Sabtu, 8 April 2023

DOA BUKAN SEKADAR UNGKAPAN LAFAZ DI BIBIR

 

Apabila namanya insan, tentunya pada diri insan itu punyai sifat kelemahan yang memerlukan kebergantungannya kepada yang lain. Pada diri insan itu juga, mempunyai naluri yang melahirkan kehendak dan kemahuannya akan sesuatu perkara. Bagi memenuhi tujuan tersebut, manusia acapkali akan memohon doa meminta pertolongan dan bantuan kepada sang Pencipta Nya. Demikian juga antara tujuan hidup beragama, adalah untuk berinteraksi dengan Tuhan melalui ibadah berdoa pada Nya. Dalam konteks apa pun agamanya, manusia tidak dapat lari daripada berdoa bergantung harap pada Tuhannya.

Pekataan "Doa" dari segi bahasa bermaksud panggilan atau meminta pertolongan. Menurut Ibnu Faris dalam kitabnya, Maqayis al-Lughah, beliau menyatakan bahawa doa bermaksud memalingkan sesuatu kepada diri dengan suara dan kata. Ibnu Manzur pula dalam kitabnya, Lisan al-Arab, menyatakan bahawa dia dari segi bahasa ialah menyeru. Manakala dari segi istilah pula, maksud doa lebih difahami sebagai permohonan daripada seorang hamba kepada Allah SWT untuk menunaikan hajatnya. Imam al-Khattabi dalam kitab Sya'n al-Dua', beliau mengatakan bahwa doa ialah permohonan pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba dari Tuhannya dan hakikat doa iaitu menzahirkan kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri kepada Allah SWT.




Dalam intipati ajaran Islam, doa merupakan suatu ibadah yang menunjukkan ketundukkan dan kepatuhannya kepada Allah malah membuktikan akan kelemahan diri insan yang sentiasa memerlukan kebergantungan kepada Allah SWT. Ini juga sepertimana yang dinukilkan oleh Imam Murtadha al-Zabidi dalam kitabnya, Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, beliau menyatakan bahwa doa adalah satu ibadah untuk melahirkan rasa rendah diri dan tunduk kepada Allah SWT sambil menyatakan hajat atau permohonan yang dikehendaki. Oleh itu, perbuatan mengangkat dan menadah tangan memohon doa adalah suatu ibadah yang terpuji lagi dimuliakan oleh Allah SWT. Ibadah berdoa adalah sangat dekat dengan Allah Azza Wa Jalla yang sentiasa mendengar akan segala hajat dan permohonan hamba Nya.

Firman Allah SWT dalam surah Ghafir ayat 60 yang bermaksud :

"Dan Tuhanmu berfirman : Berdoalah kamu kepada Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepada Ku, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina"

Berdasarkan ayat tersebut, menjadi kewajiban setiap manusia yang beriman kepada Allah untuk memohon pertolongan dan bantuan hanya kepada Allah SWT. Tidak boleh kita berdoa meminta dan memohon pertolongan selain daripada Allah. Allah Azza Wa Jalla, Tuhan yang memiliki segala sifat kemurahan Nya, menyuruh kita untuk berdoa kepada Nya. Tuhan sentiasa membuka pintu kepada kita untuk memohon apa sahaja yang dihajati selagi perkara itu tidak menyanggahi syarak. Selain itu, bagi mereka yang sombong takbur, enggan berdoa kepada Allah, mereka yang enggan beribadah tunduk patuh pada Nya, telah dijanjikan tempat kembali mereka ini di dalam neraka jahannam dengan keadaan penuh kehinaan.

Doa yang juga menjadi sebahagian ibadah kepada Allah, bukan lagi sekadar mengungkapkan lafaz melontarkan suara yang nyaring. Doa tidak pula semata-mata soal menuturkan skrip bacaan doa yang dihafal membabi buta tanpa memahami dan menghayati isi kandungan doa tersebut. Seperti yang dinyatakan, doa merupakan suatu bentuk ibadah yang menzahirkan kerendahan diri, tunduk dan patuh serta akur akan kelemahan diri sendiri dihadapan Allah SWT. Maka dengan itu, doa tidak boleh dijadikan sekadar penyeri majlis, tidak sewajarnya dibuat sebagai adat tradisi sahaja. Bahkan sebaliknya, ibadah doa merupakan suatu ruang dan peluang bermakna kepada seorang hamba bagi berinteraksi dengan Tuhannya.




Allah dengan segala sifat kesempurnaan Nya, berjanji kepada setiap hamba Nya yang berdoa dengan penuh ikhlas dan khusyuk, pastinya Allah akan jawab doa tersebut. Ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidak ada seorang pun yang berdoa dengan sebuah doa kecuali Allah akan mengabulkan apa yang dimintanya atau memalingkannya dari keburukan yang semisalnya, selama dia tidak berdoa yang mengandung dosa atau pemutusan silaturahmi.”

Tugas kita sebagai hamba Nya adalah untuk berdoa memohon kepada Nya. Adapun bagi Allah, dengan kehendak Nya, harus bagi Nya untuk memakbulkan doa tersebut. Ini kerana sebahagian kita barangkali berdoa agar dikurniakan harta yang banyak namun Allah telah memalingkan kita daripda menjadi kaya kerana Allah lebih mengetahui apa yang kita perlukan. Boleh jadi sekiranya kita menjadi kaya-raya, bertambah sombong dan angkuh kita dengan kekayaan sepertimana Qarun, orang terdahulu yang ditenggelamkan oleh Allah bersama harta kekayaannya disebabkan kesombongan dan keangkuhannya.

Untuk berdoa kepada Allah, tidak semestinya berdoa dengan ungkapan dalam bahasa Arab. Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, tidak tertakluk kepada mana-mana bahasa yang ada di dunia. Sebutlah dan serulah nama Tuhan, luahkan hasrat diri ini dengan apa jua bahasa yang boleh kita tuturkan. Asalkan setiap bait-bait doa yang diungkapkan itu difahami dan dihayati dengan penuh ikhlas dan berharap kepada Allah SWT. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, dari Abdurrahman bin Yazid bahwa dia berkata :

"Bahawasanya Ar-Rabii’ datang kepada ‘Alqamah pada hari Jumaat dan jika saya tidak ada dia memberikan khabar kepada saya, lalu ‘Alqamah bertemu dengan saya dan berkata : Bagaimana pendapatmu tentang apa yang dibawa oleh Rabii’.? Dia menjawab: “Berapa banyak orang yang berdoa tetapi tidak dikabulkan? Kerana Allah tidak menerima doa kecuali yang ikhlas”. Saya berkata : Bukankah itu telah dikatakannya? Dia berkata : Abdullah mengatakan bahawa Allah tidak mendengar doa seseorang yang berdoa kerana sum’ah, riya’ dan main-main tetapi Allah menerima orang yang berdoa dengan ikhlas dari lubuk hatinya”.




Inilah antara syarat utama untuk doa diterima oleh Allah SWT. Hati seorang hamba perlu bersih daripad segala kekotoran hati seperti bangga diri, suka menunjuk dalam beribadah dan meminta dengan main-main tanpa yakin dan benar-benar harap kepada Allah. Selain itu, syarat doa diterima juga antara lain mestilah diri bersih daripada perkara yang haram dan batil. Ini juga sepertimana yang terkandung dalam sebuah hadith riwayat Muslim, dari Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.”

Demikianlah hakikat doa yang menjadi rutin setiap insan yang lemah dan hina ini. Sentiasa bergantung harap memohon pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT. Kita haruslah sedar bahwa berdoa bukan sekadar mengungkapkan dengan nada yang sedap dan nyaring, tidak pula semata-mata rutin selepas solat, bahkan lebih besar dari itu, doa merupakan suatu ibadah khas untuk kita berinteraksi dengan sang Pencipta. Berdoa, merupakan suatu kedudukan eksklusif diri kita dengan Tuhan. Doa juga penghubung terus kita dengan Nya. Tanpa memerlukan perantaraan, Allah tidak pernah terlepas daripada mendengar setiap rintihan, keluhan dan hajat setiap hamba Nya yang benar-benar bergantung harap pada Nya. Semoga doa kita akan lebih dirasai kehambaannya dan tidak sekadar ungkapan lafaz di mulut. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan