Kesihatan
yang baik pastinya merupakan suatu rezeki dan nikmat yang tidak ternilai
harganya. Sekiranya manusia diberi pilihan sama ada untuk memilih kesihatan
yang baik atau harta yang banyak, tentunya kita akan memilih kesihatan yang
baik. Ini kerana kesihatan yang baik dapat membantu diri manusia mencari rezeki
menambah harta dengan cara halal. Sebaliknya, jika punyai harta kekayaan dan
kemewahan setara mana pun, tidak akan dapat membeli sebuah kehidupan yang sihat
dan damai. Oleh itu, umumnya kita pasti bersetuju untuk mengatakan manusia yang
berfikiran waras akan mengutamakan kesihatan diri, menjaga serta memelihara
diri.
Alangkah
dukacitanya sekali, pada 31 Mac 2023, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha telah
mewartakan perintah untuk meminda Akta Racun 1952 bagi tujuan mengecualikan
atau menggugurkan nikotin daripada akta tersebut. Sejajar dengan itu juga, kita
telah dimaklumkan oleh Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri Malaysia
berkenaan pewartaan perintah untuk mengenakan duti eksais 40 sen bagi setiap
mililiter cecair e-rokok atau gel yang mengandungi nikotin bermula 1 April.
Keputusan ini akan menjadikan nikotin tidak lagi menjadi bahan racun yang
dilarang dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat untuk membelinya
sekaligus membayar duti eksais.
Keputusan
yang dilihat "kurang bijak" ini seakan-akan mahu membunuh masa
depan generasi Malaysia sihat dengan menghalalkan bahkan seolah-olah
menggalakkan lagi pertambahan perokok sekaligus menambahkan lagi peratusan
mereka yang ketagihan merokok demi untuk menambahkan pendapatan negara melalui
duti eksais. Adalah wajar bagi pihak kerajaan untuk terlebih dahulu memberikan
laluan kepada pembentangan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan
Merokok 2022 sebelum mengambil keputusan untuk mengecualikan nikotin. Secara
tidak langsung, keputusan pewartaan berkenaan nikotin ini juga turut mengundang
reaksi tidak seronok bahkan membantah oleh sebahagian NGO terutamanya Persatuan
Perubatan Malaysia (MMA).
Menurut
Portal Rasmi MyHealth, nikotin merupakan hasil tembakau yang menyebabkan
ketagihan, iaitu sejenis gangguan otak kronik. Penggunaan berpanjangan
menghasilkan kebergantungan fisiologi certa dorongan yang kuat untuk
menggunakan tembakau. Ketagihan ini berkait rapat dengan kadar kepantasan
nikotin diserap dan sampai ke otak (Prochaska, 2015). Pendedahan otak kepada
nikotin semasa remaja amat berbahaya kerana zaman remaja adalah peringkat
kritikål perkembangan otak lalu menjadi pembuka laluan kepada penyalahgunaan
dadah (Yuan et al, 2015). Selain itu, nikotin boleh menggalakkan pembekuan
darah (Schaller et al, 2013) dan boleh menyerap masuk ke plasenta ibu
mengandung di mana ia akan mengganggu proses perkembangan bayi di dalam
kandungan (Maritz, 2009).
Selain
itu, menurut portal tersebut, berdasarkan beberapa analisis sampel cecair rokok
elektronik secara rawak oleh Makmal Toksikologi, Pusat Racun Negara, terdapat
kandungan cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin sehingga 4mg dalan
1ml cecair. Ini bermakna setiap botol yang mengandungi 25ml cecair rokok
elektronik akan mengandungi sehingga 100mg nikotin. Nikotin serendah 2 mg sudah
boleh menyebabkan gangguan pada perut dan usus. Dos yang lebih tinggi boleh
menyebabkan kesan yang lebih teruk, antaranya sawan dan kegagalan pernafasan.
Nikotin pada paras sekurang-kurangnya 40mg boleh menyebabkan kematian. Fakta
yang telah dinyatakan ini bukanlah suatu permainan dan retorik angka. Melalui
kajian yang dijalankan, terbukti pengambilan nikotin adalah sesuatu yang tidak
bijak dan tidak sihat untuk kesihatan diri.
Dalam
satu laporan bertarikh 16 Mei 1998, yang telah dikemukakan oleh Dr. Everett,
Ketua Pakar Bedah Amerika Syarikat ketika itu menyatakan bahawa ketagihan
nikotin boleh setanding dengan ketagihan bahan berbahaya seperti heroin dan
juga kokain. Malah termasuklah juga candu sekalipun ada pihak yang tidak
bersetuju. Kini, bahan nikotin menjadi sebahagian komponen utama yang
terkandung dalam rokok dan vape. Kewujudan alat vape telah menggalakan lebih
ramai generasi muda terbabit sejak seawal usia sekolah rendah lagi. Ini sesuatu
indikator yang tidak sihat dan perlu kita memandang serius. Jika pewartaan ini
diteruskan juga, kita seolah-olah akan mencetak lebih ramai lagi perokok dan
akhirnya sia-sialah usaha kerajaan sebelum ini untuk berkempen kearah generasi
Malaysia yang lebih sihat dan bersih.
Sesuatu
harus disemak semula berkenaan relevannya keputusan bagi menggugurkan nikotin
sebagai bahan tidak racun. Negara kita melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat
(ANMS) pastinya akan membawa gagasan hidup sihat sejahtera bebas asap rokok.
Dibawah tema MADANI juga, kerajaan wajib mengutamakan kepentingan kesihatan
nasional berbanding mementingkan diri mengaut keuntungan cukai diatas kejahilan
manusia menyedut bahan kimia. Apakah nasib generasi muda andai perkara ini
tidak diatur dan dicatur dengan baik. Jangan kerana ketamakan mencari
pendapatan sehingga sanggup menggadaikan nyawa generasi Malaysia sihat. Tidak
keterlaluan untuk kita nyatakan bahwa proses pendidikan melalui kempen dan
sebagainya amat penting sekali. Namun pengajaran melalui penguatkuasaan
undang-undang juga sangat penting untuk memastikan generasi yang akan datang
merupakan generasi hebat bebas asap rokok. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan