Khamis, 15 Jun 2023

ADA APA DENGAN KAABAH ?

 

Lazimnya, masyarakat terutamanya di kalangan orang bukan Islam seringkali tertanya apakah orang Islam menyembah Kaabah. Ini kerana berasaskan apa yang mereka lihat tentang perilaku orang Islam itu sendiri mendirikan solat dalam keadaan mengadap ke arah Kaabah. Dari perspektif kemusykilan tersebut juga, telah timbul pula kemusykilan yang lain berkenaan bangunan Kaabah itu sendiri. Barangkali ramai juga yang berfikir apa yang ada pada Kaabah itu sendiri. Apakah kemuliaan yang ada padanya sehingga dijadikan sebagai kiblat utama orang Islam. Lebih mustahak lagi, apa yang ada dalam bangunan Kaabah itu sendiri sehingga dikelilingi oleh jutaan manusia yang beragama Islam.

Perkataan "Kaabah" itu sendiri berasal dari bahasa Arab yang bermaksud rumah berbentuk kotak. Perkataan Kaabah berasal dari kata ka'aba (كعب) yang bermaksud menjadikan kotak atau mengotakkan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan Kaabah merujuk kepada sebuah bangunan suci berbentuk kiub yang terletak di tengah-tengah kota Mekah yang juga menjadi kiblat solat dan tempat bertawaf umat Islam pada waktu menunaikan ibadah haji dan umrah. Dalam istilah lain, Kaabah juga disebutkan di dalam al-Quran dan hadith dengan beberapa perkataan lain seperti Bait (rumah), Baitul haram (rumah suci), Baitullah (rumah Allah), Baitul Ateeq (Rumah Tua) dan Awal ul Bait (rumah pertama).




Nama dan sejarah Kaabah telah disebutkan oleh Allah SWT melalui firman Nya di dalam al-Quran. Kaabah telah diiktiraf sebagai bangunan pertama di bumi yang dibangunkan oleh manusia. Selain itu, Kaabah juga telah disebut sebagai rumah ibadah pertama yang dibina di muka bumi. Seperti yang dinyatakan oleh Allah, dalam surah Ali Imran ayat 96 yang bermaksud :

"Sesungguhnya rumah (ibadah) pertama yang dibangun untuk manusia, ialah (Baitullah) yang di Bakkah (Mekah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi seluruh alam"

Namun begitu, para ulama berbeza pandangan tentang siapa yang pertama memulakan pembinaan membina Kaabah. Perbezaan pandangan tersebut seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Allamah Badr al-Din al-'Ayni dalam kitab Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, terdapat tiga pandangan berkenaan golongan pertama yang membina Kaabah. Pandangan pertama, disebutkan bahawa malaikatlah yang terawal membinanya untuk mereka tawaf kerana takut kepada Allah. Dalam riwayat Al-Azraqi, beliau berkata bahawa Allah SWT berfirman kepada malaikat: “Aku akan menjadikan khalifah di muka bumi.” Kemudian para malaikat bertanya: “Adakah Tuhan kami hendak menjadikan di bumi orang yang akan melakukan kerosakan?”

Setelah itu para malaikat berasa bersalah dan takut dimurkai oleh Allah SWT, lalu mereka bertawaf di sekililing Arasy untuk memohon ampun kepada-Nya. Kemudian Allah menjadikan di bawah Arasy sebuah rumah iaitu Bait al-Ma’mur lalu berfirman kepada malaikat agar bertawaf di rumah itu dan bukan lagi di Arasy. Kemudian Dia mengutuskan para malaikat supaya membina baitullah di bumi supaya makhluk di bumi dapat melakukan tawaf sebagaimana makhluk di langit bertawaf di Bait al-Ma’mur.




Pandangan kedua, dikatakan Nabi Adam AS. Ini juga pandangan yang disebut oleh tokoh sejarawan Islam, Ibn Ishaq. Al-Azraqi meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata :

“Semasa Adam AS diturunkan dari syurga dan sampai ke bumi, baginda telah berkata: “Wahai Tuhan, mengapa aku tidak mendengar lagi suara malaikat?” Allah SWT berfirman: “Semuanya kerana kesalahan engkau wahai Adam.”

Kemudian Allah SWT memerintahkan supaya baginda membina Kaabah dan bertawaf mengelilinginya sebagaimana malaikat mengelilingi Arasy. Adam berjalan menuju ke tapak pembinaan Kaabah. Bumi telah dikecilkan oleh Allah dan tempoh perjalanannya menjadi pendek. Setiap tempat dipijak oleh Adam akan dijadikan oleh Allah SWT sebagai kawasan yang subur dan berpenghuni. Apabila sampai di Makkah, malaikat Jibril AS memukul dengan sayapnya di tapak pembinaan Kaabah dan malaikat membawa batu kepadanya untuk dibina Kaabah. Bahan binaannya terdiri daripada batu yang diambil daripada lima gunung iaitu gunung Lubnan, Tur Zaita, Tur Sina, Juudi dan Hira’. Sementara konkritnya pula dibuat daripada batu pejal hitam. Kata Ibn Abbas:

“Adam ialah manusia pertama yang mengasaskan al-Bait (Kaabah). Baginda menunaikan solat serta bertawaf di situ.”

Pandangan ketiga, dinyatakan bahawa Nabi Shi'th AS yang mula membinanya. Walaubagaimanapun, tidak terdapat sebarang dalil yang sahih tentang binaan ini. Menurut Syeikh Husain Ba Salamah , telah datang beberapa riwayat daripada sahabat dan tabiin tentang binaan Kaabah oleh malaikat, Adam dan Shith. Semuanya menyebut tentang peristiwa yang berlaku tanpa menyatakan sumber riwayat tersebut sama ada ia daripada Nabi SAW atau Bani Israil (ahli kitab). Oleh itu, ramai ulama tafsir berpegang dengannya serta mencatatkan dalam kitab tafsir mereka kecuali al-Hafiz Ibn Kathir. Beliau telah mengkritiknya dan menyatakan bahawa riwayat tersebut sumbernya daripada Bani Israil (al-Israiliyyat).




Walau apapun perbezaan pandangan ini, pastinya pembinaan Kaabah itu sendiri telah melalui pelbagai fasa revolusi sehinggalah Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim As dan anaknya Nabi Ismail untuk membina semula Kaabah. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 127 yang bermaksud :

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;"

Firman Nya lagi dalam surah al-Haj ayat 26 yang bermaksud :

"Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang)".

Berdasarkan sejarah pembinaan Kaabah ini, jelas kepada kita bahawa bangunan Kaabah dibina diatsas perintah Allah SWT, Tuhan empunya segala apa yang ada di langit dan di bumi. Bangunan Kaabah tanpa sebarang kemuliaan dan keagungan oleh Allah, maka tiada apa yang lebih istimewa. Kaabah atau dengan nama lainnya, menjadi sebuah simbolik kesatuan dan kesepaduan umat Islam. Secara tidak langsung, Kaabah merupakan pusat dunia umat manusia untuk mentauhidkan Allah. Kemuliaan Kaabah sebagai kiblat umat Islam kedua selepas Masjid al-Aqsa adalah juga hasil rintihan oleh baginda Nabi SAW yang sering berdoa kepada Allah agar dialihkan arah kiblat ke arah Kaabah. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 144 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke Kiblat yang kamu sukai (ingini) sebab itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan dimana sahaja kamu berada palingkanlah mukamu ke arahnya...”

Oleh itu, umat manusia yang datang dan hadir dari seluruh pelusuk dunia menuju ke Mekah bukanlah bertujuan untuk menyembah bangunan berbentuk kiub tersebut. Tidak juga untuk membesarkan dan mengangungkan sesebuah bangunan Kaabah tersebut melainkan diatas arahan dan titah perintah Allah untuk bertawaf mengelilinginya. Tidak ada sebarang ritual penyembahan Kaabah. Kaabah menjadi tempat mulia dan suci bukanlah kerana apa yang ada pada binaan Kaabah itu sendiri tetapi Kaabah menjadi tempat yang mulia lagi suci kerana diatas suruhan dan kehendak Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui. Begitu juga lah pada kehidupan manusia. Tiada ada kemuliaan yang lebih bernilai selain daripada menjadi hamba Nya yang bertaqwa. Keturunan, pangkat dan jawatan sama sekali tidak akan dapat memuliakan kita kecuali beriman dan bertaqwa pada Nya. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan