Rabu, 17 Mei 2023

ISU KALIMAH ALLAH ; ANTARA "MENYEBUT" DAN "MENGGUNA"

 

Polemik berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam bukanlah suatu perkara baharu. Sejak beberapa tahun yang lalu, isu ni berbangkit apabila sebuah majalah khas untuk penganut Kristian, iaitu majalah Herald-The Catholic Weekly membuat tuntutan untuk menerbitkan majalah berkenaan dalam bahasa Melayu dengan menggunakan perkataan "Allah" sebagai terjemahan kepada perkataan "God". Rentetan daripada tuntutan tersebut, telah berlaku perbincangan dan lontaran pendapat oleh ramai pihak antaranya termasuklah para mufti, badan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politik, para ahli akademik dan selainnya. Isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini bukan sahaja harus dilihat dari sudut hukum, bahkan harus diambil kira kewajarannya dengan melihat faktor isu setempat.

Bagi merungkaikan isu ini, pertamanya harus kita memahami antara orang bukan Islam "menyebut" kalimah Allah dan "mengguna" kalimah Allah, ianya merupakan dua hal yang berbeza. Perkara penting untuk dilihat supaya kita tidak keliru akan istilah-istilah ini yang kadang-kala nampak seperti sama tetapi membawa maksud yang berbeza. Ada yang beranggapan, orang bukan Islam boleh menyebut kalimah Allah tetapi tidak boleh menggunakannya di dalam kitab dan sebagainya. Pun begitu, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dalam konteks negara kita adalah sesuatu yang janggal dan pelik. Sedangkan, penggunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam telah lama berlaku di banyak negara antaranya di Mesir, Jordan, Lebanon dan seumpanya.




Dalam soal menyebut nama Allah oleh orang bukan Islam, terdapat banyak dalil al-Quran dan al-Sunnah yang menunjukkan tiada halangan atau larangan bagi orang bukan Islam menyebut nama Allah. Ini sepertimana yang dinyatakan di dalam al-Quran, surah al-Ankabut ayat 63, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid)"

Berdasarkan ayat ini, Allah dan Rasul Nya tidak sama sekali melarang atau membantah orang bukan Islam menyebut nama Allah sebagai Tuhan yang menciptakan segalanya. Malah, kita boleh lihat baginda Nabi Muhammad SAW diperintahkan untuk mengucapkan syukur kerana mereka mengakui Allah, tidak disebut nama-nama berhala sembahan mereka. Ini menunjukkan bahawa orang bukan Islam menyebut nama Allah tidaklah salah dan berdosa. Apa yang dilarang dan dimusuhi oleh Allah dan Rasul Nya adalah kesyirikan yang mereka lakukan. Maka disini jelaslah bahawa orang bukan Islam boleh menyebut nama Allah seperti orang Islam lain menyebutnya.




Selain itu, satu terma lagi ialah "mengguna" kalimah Allah. Sekiranya sekadar menyebut nama Allah, tidak menjadi masalah, bagaimana pula tentang orang bukan Islam menggunakan nama Allah untuk tujuan khusus agamanya. Seperti yang kita nyatakan, penggunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam telah berlaku sejak zaman awal Islam lagi. Hal ini boleh kita lihat dalam al-Quran melalui firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 40, yang bermaksud :

“..Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadah rahib, gereja-gereja (kaum Nasrani), rumah ibadah Yahudi, dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa".

Ayat ini adalah berkenaan perintah jihad oleh Allah SWT. Berdasarkan pemahaman ayat tersebut, kita akan dapati Allah melarang kita daripada mencerobohi rumah-rumah ibadat agama lain yang padanya banyak disebutkan nama Allah. Menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika menjelaskan maksud ayat ini, beliau menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Munir, dengan menyatakan bahawa disebut nama Allah banyak-banyak dalamnya bermaksud disebut nama Allah pada empat tempat yang dinyatakan (tempat pertapaan, gereja Kristian,rumah ibadah Yahudi dan Masjid). Demikian yang dinyatakan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili. Ini menunjukkan pada asasnya, tidak menjadi suatu kesalahan besar sekiranya nama Allah digunapakai oleh agama lain selain Islam. Maka tidak hairanlah sekiranya hari ini, kita lihat gereja-gereja Kristian menggunakan nama Allah, menggantung kalimah Allah dan menterjemahkan perkataan "God" kepada maksud Allah.




Pun begitu, sebahagian para sarjana Islam tidak bersetuju akan penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam. Ini kerana mereka berpandangan kalimah Allah adalah nama khas yang tidak ada pertikaian dikalangan umat Islam sehingga hari ini. Begitu juga jika ada yang berpandangan bahawa orang musyrikin menyebut nama Allah dengan mengakui Allah yang menciptakan segalanya, mereka menolak dengan menyatakan bahawa kalimah Allah yang dimaksudkan oleh mereka adalah Tuhan mereka, tidak dimaksudkan dengan Tuhan orang Islam. Meski kalimah yang sama tetapi maksud yang berbeza. Buktinya, mereka tidak menyembah Allah kerana bukan Allah, Tuhan yang diyakini oleh orang Islam. Mereka juga menyatakan al-Quran sebenarnya menterjemahkan kata-kata mereka yang tentunya bukan dalam bahasa Arab tetapi dalam bahasa merek sendiri.

Kewajaran penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas. Jika mahu dibenarkan, perlu diletakkan garis panduan yang ketat agar kebenaran penggunaan ini tidak akan disalahgunakan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran oleh umat Islam. Meskipun tiada halangan dari sudut agama, namun kegusaran umat Islam di Malaysia untuk membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah adalah lebih kepada kebimbangan terhadap unsur penyalahgunaan dan eksploitasi nama Allah. Ini juga secara tidak langsung boleh membuka ruang kepada isu penghinaan nama Allah, menyebarkan agama selain Islam kepada orang Islam dan lain-lain kebimbangan lagi. Walau apapun hujah dan pendiriannya, kita semua bersetuju untuk menentang sebarang penyalahgunaan nama Allah walau siapa pun yang melakukannya. Kita boleh berbeza berkenaan hukum penggunaan kalimah Allah diatas pelbagai sandaran dalil dan hujah, namun kita semua sama sekali tidak meredhai sebarang bentuk penyalahgunaan nama kalimah Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan