Selasa, 18 April 2023

HUKUMAN BUNUH DALAM ISLAM

 

Sesuatu undang-undang atau peraturan yang diwujudkan sudah tentu untuk memastikan kemaslahatan umum terjaga dan terpelihara. Undang-undang diadakan bertujuan untuk mendidik manusia agar lebih berdisplin dan berhemah dalam kehidupan. Sesuatu undang-undang itu juga adalah bertujuan memberikan keadilan pada yang berhak menerima. Bukan sebaliknya untuk menyusahkan dan menyukarkan hidup ini. Bergerak serata dunia sekalipun, pastinya ada undang-undang yang mesti kita patuhi. Semasa kita hidup sehingga kita mati pun, padanya ada undang-undang atau peraturan yang mesti dipatuhi.

Hukuman adalah sesuatu yang akan dikenakan kepada mereka yang tidak dapat mematuhi undang-undang dan peraturan. Bagaimana kita melihat, disebalik penciptaan syurga bagi mereka yang mentaati perintah Allah, juga diciptakan neraka bagi mereka yang sebaliknya menentang Allah. Demikian pula hukuman, adalah suatu balasan bagi mereka yang ingkar dan melawan peraturan. Tujuan utama hukuman yang dikenakan kepada pesalah adalah untuk mendidik pesalah dan juga masyarakat agar menghormati undang-undang dan peraturan yang juga bertujuan memelihara hak orang lain.




Di dalam perundangan jenayah Islam, terdapat beberapa peruntukan hukuman bunuh bagi beberapa kesalahan seperti yang telah dinyatakan oleh syarak. Kesalahan tersebut adalah penzina muhsan (penzina yang sudah berkahwin), keluar daripada agama Islam (riddah/murtad), Muharib yang telah membunuh mangsa, pemberontak (al bughoh) kerajaan dan pembunuh yang membunuh dengan sengaja. Di dalam peruntukan hukum bunuh ini, hukuman bunuh bagi pesalah penzina muhsan dan muharib yang telah membunuh mangsa sahaja bersifat mandatori (wajib). Selain itu, selainnya adalah bersifat tidak mandatori.

Bagi kesalahan riddah, iaitu merujuk kepada mereka yang keluar Islam atau disebut sebagai murtad, tidak akan dikenakan hukuman bunuh sekiranya mereka telah kembali bertaubat dan seterusnya kembali beramal dengan ajaran Islam. Dalam hal ini, disebutkan sebagai proses Istitabah. Istilah "Istitabah" adalah merupakan suatu konsep memujuk mereka yang mahu murtad untuk kembali kepada agama Islam. Proses ini juga adalah suatu prosea wajib dilalui oleh mereka yang mahu keluar Islam yang dilakukan oleh pihak Mahkamah dan tertakluk kepada enakmen agama Islam negeri masing-masing.

Dalam isu kesalahan membunuh dengan sengaja, walau syarak memperuntukkan hukuman bunuh kepada pesalah, namun sekiranya keluarga mangsa memberikan pengampunan dan dimaafkan, maka hukumn bunuh tadi tidak terpakai dan boleh digantikan dengan hukuman gantian lain seperti diat (denda), kaffarah atau pun hukuman takzir. Ini antara sebahagian besar kesalahan jenayah di dalam Islam yang telah diberikan peruntukkan hukuman bunuh. Ada pun yang lain, yang tidak disebutkan di dalam al-Quran dan Hadith, semuanya tertakluk kepada kebijaksanaan pemerintah dibawah bab hukum takzir. Hukuman bunuh di dalam Islam seperti yang dinyatakan ini, tidak bertujuan untuk menyeksa dan menzalimi si pelaku yang melakukan kesalahan. Juga bukanlah bermakna agama Islam ini kerjanya mahu membunuh orang.




Hal ini kerana, di dalam perundangan Islam, perlu ditekankan juga soal pembuktian yang sangat teliti dan mencapai tahap keyakinan yang paling tinggi sebelum dijatuhi hukuman bunuh. Malah, sekiranya pesalah didapati bersalah dengan cara pembuktian ikrar (pengakuan), kemudian sebelum dilaksnakan hukuman, pesalah tersebut menarik balik pengakuannya tadi, maka hukuman bunuh terhadap pesalah tidak boleh di lakukan dan diganti dengan hukuman gantian atau takzir. Begitu ketat sama sekali penelitian hukuman bunuh di dalam Islam. Untuk pensabitan sesuatu kes, perlulah didatang bukti yang kukuh dan dipercayai, tidak cukup sekadar mendengar dan melihat. Misalnya, dalam pensabitan jenayah zina di dalam Islam, perlu di datangkan empat orang saksi lelaki yang mencakupi syarat-syaratnya seperti baligh, seorang Islam, mempunyai pancaindera yang sihat, adil dan diyakini, keempat-empt saksi itu pula mesti melihat perbutan ini bersama-sama.

Demikianlah bagaimana Islam meletakkan syarat yang ketat sebelum diyakini dan dijatuhi hukuman bunuh. Justeru itu, diatas peruntukan hukuman bunuh ini sama sekali bermaksud Islam agama yang kejam dan zalim. Kalau hendak dilihat sejarah hukuman yang penuh kejam dan zalim di dunia, dunia Barat yang majoritinya tidak beragama Islam pun, suatu ketika dahulu menyaksikan banyak rekod hukuman yang tragis. Umpamanya, seperti di Pasitan, Sepanyol, pesalah boleh dikenakan hukuman "Spanish Donkey". Ianya sebuah kuda kayu yang dipenuhi baji segitiga yang tajam, disokong oleh dua atau empat kaki. Selain itu, pada tahun 1405 di Florence, Itali, terdapat sejenis alat yang disebut sebagai "Tali Pinggang Kesucian". Alat ini berasal dari perang Salib, bertujuan mencegah kes rogol. Ianya sejenis tali pinggang logam yang dipenuhi gigi tajam yang boleh mengoyakkan alat sulit. Inilah beberapa bentuk hukuman yang ekstrim dan tidak berperikemanusiaan berbanding Islam yang lebih rasional.

Kita harus sedar bahawa hukuman bunuh dalam Islam bukanlah bertujuan untuk menzalimi dan bersikap kejam. Bahkan dalam banyak keadaan, syarat untuk menjatuhi hukuman bunuh tidak semudah bercakap dan menulis. Perlu dikemukakan bukti yang mencapai piawaian syarak. Untuk itu, Islam sebagai agama yang penuh kasih sayang, sentiasa meletakkan keadilan sebagai sebuah prinsip dan tunjang dalam sesuatu penghakiman. Adalah tidak wajar untuk kita mengatakan hukuman bunuh dalam Islam itu kejam dengan menutup sebelah mata tanpa melihat rekod sejarah dunia yang menyaksikan pelbagai adegan hukuman yang lebih tragis dan kejam yang pernah dipelopori oleh dunia Barat suatu ketika dahulu. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan