Setelah
sebulan umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, sepertimana yang
telah disuruh dan diperintahkan oleh Allah SWT kepada para hamba Nya yang
beriman, maka tanggal 1 Syawal merupakan manifestasi kepada makna sebuah
kemenangan. Kemenangan yang dimaksudkan ini bukanlah semata-mata kerana berjaya
menghabiskan ibadah puasa dengan menahan diri daripada makan dan minum selama
sebulan, bahkan adalah kerana berjaya membentuk diri menjadi hamba Nya yang
benar-benar bertaqwa, menghiasi rutin hidup di bulan Ramadan dengan melakukan
amal soleh.
Keraian
1 Syawal bukan sekadar tentang tema warna baju apa yang dipakai, tidak pula
semata-mata tentang juadah apa yang dihidangkan, apatah lagi tentang dekorasi
dan hiasan apa yang dilakukan. Meraikan 1 Syawal merupakan tanda kebesaran
Allah yang telah memberikan kita nikmat dan rahmat, juga sebagai tanda
kesyukuran kita kepada Allah akan segala nikmat yang telah Dia kurniakan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud :
"Supaya
kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah
kerana mendapat petunjuk-Nya dan mudah-mudahan kamu bersyukur".
Oleh
yang demikian, apabila menjelma 1 Syawal, maka umat Islam disuruh untuk
bertakbir membesarkan Allah sebagai tanda kita bersyukur diatas segala kurniaan
nikmat Nya. Bahkan, syariat melaungkan takbir pada 1 Syawal bermula dari
terbenamnya matahari (waktu maghrib) pada hari akhir ramadan sehinggalah ketika
hendak mendirikan solat Aidilfitri. Umat Islam dituntut untuk memperbanyakan
bertakbir di rumah, di masjid, di pasar mahupun di jalanan. Ini seperti yang
terdapat di dalam sunnah para sahabat Nabi, iaitu Umar al-Khattab, berkata Imam
Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Baari, diriwayatkan dari
'Ubaid bin 'Umair katanya :
"Adalah
Umar RA bertakbir di dalam kubahnya di Mina lalu bertakbir oleh orang-orang di
masjid dan bertakbir juga orang-orang di pasar sehingga bergema Mina dengan
takbir"
Begitu
juga kata-kata sang pembela sunnah, Imam Syafie di dalam kitabnya al-Umm
yang bermaksud :
"Apabila
melihat orang-orang akan anak bulan Syawal maka aku suka (yakni sunat) bahawa
bertakbir orang-orang secara berkumpulan dan sendirian di masjid dan pasar dan
jalan-jalan dan rumah kediaman dan orang yang musafir dan yang mukim pada
segala keadaan dan dimana sahaja mereka berada. Dan sunat bahawa menguatkan mereka
itu akan takbir.”
Betapa
besar perintah bertakbir di serata tempat bagi tujuan menunjukkan kebesaran
Allah yang Maha Suci, malah juga sebagai tanda kesyukuran kita kepada Nya
diatas segala nikmat yang dikurniakan. Bagi membuktikan kebesaran Allah pada 1
Syawal, umat Islam dituntut untuk bergembira meraikannya dengan apa juga cara
untuk kita bergembira, selagi mana padanya tidak bertentangan dan berlawanan
dengan syariat. Hari pada 1 Syawal, di laman media sosial, kita dapat melihat
betapa banyak gambar-gambar dan momen terindah yang dikongsikan bersama. Ada
juga yang berkongsi gambar juadah di pagi hari 1 Syawal. Tidak kurang pula yang
saling memberikan ucapan tahniah, bertukar-tukar poster ucapan juga saling
mendoakan antara satu sama lain.
Inilah
warna-warni keraian 1 Syawal yang sememangnya dituntut oleh Islam untuk
menzahirkan rasa gembira pada hari kemenangan. Kegembiraan ini telah dizahirkan
oleh baginda Nabi SAW apabila baginda meminta agar semua kaum wanita keluar
menuju ke tempat solat sekalipun wanita itu sedang haid. Ini sepertimana yang
terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, kata Ummu Atiyyah :
"Kami
(kaum wanita) diperintahkan (oleh Rasulullah s.a.w) agar membawa keluar wanita
haid pada hari raya fitri dan adha; termasuk juga para gadis agar menyertai
perhimpunan dan seruan kaum muslimin. Adapun mereka yang haid menjauhi tempat
solat (tidak solat)".
Begitu
juga di dalam hadith lain, dituntut kita untuk berhibur bergembira pada 1
Syawal seperti nyanyian, persembahan atau pertunjukkan dan lain-lain selagimana
hal itu tidak berlawanan syariat. Dalam sebuah hadith Bukhari dan Muslim,
daripada isteri baginda Nabi SAW, Aishah Ranha :
"Bahawa
pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan
Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang gadis sedang menyanyi
mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj).
Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda :
“(Biarkan mereka) wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari
ini adalah hari raya kita”.
Demikianlah
agama Islam yang suci ini meluruskan fitrah manusiawi yang cinta dan suka akan
hiburan yang menyeronokkan dengan berpandukan kepada ketetapan syariat Allah.
Pun begitu, biarpun disuruh untuk menzahirkan rasa gembir dan seronok pada hari
raya, janganlah sehingga kita bersikap melampaui batas. Sebagai contoh, ada
yang kongsikan gambar-gambar keintiman hubungan suami isteri di hari raya. Ini
suatu keaiban yang harus disimpan sesama pasangan. Selain itu, dimaksudkan
dengan melampaui batas juga apabila ada yang bermain mercun hingga menganggu
jiran lain. Begitu juga ketika kita berziarah atau diziarahi, janganlah kita
membelakangkan syariat dengan bersalaman tanpa mengira mahram atau tidak. Kita
juga dilarang untuk bercakap akan hal yang boleh mengundang umpatan,
memaki-hamun, bercakap kotor dan selainnya.
Apa
yang penting, kesederhanaan dalam bergembira meraikan hari mulia ini akan
menjadikan kita insan yang bertaqwa, membwa dimensi sebenar sebuah makna
kemenangan. Oleh yang demikian, bergembiralah pada hari kemenangan ini dengan
cara yang disyariatkan. Berkongsi gambar, momen juga saling bertukar-tukar
ucapan hari raya juga merupakan langkah bagi menzahirkan kegembiraan dan
kesyukuran pada hari kemenangan. Sebarkanlah kegembiraan ini pada ruang lingkup
yang dibenarkan oleh syarak. Sesungguhnya Islam itu adalah agama fitrah yang
meraikan naluri juga kehendak manusia tetapi dengan berpandukan kepada petunjuk
Allah dan Rasul Nya. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan