Selasa, 20 Jun 2023

MEWARISI HARTA ANTARA ISLAM DAN BUKAN ISLAM

 

Harta adalah sesuatu yang bernilai dan berharga. Meskipun nilaian itu pada ukurannya banyak atau sikit, besar atau kecil, kesemuanya mesti dipunyai dan dimiliki oleh seseorang atau sepihak. Dalam hal pemilikan harta ini, Islam sangat meneliti dan menjaga daripada pemilikan harta yang batil. Islam bukan sahaja membicarakan soal halal dan haram, juga Islam menekankan tentang perwarisan harta yang mesti dipatuhi mengikut kehendak syarak. Oleh sebab itu, dalam Islam terdapat beberapa terma berkenaan pembahagian harta seperti wasiat, hibah, dan faraid. Ini supaya pemilikan sesuatu harta tersebut diluruskan berpandukan syariat Allah SWT.

Perkataan "wasiat" dari segi bahasa bermaksud menghubungkan atau menyampaikan. Maksud dari segi istilah pula bermaksud sumbangan sesuatu yang dilaksanakan selepas kematian. Pada asasnya, wasiat hanya diberikan kepada mereka yang bukan waris dengan tidak melebihi 1/3. Tujuannya adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah dan mengharapkan pahala. Perkataan "hibah" pula merujuk kepada maksud pemberian atau hadiah yang mengandungi suatu akad yang melibatkan pemberian hak milik oleh pemberi harta kepada seseorang secara rela hati semasa hayatnya atas dasar kasih sayang dan kemanusiaan. Manakala perkataan "faraid" pula dari sudut bahasa bermaksud ketetapan. Dari sudut istilah pula membawa maksud pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam yang telah ditetapkan di bawah hukum syarak. Pembahagian harta faraid ini hanya melibatkan para waris dan beragama Islam.




Bagi sesama orang Islam, tidaklah menjadi satu kesalahan untuk mewarisi harta keturunannya yang Islam. Namun begitu, bagi mereka yang bukan beragama Islam, untuk mewarisi harta ahli keluarga mereka yang telah memeluk Islam adalah dilarang sama sekali dan begitu juga sebaliknya, orang Islam tidak boleh mewarisi harta keturunannya yang tidak beragam Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Usamah bin Zaid RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

"Tidak mewarisi seseorang muslim itu daripada seorang yang bukan Islam, dan tidak mewarisi seseorang bukan Islam itu daripada seorang muslim"

Berdasarkan hadith ini, dalam mazhab Imam al-Syafie menyatakan bahawa perwarisan harta daripada orang bukan Islam kepada waris yang Islam adalah tidak dibenarkan. Namun begitu, sebahagian para ulama menyatakan bahawa diharuskan untuk memberikan harta kepada mereka yang bukan beragama Islam dengan cara wasiat dan hibah. Dua kaedah ini merupakan jalan keluar untuk isu berkaitan perwarisan harta antara orang Islam dan orang bukan Islam. Melalui wasiat, pemilik harta ketika masih hidup, perlu mewasiatkan kepada selain para waris dengan had sebanyak 1/3 daripada hartanya. Sekiranya hendak mewasiatkan melebihi 1/3, maka terlebih dahulu perlu mendapatkan persetujuan daripada para waris. Ini sepertimana yang disebutkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Saad bin Abu Waqqas berkata :

“Telah datang Rasulullah s.a.w untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sebahagiannya.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sepertiga.” Baginda menjawab, “Ya, sepertiga.” Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka”




Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa wasiat boleh dilakuka dengan kadar 1/3 sahaja. Ini kerana sebahagian lebihan lagi adalah untuk diberikan kepada para waris melalui hukum faraid. Oleh itu, sesungguhnya wasiat adalah suatu pemberian terutamanya kepada mereka yang bukan ahli waris, ini termasuklah waris yang bukan beragama Islam. Ini kerana untuk mewarisi harta pusaka, syaratnya selain waris yang sah, juga syaratnya mestilah beragama Islam. Para waris yang sah di sudut syarak juga sebenarnya berhak mewarisi harta pusaka melalui jalan wasiat tetapi dengan syarat mestilah mendapatkan persetujuan waris-waris yang lain. Ini juga berdasarkan hadith riwayat Daruqutni daripada Ibn Abbas RA, bahwa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

"Tidak harus wasiat kepada waris kecuali di izinkan oleh waris yang lain"

Selain wasiat, perwarisan harta oleh orang bukan Islam juga boleh dilakukan dengan kaedah hibah. Hibah seperti yang telah dinyatakan, adalah merujuk kepada suatu pemberian diatas nilai kasih sayang dan kemanusiaan merentasi agama dan bangsa. Hibah suatu inisiatif berbentuk hadiah kepada mereka yang telah dinamakan oleh penghibah. Dalam soal ini, hibah tidak hanya terhad kepada orang bukan Islam, juga terbuka kepada sesiapa sahaja yang diniatkan oleh penghibah. Islam tidak menetapkan kadar tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini kerana harta yang hendak dihadiahkan itu adalah milik pemberi sendiri dan terpulanglah kepada pemberi hibah untuk membuat pertimbangan terhadap harta yang hendak dihibahkan.

Melalui dua kaedah wasiat dan hibah ini, orang bukan Islam boleh menerima harta orang Islam tanpa menggangu urusan pembahagian harta secara faraid. Realitinya hari ini, mungkin terdapat saudara baru atau muallaf yang masih mempunyai ahli keluarganya yang belum Islam, pada dirinya masih punyai tanggungjawab terhadap ahli keluarganya. Maka dengan cara wasiat dan hibah, mereka boleh memberikan hartanya setelah meninggalkan dunia. Sudah pastinya, keadaan dan suasana berbeza akan menyebabkan kita juga melihat dari pelbagai sudut berbeza. Ada mungkin ibubapanya yang belum Islam, dengan rasa tanggungjawab ini, Islam tidak melarang untuk memberikan harta kepada ibubapa yang belum Islam dengan dua kaedah tersebut. Berbuat baik kepada mereka yang bukan Islam juga suatu tuntutan agama. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud :

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

Ayat itu diturunkan bagi menjelaskan kepada kita tentang satu peristiwa apabila Asma’ binti Abi Bakar RA diziarahi oleh ibunya bernama Qatilah binti ‘Abdil ‘Uzza yang bukan Islam. Beliau berkata: “Ibuku mendatangiku dan dia sangat ingin aku menyambung hubungan dengannya. Kemudian aku bertanyakan kepada Nabi SAW, bolehkah aku tetap menjalin hubungan dengannya? Baginda pun menjawab, “Ya boleh”. Nabi SAW menyuruh Asma’ untuk menerima hadiah pemberian ibunya dan mengizinkan ibunya memasuki rumahnya. Selain itu, Imam Ibnu Kathir menjelaskan dengan menyatakan bahawa Allah tidak melarang kalian berbuat baik kepada bukan Islam yang tidak memerangi kalian seperti berbuat baik kepada wanita dan orang yang lemah di antara mereka. Hendaklah berbuat baik dan adil kerana Allah menyukai orang yang berbuat adil. Demikianlah bagaimana Islam bertoleransi. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan