Isnin, 22 Mei 2023

MEMELUK ISLAM BERMAKSUD MEMASUKI MELAYU ?

 

Islam adalah suatu cara hidup yang membebaskan umat manusia daripada cengkaman kesyirikan dan dunia kegelapan menuju ke hidup yang lebih bermaruah, yang bertuhan Allah yang Maha Esa. Ajaran Islam melalui keluhuran prinsipnya, sentiasa mendidik dan mengajak umatnya untuk hidup dalam keadaan harmoni tanpa bersikap prejudis dengan mana-mana kaum dan agama. Malah, Islam menganjurkan kita untuk berbuat baik kepada semua manusia menjangkaui agama dan bangsa. Oleh itu, seruan Islam adalah kepada membesar dan mengagungkan Allah, tidak semata-mata membesarkan dan mengagungkan keturunan bangsa dan kabilah manusia.

Seringkali berlegar dikalangan masyarakat kita khususnya orang bukan Islam berkenaan memasuki Islam bermaksud telah pun menjadi melayu. Persepsi ini seharusnya diperbetulkan semula dengan pemahaman yang sebenar. Islam adalah agama Allah SWT untuk semua makhluk Nya tanpa mengira bangsa dan kaum. Ini sepertimana yang telah dinyatakan di dalam al-Quran, surah Ali Imran ayat 83, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Maka, apakah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah? Padahal kepada-Nya jualah tunduk dan taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nya jugalah mereka dikembalikan.”




Para ulama tafsir seperti Syaikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa'di, di dalam kitabnya Tafsir as-Sa'di telah menyatakan bahawa agama Islam adalah agama untuk semua manusia dan hakikatnya ajaran Islam merupakan ajaran untuk semua manusia sesuai dengan naluri dan fitrah insani. Selain itu, Imam Ibnu Katsir dalam kitabnya, Tafsir Ibnu Katsir menyatakan bahawa Allah SWT mengingkari melalui firman Nya terhadap mereka yang berkehendak kepada agama selain agama Allah yang diturunkan melalui kitab Nya dengan perantara para Rasul Nya. Agama Allah itu adalah memerintahkan hanya menyembah kepada Allah semata, tidak ada sekutu bagi Nya, semua makhluk yang ada di langit dan di bumi berserah diri kepada Nya, baik dengan suka mahupun terpaksa.

Berdasarkan pemahaman ayat tersebut, jelas kepada kita bahawa agama Allah adalah untuk semua makhluk Nya yang terdiri daripada pelbagai jenis bentuk dan rupa seperti tumbuh-tumbuhan, alam semesta, bintang, matahari, dan semua umat manusia yang berbilang bangsa dan kaum. Oleh itu, anggapan bahawa agama Islam hanya untuk orang melayu adalah tidak benar dan menyanggahi prinsip Islam yang meraikan semua kaum. Islam tidak terikat kepada mana-mana bangsa dan kaum. Meskipun al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, namun ianya tidak bermakna untuk orang Arab sahaja. Demikian juga dalam konteks negara kita, jika seseorang yang bukan berbangsa melayu tetapi memeluk agama Islam, sesekali tidak akan mengubah atau menafikan bangsa, warna kulit dan keturunannya sebelum itu.

Persepsi masuk Islam bermaksud masuk melayu ini barangkali berpunca daripada salah faham pada Perlembagaan Malaysia iaitu pada perkara 160 (2) menyatakan bahawa :

"Orang melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura atau ia adalah keturunan dari seseorang yang tersebut".

Perkara 160 (2) dibawah Perlembagaan Malaysia bukanlah bermaksud setiap yang beragama Islam itu mestilah menjadi melayu, sebaliknya mereka yang berketurunan melayu mestilah beragama Islam. Ianya bertujuan memelihara hak-hak istimewa orang melayu dalam menjaga agama Islam. Pun begitu, kita harus bijak dalam melihat perbezaan antara agama dan bangsa. Seperti yang disebutkan tadi, Islam tidak diturunkan untuk sesuatu bangsa dan kaum. Oleh kerana itu, setelah Islam disebarluaskan, kita dapat melihat seluruh umat manusia di pelusuk dunia memeluk Islam tanpa perlu mengubah bangsa dan kaumnya.




Adapun dalam soal menukar nama setelah memeluk Islam, tidak diwajibkan menukar nama selagimana nama asalnya tidak mengandungi unsur syirik dan khurafat. Ini juga sepertimana yang turut dilakukan oleh para sahabat Nabi SAW dahulu, mereka antara yang terawal memeluk Islam tetapi mengekalkan nama sedia ada melainkan pada nama yang memiliki maksud yang tidak menepati Islam seperti contoh nama Abdul Syams yang bermaksud hamba matahari. Begitu juga pada nama bapa yang belum memeluk Islam. Tidak ada sebarang dalil daripada al-Quran dan hadith yang menyuruh seorang mualaf untuk menukar nama buruk bapanya. Hal ini juga turut ditegaskan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Barangsiapa yang mengaku anak dari selain ayahnya, padahal dia tahu bahawa yang diakuinya itu bukan ayahnya, maka haram baginya syurga"

Secara ringkasnya, tidak diwajibkan menukar nama asalnya diri sendiri melainkan nama asal tersebut mengandungi makna yang bercanggah dengan Islam. Sebaliknya pula, hukumnya adalah haram menukar nama bapa kandung yang belum memeluk Islam sekalipun nama tersebut mempunyai maksud buruk. Ini kerana Islam sangat menjaga akan kesucian keturunan darah daging. Aggapan bahawa wajib menukar nama dan keturunan setelah memeluk Islam harus diperbetulkan kembali. Ini juga membuktikan bahawa memasuki Islam tidak bermakna perlu memutuskan hubungan kekeluargaan bagi mereka yang bukan Islam. Bahkan, kewajipan mentaati ibubapa dan berbuat baik kepada mereka tetap dituntut oleh agama meskipun ibubapa bukan beragama Islam.

Demikianlah Islam, agama yang penuh dengan mesej-mesej keharmonian dan perdamaian. Beberapa tanggapan salah faham yang timbul sebelum ini mungkin berdasarkan pemahaman yang tidak jelas. Ini juga akan mendorong umat Islam untuk lebih cakna dan peka dengan isu-isu salah faham berkaitan Islam. Pastinya, agama Islam adalah hak mutlak Allah SWT. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengubah prinsip dan undang-undang Islam yang datangnya daripada al-Quran dan al-Sunnah. Sehebat mana pun insan itu berdiri diatas kuasa-kuasanya, Maha Hebat lagi Allah SWT yang memberikan nikmat Islam kepada hamba Nya, yang juga padanya terdapat intipati ajaran jalan yang lurus, yang membawa kebaikan dalam berkehidupan. Perilaku orang Islam barangkali boleh tersilap, tetapi agama Allah melalui wahyu Nya, yang menjadi tanggungjawab umatnya untuk disebarkan sama sekali tidak akan tersilap dan terkhilaf. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan