Sabtu, 10 Jun 2023

SYARIAH ISLAM YANG BERSIFAT UNIVERSAL

 

Kehidupan ini tidak dapat disangkal lagi akan keterikatan manusia dengan sesuatu peraturan atau undang-undang. Dengan kata lain, walau siapa pun kita di muka bumi ini, di mana pun kita berdiri, arah utara, selatan, di timur mahupun di barat, di daratan ataupun di lautan, semuanya akan terikat dengan peraturan dan undang-undang. Pastinya, sesuatu undang-undang itu berdiri diatas sifat untuk melindungi, menjaga serta memelihara kemashalatan manusia meskipun berbeza cara, nama dan lain-lainnya. Undang-undang yang dilaksanakan di sesuatu tempat tentunya tidak sama dengan suatu tempat yang lain. Demikian lah bagaimana dinamiknya manusia mencipta undang-undang demi kemashalatan bersama.

Hakikat kehidupan manusiawi, kita sebagai pembuat dasar undang-undang dan peraturan juga tidak dapat lari dan tidak akan terlepas daripada undang-undang mutlak yang dituntut oleh pencipta kita, iaitulah Allah Azza Wa Jalla. Setiap yang pada namanya makhluk (yang dicipta) pastinya akan tertunduk dan terikat kepada al-Khaliq (sang pencipta). Maka, kita yang berdiri diatas nama manusia, terikat kepada undang-undang kehidupan sepertimana yang termaktub dalam sumber perlembagaan Islam, al-Quran dan al-Sunnah. Bezanya, peraturan yang dibuat oleh manusia pastinya akan terdedah kepada kelemahan dan kerosakan. Sedangkan peraturan yang dicipta oleh Allah atau disebut sebagai syariat Islam, dipelihara oleh Allah dan kekal releven hingga kiamat.

Ini sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran menerusi surah al-Hijr ayat 9, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya"




Menurut Syeikh Musthafa al-Zarqa' dalam kitabnya, al-Madkhal al-Fiqhi al-'Aam, syariah Islam merupakan nas-nas wahyu iaitu al-Quran dan al-Sunnah yang terpelihara daripada kesalahan dan tidak terdedah kepada sebarang perubahan atau pindaan. Demikian ditegaskan oleh beliau. Ini berbeza dengan undang-undang buatan manusia, yang sering terdedah kepada perubahan dan pindaan. Oleh kerana itu, undang-undang buatan manusia pada zaman dahulu telah berubah dan tidak terpakai lagi pada zaman sekarang. Sedangkan al-Quran dan al-Sunnah, yang menjadi sumber perundangan Islam tidak sama sekali berubah atau berlaku pindaan dek kerana kesempurnaannya yang sentiasa menjadi pedoman atau manual kehidupan bagi manusia yang mahu beriman.

Syariah Islam yang diturunkan oleh Allah kepada para hamba Nya adalah bersifat menyeluruh, sempurna dan kekal releven untuk dipraktikkan pada setiap masa dari zaman ke zaman. Kerana itu, syariah Allah yang mulia ini seperti syariah solat, puasa dan sebagainya dilihat sangat menyeluruh, bukan sekadar menunaikan kewajiban sebagai hamba Allah, bahkan terbukti terdapat kebaikan dan kelebihan dari sudut lain seperti sudut sains, teknologi dan kemanusiaan. Relevannya syariah Islam (undang-undang Islam) ini, kekal ditegakkan dari zaman berzaman biarpun setelah wafatnya baginda Rasul SAW. Oleh itu, tidak timbul lagi soal kuno atau moden, kerana padanya melestarikan kehidupan manusia sejajar dengan waktu dan zaman yang berubah. Syariah Islam tidak sama sekali berubah. Apa yang kita nampak sebagai berubah hanyalah pada bab ijtihad para ulama dalam usaha hendak memahami tuntutan dan kehendak syariah Islam.

Maka jika asas ini telah kita faham bahawa syariah Islam merupakan peraturan yang tidak sama langsung dengan peraturan yang dicatur oleh manusia, ini bermakna syariah Islam sesuai untuk semua umat manusia baik dari mana pun ia datang. Apa pun asal-usul keturunannya, apa pun jua warna kulitnya, syariah Islam bersifat sangat universal, menyeluruh, melengkapkan kehidupan pada namanya insan. Seperti yang telah dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran, surah al-Nisa ayat 1 yang bermaksud :

"Wahai sekalian manusia ! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat ; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu".




Justeru itu, syariah Islam adalah bersesuaian untuk semua umat manusia, tanpa mengira warna kulit dan bangsa, tanpa melihat siapa pun dirinya, syariah Islam yang bersifat menyeluruh ini telah menyatukan manusia sekaligus mengukuhkan hubungan persaudaraan seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Syariah Islam tidak dibezakan mengikut kaum dan bangsa, warna kulit dan negara. Solat orang Islam berkulit putih sama sahaja seperti solat orang Islam berkulit hitam. Kiblat orang Islam di barat, adalah sama dengan kiblat orang Islam di timur. Demikian juga dengan syariah yang lainnya. Sama sekali tidak ada bezanya. Dengan itu, agama ini tertegak bukan diatas selera dan nafsu manusia, tetapi di pandu dan dibimbing oleh syariah Nya.

Dalam sejarah dunia, tercatat kisah bahwa suatu ketika dahulu manusia terkapai-kapai mencari kesempurnaan undang-undang yang terbaik untuk manusia sejagat. Ini seperti yang telah disebutkan dalam persidangan pertama bagi undang-undang perbandingan di kota Paris pada tahun 1900, mereka yang hadir dalam persidangan tersebut telah mengisytiharkan rumusan bahawa undang-undang antarabangsa diambil daripada undang-undang manusia. Ini bermaksud, untuk membuat sesuatu dasar perundangan, mestilah merujuk kepada tabiat manusia itu sendiri yang juga disebut sebagai undang-undang semulajdi. Hal ini pastinya akan terus terkapai-kapai mencari kesempurnaan undang-undang kerana pada manusia itu sendiri pun penuh lemah dan hina.

Maharaja Kristian Empayar Rom, Justinian pernah mengutarkan suatu pandangannya berkenaan undang-undang semulajadi ini. Seperti yang direkodkan dalam buku yang berjudul Corpus Juris Civilis, beliau menyebutkan bahawa :

"Undang-undang semula jadi merupakan satu sunnah yang telah diilhamkan oleh alam semula jadi kepada seluruh kehidupan di alam ini. Ia tidak terbatas kepada manusia sahaja, bahkan ia terpakai kepada seluruh kehidupan, seperti penyatuan antara lelaki dan perempuan, atau nama lainnya dipanggil sebagai perkahwinan. Manusia menyaksikan bahawa kehidupan di alam ini mampu untuk memahami undang-undang ini"

Apa yang diungkap oleh Justinian ini hanyalah suatu kebuntuan yang tidak akan berkesudahan. Ini kerana, alam semula jadi yang dianggap sebagai sumber perundangan, pun pada alam tersebut tertakluk kepada undang-undang atau syariah Allah. Bulan bintang bersilih ganti bertukar adalah dengan peraturan Allah. Siang malam saling ganti juga dengan peraturan Allah. Oleh itu, untuk mencari kesempurnaan undang-undang, tidak ada jalan yang lebih baik selain kembali mentaati dan tunduk patuh kepada Allah, Tuhan kepada segala sifat kesempurnaan. Demikianlah, apa jua undang-undang yang dicipta, tidak ada yang lebih sempurna melainkan undang-undang Allah. Kepada Nya jualah sebaik-baik tempat bergantung. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan