Ibadah
merupakan sesuatu perbuatan merangkumi bentuk zahir dan batin, yang dibuat bagi
dipersembahkan kepada Tuhan atau ditujukan kepada sesuatu kekuasaan yang dipercayai
dan diyakini. Apa jua yang dinamakan ibadah, pastinya dilakukan dengan sebab
sebagai sebuah persembahan untuk ditunjukkan kepada sesebuah kekuasaan menurut
kepercayaan masing-masing. Oleh itu, ibadah korban boleh kita fahami sebagai
suatu ritual atau perbuatan yang dilakukan untuk dipersembahkan kepada
kekuasaan tertentu dengan maksud dan tujuan yang tertentu. Hal ini dapat
dibuktikan lagi dengan sejarah ketamadunan manusia yang merentasi zaman
berzaman dalam usaha menjalankan ritual atau ibadah berkaitan korban atau
penyembelihan ini.
Lembaran
sejarah mencatatkan bahawa pada awal ketamadunan manusia, masyarakat dahulu
kala yang ketika itu berpegang kepada kepercayaan paganism akan melakukan
ritual korban manusia bagi tujuan memohon restu dari pelbagai jenis tuhan, roh
atau nenek moyang mereka yang telah mati. Lazimnya, ritual korban manusia ini
dilakukan sempena peristiwa besar yang terjadi kepada bumi seperti gerhana
matahari atau bulan. Bahkan, ritual korban manusia ini juga dilakukan bertujuan
untuk melepaskan diri dari masalah yang menimpa sesebuah masyarakat seperti
musim kemarau yang berpanjangan atau tatkala diwaktu kemusnahan hasil pertanian
akibat bencana dan penyakit yang pelbagai.
Pada
zaman tamadun kuno, ritual korban yang dilakukan oleh mereka di Greek Kuno
dikenali sebagai Holocaust. Holocaust atau ritual korban adalah ritual
bersifat apotropaic (sihir pemujaan) yang dilakukan di zaman Greek Kuno ini.
Ritual ini dilakukan dengan membakar haiwan dengan api. Ritual korban dengan
cara membakar haiwan ini dibuat bagi tujuan menjamu Tuhan mereka dan menjamu
sesama mereka yang meyembah Tuhan yang sama. ini diadakan untuk dipersembahkan
kepada Tuhan. Selain itu, ritual Holocaust ini juga dilakukan bertujuan untuk
menenangkan roh dunia bawah termasuk wira Yunani yang merupakan roh orang mati.
Catatan sejarah juga menyatakan bahawa pada zaman Mesir Purba dibawah
pemerintahan Firaun, terdapat ritual korban dilakukan. Ritual korban ini adalah
dengan mengorbankan manusia lain. Pada zaman tersebut, ritual ini dilakukan
apabila terdapat golongan bangsawan yang meninggal dunia, lalu akan dikorbankan
para pekerja istana dengan tujuan membantu majikan mereka di alam kematian. Hal
tersebut juga disebut sebagai retainer killing.
Dalam
kepercayaan agama Hindu, pelbagai upcara korban yang melibatkan persembahan
kepada dewi-dewi mereka. Namun dengan sebab peredaran zaman, tradisi ini hilang
disebabkan gerakan-gerakan pembaharuan oleh para pertapa zaman Upanishad,
Jainisme dan Buddhisme. Sebaliknya, suatu bentuk upacara korban haiwan yang
baru mula menular ke dalam masyarakat Hindu yang dikenali sebagai perayaan
Gadhimai. Perayaan Gadhimai merupakan perayaan bagi mereka yang beragama Hindu,
dilakukan di kuil Gadhimai, Nepal. Gadhimai juga umpama sebuah acara pesta
terbesar membunuh haiwan di dunia yang melibatkan pembunuhan haiwan seperti
kerbau, babi, kambing, ayam dan burung merpati. Ritual ini dilakukan bertujuan
untuk memuaskan dewi Gadhimai. Selain itu, dalam Hindu juga terdapat beberapa
lagi perayaan yang dilakukan dengan cara mengorbankan haiwan. Antara lain
disebut sebagai Durga Puja. Dalam perayaan ini, ritual korban akan dilakukan
dengan memancung kambing dan haiwan lain bagi tujuan dipersembahkan kepada dewi
Puja. Begitu juga, perayaan Kali Puja. Mereka akan memancung kepala haiwan
untuk dipersembahkan kepada dewi Kali.
Dalam
tradisi kepercayaan agama Yahudi, berdasarkan kepada kitab Perjanjian Lama,
ritual korban dilakukan untuk dipersembahkan kepada Yehwah. Mereka akan
mengorbankan haiwan seperti kambing, kerbau dan lembu. Kemudiannya, hasil
korban tersebut akan diletakkan di altar, sebuah nama tempat penyembelihan.
Tempat Altar itu sendiri merupakan simbol kepercayaan umat Yahudi dimana Nabi
Ibrahim mengorbankan anaknya. Begitu bagi agama Kristian, terdapat kewajiban
bagi mereka untuk melakukan ritual korban. Menurut mereka, penyaliban Jesus
merupakan salah satu korban teragung. Khususnya dalam kepercayaan umat Katolik,
Gereja Katolik Roma sangat menekankan ritual korban ini diadakan bagi maksud jamuan
makan yang suci sebagai sarana keselamatan umat. Bagi gereja Protestan pula,
umumnya ritual korban dilakukan oleh mereka bertujuan untuk menekankan soal
memberi makan sebagai peringatan akan kematian dan pengorbanan Jesus bagi umat
manusia.
Dalam
Islam, syariat korban telah bermula sejak zaman Nabi Adam AS. Ini berdasarkan
apa yang dinukilkan oleh Imam Ibn Kathir, bahawa beliau meriwayatkan dari Ibn
Abbas RA tentang bagaimana kedua putera Nabi Adam, yakni Habil dan Qabil
diperintahkan agar melakukan ibadah korban bagi menyelesaikan pertelingkahan
antara keduanya kerana Qabil enggan menuruti perintah ayahnya, Nabi Adam AS
untuk mengahwini kembar Habil. Kisah ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah
al-Maidah ayat 27 yang bermaksud :
"Dan
bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam
(Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua
mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada
Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak
diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Sesungguhnya aku
akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) dari
orang-orang yang bertaqwa;"
Menurut
Imam Ibn Kathir, dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-Azhim, daripada
Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Ash R.anhuma beliau berkata :
"Sesungguhnya
dua anak Adam yang melaksanakan korban lalu diterima korban salah seorang dari
mereka dan tidak diterima korban dari yang satu lagi. Salah seorangnya (Qabil)
adalah merupakan pemilik kebun dan yang satu lagi merupakan pemilik kambing.
Keduanya diperintahkan untuk melakukan korban. Pemilik kambing mempersembahkan
kambing paling bernilai, paling gemuk, dan yang terbaik yang dimilikinya.
Manakala pemilik kebun mmempersembahkan hasil tanamannya yang paling buruk dan
tidak elok. Lalu Allah S.W.T menerima korban pemilik kambing dan tidak menerima
korban pemilik kebun tersebut".
Demikianlah
sejarah ibadah korban pertama di dunia yang dilakukan oleh Habil dan Qabil.
Tujuan utama ibadah korban dilaksanakan adalah untuk mendekatkan diri kepada
Allah. Dalam melakukan ibadah korban, Allah SWT tidak melihat jumlah haiwan
yang dikorbankan. Sebaliknya, Allah menghitung dan menerima ibadah korban bagi
hamba Nya yang ikhlas lagi bertaqwa. Oleh kerana itu, menyembelih haiwan
ternakan bagi tujuan melakukan ibadah korban akan diterima oleh Allah bagi
hamba Nya yang benar-benar ikhlas dan bertaqwa. Pada hari raya korban, umat
Islam diharamkan berpuasa mulai 10 Zulhijjah hingga akhir hari Tasyrik, iaitu
pada 13 Zulhijjah. Menjadi tuntutan dalam Islam, memasuki 1 Zulhijjah,
digalakkan untuk kita membesarkan Allah dengan memuji dan memuja dengan
ungkapan takbir, tahmid dan juga tahlil. Kita juga dituntut untuk
memperbanyakkan amal soleh pada 10 hari pertama di bulan Zulhijjah. Begitulah
syiar Islam ditegakkan melalui petunjuk Nya, al-Quran dan melalui lidah
rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan