Dalam
apa jua perkara, setiap yang pada namanya kehidupan pasti bertemunya kematian.
Pada setiap yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya. Demikianlah sifat dunia
yang Allah telah jadikan sebagai tempat ujian bagi menguji hamba Nya yang manakah
yang paling terbaik amalan. Pada ciptaan Nya itu, akan berlakunya kehidupan dan
kematian. Dia lah Tuhan yang menjadikan hidup mati ini sebagai menguji keimanan
para hamba Nya. Setinggi apa pun pangkat dan kedudukan, sehebat mana pun diri
makhluk itu, pastinya akan bertemu dengan kematian, penamat pada sebuah
kehidupan dunia untuk menuju kehidupan akhirat. Ini juga sepertimana firman
Allah SWT dalam surah al-Mulk ayat 2, yang bermaksud :
"Yang
menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih
baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun".
Kalau
dilihat pada ayat ini, Allah SWT menggunakan perkataan mati dahulu sebelum
hidup. Secara logiknya, kita tentu akan berfikir bukankah kita hidup dahulu
setelah itu barulah bertemu dengan kehidupan. Namun begitu, antara sebab Allah
SWT menggunakan perkataan mati dahulu sebelum hidup adalah kerana pada makhluk
itu sendiri akan bertemu mati dan kemudian barulah bertemu dengan kehidupan
yang abadi, yang padanya tiada lagi soal kematian kecuali untuk menerima
ganjaran dan balasan kelak. Allah SWT menyebutkan tentang kematian dahulu juga
adalah sebagai peringatan kepada kita bahawa kematian ini bukanlah penamatnya.
Kita akan dihidupkan semula sesudah itu dan akan berkelana bertemu Allah di
alam akhirat.
Kematian
akan mengajar kita erti sebuah kehilangan. Pada kematian itu merupakan pemutus
kepada segala kelazatan dan kesedapan, juga kepada segala penderitaan dan
kesengsaraan di dunia, sebelum kita benar-benar menikmati antara kelazatan atau
kesengsaraan di mahkamah Allah SWT. Makna kepada sebuah kehilangan ini tidaklah
semudah kita bertutur dihadapan manusia lain. Kelicikan lidah menyusun kata,
kepetahan jari menaip abjad, sama sekali tidak boleh berdusta dengan ketulusan
hati jiwa sanubari insan. Pada kata mungkin reda, tapi pada dalam diri,
perlukan masa untuk bersendiri. Bukan tidak redha, namun perlu terapi untuk
didik hati lebih ikhlas pada makna sebuah kehilangan.
Fitrah
manusiawi, apabila menerima berita kehilangan orang yang tersayang, bumi mana
yang tidak basah ditimpa hujan. Hati mana yang tidak sedih pabila menghadapi
kehilangan. Tentunya kita akan tersentak dan tanpa disedari air mata menyapa
menjurai ke pipi. Kehilangan orang yang tersayang, tanpa syarat, pabila bertemu
masanya, kita pasti akan menghadapinya. Oleh kerana itu, agama Islam sentiasa
memberikan rangsangan untuk bersegera melakukan kebaikan. Tanpa berlengah,
kebaikan mesti kita lakukan meskipun tahu hari esok masih ada tetapi belum
tentu hari esok kita punya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 148
yang bermaksud :
"Maka
berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan. Dimana sahaja kamu berada, pasti Allah
akan mengumpulkan kamu semuanya. Sungguh, Allah Maha Berkuasa atas segala
sesuatu"
Oleh
itu, bersegeralah kita melakukan kebaikan sebelum kita benar-benar menyesal
setelah kita mulai kehilangan. Yang namanya kehilangan itu bukan sahaja pada
soal hilang insan yang tersayang, tetapi juga pada riwayat hidup ini, sejajar
dengan usia yang semakin menghambat kita, pastinya kita akan mulai rasa
kehilangan tenaga di usia tua, kehilangan nikmat kesihatan yang baik,
kehilangan sahabat, rakan dan taulan yang pergi dengan hala tuju masing-masing,
juga kehilangan yang lain-lain yang mampu mengugah jantung hati ini untuk terus
bergerak melakarkan sebuah nama kehidupan. Dalam hal ini, baginda Rasulullah
SAW telah mengingatkan kita tentang 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara.
Dalam
sebuah hadith riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi, daripada Ibnu Abbas, Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud :
"Rebutlah
lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa
kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa
sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan Masa hidup sebelum tiba masa
mati.”
Pada
manusia itu pastinya akan merasai 5 perkara ini sebelum hilang untuk datang
pula 5 perkara lain. Oleh itu, sebelum kita kehilangan kehidupan di dunia yang
fana ini, kita perlulah bersedia untuk makna sebuah kehilangan. Dalam maksud
yang lebih mudah, lakukanlah persediaan dan persiapan sebelum kita kehilangan
segalanya yang kita nikmati di dunia ini. Persiapkan diri, anak isteri dengan
ilmu yang sahih, yang membawa ke jalan yang diredhai Allah. Persiapkan lah diri
untuk kehilangan orang yang tersayang. Hal ini mengajar kita erti tidak ada
yang mutlak untuk kita miliki. Rumah besar bertiang teguh, akan hancur
menyembah bumi. Isteri yang cantik dan jelita, akan pergi meninggalkan dunia
ini. Begitu juga anak-anak yang comel, pastinya bukan mutlak milik kita. Kepada
Allah, kita semua datang dan kembali.
Untuk
mendidik jiwa ini menjadi hamba yang bergantung harap hanya pada Nya apabila
ditimpa musibah dan dukacita, kita diajar untuk mengungkapkan lafaz Istirja'
iaitu lah Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ
رَاجِعُونَ). Ini juga sepertimana yang dinyatakan di dalam al-Quran melalui
surah al-Baqarah ayat 156 yang bermaksud :
"(Iaitu)
orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh suatu kesusahan, mereka berkata:
Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami
kembali."
Ungkapan
lafaz ini jika difahami dan dihayati dengan mendalam, akhirnya kita akan akur
pada hakikat kehidupan sebenar. Tidak ada yang kita miliki melainkan hanyalah sekadar
pinjaman oleh Allah, Tuhan empunya segala sesuatu yang ada di langit dan di
bumi. Untuk itu, jawapan kepada persoalan bersediakah kita untuk sebuah
kehidupan adalah letak duduk di hati sanubari kita. Jika di jauh lubuk hati
ini, kita merasakan semua yang dimiliki ini adalah hak mutlak kita, kelak kita
akan ada masalah untuk menerima makna sebuah kehilangan. Namun jika sebaliknya,
kita telah pun sedar dan redha akan hakikat penciptaan ini, pastinya kita akan
lebih pasrah dan berserah kepada Allah. Janganlah kita bersedih untuk sebuah
kehilangan seolah-olah esok hari sudah tiada. Bangunlah ! Bangkitlah mencari
kekuatan semula dengan memohon pertolongan Nya. Semoga Allah mengampuni kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan