyarakat Yahudi, ilmu numerologi dikenali sebagai Gematria. Amalan Gematria telah berkembang luas ketika tempoh pembuangan Babylon, iaitu suatu tempoh orang Yahudi dibawa ke Babylon untuk menjadi hamba abdi setelah kota Jerusalem dimusnahkan oleh Raja Bukhtanasar. Ketika dalam tempoh tersebut, orang Yahudi mula terpengaruh dengan amalan numerologi ini.

Dalam sejarah ketamadunan Islam pula, amalan numerologi ini telah dibawa oleh golongan batiniyyah yang dipelopori oleh Ahmad al-Buni dan Ibnu 'Arabi. Kedua-dua tokoh ini berpegang kepada kepercayaan falsafah wehdatul wujud. Ilmu numeologi ini juga dikenali sebagai ilmu al-Asrar al-Huruf (ilmu rahsia huruf) dan ilmu Khowas al-Huruf (ilmu huruf khusus). Berdasarkan penelitian yang dilakukan, ilmu numerologi Islam sangat mirip dengan numerologi Yahudi. Ini kerana persamaan mereka menggunakan sistem angka dan abjad yang disebut sebagai al-Hisab al-Jummal. Amalan numerologi ini boleh kita lihat kepada mereka yang terlibat dalam kumpulan sufism yang melampaui batas. Mempercayai turutan nombor dan abjad mempunyai aura dan kuasa tertentu.

Ilmu numerologi pada zaman moden turut berkembang luas dengan lahirnya buku-buku yang menyebarkan amalan kepercayaan menurut nombor dan abjad ini. Misalnya, pada abad ke 20, telah munculnya L. Dow Balliett, seorang guru numerologi moden dan anak muridnya, Dr. Juno Jordan. Buku Dr. Juno Jordan berjudul "The Romance in Your Name", menawarkan kepada para pembaca suatu sistem unik yang memberikan kunci untuk mentafsirkan numerologi mewakili nama, tarikh lahir dan masa penting lain. Hasil daripada usaha Jordan ini, telah mengabungkan nama-nama ke dalam nombor dan bagaimana perkaitan dengan semua aspek kehidupan termasuk cinta dan hubungan.

Islam sangat melarang umatnya melakukan perkara yang sedemikian. Ini kerana pengamalan dan kepercayaan kepada numerologi akan menjadikan melakukan syirik kepada Allah. Bagi umat Islam, segala ketentuan baik buruk manusia adalah dibawah kekuasaan Allah SWT. Bukan terletak kepada angka dan abjad seperti yang terkandung dalam numerologi. Sesungguhnya dosa syirik merupakan dosa besar yang tidak akan diampunkan oleh Allah sekiranya pelakunya tidak bertaubat. Oleh yang demikian, selagi nyawa dikandung badan, setelah hujah kebenaran dibentangkan, kembalilah kepada akidah yang benar. Jauhilah segala syirik dan khurafat yang sememangnya diiktiraf oleh Allah SWT sebagai sebesar-besar dosa. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan