Apabila tibanya Ramadan, maka
bertebaranlah mesej dan dakwaan bahawa ruh orang mati akan pulang menziarahi
ahli keluarga di rumah. Tidak kurang juga ada yang mendakwa ruh orang mati akan
menziarahi ahli keluarga secara jauh dari atas langit. Persoalannya, benarkah
ruh orang mati akan kembali ke dunia semata-mata untuk menziarahi keluarganya
dan bagaimana sudut pandang Islam dalam hal ini.
Menurut pandangan Imam Al Ghazali, ruh
merupakan suatu bentuk jisim nurani,
sejenis cahaya yang hidup dan bergerak dari alam yang tinggi. Tetapi tabiatnya
berbeza dengan tabiat jisim yang dapat dikesan oleh pancaindera kerana tabiat
jisim biasanya dapat berjalan dalam jasad yang kasar sebagaimana air yang
mengalir dalam bunga mawar, minyak dalam buah zaitun, dan api dalam bara.
Imam Ibnu al Qayyim dalam perbahasan
kitab nya al Ruh, beliau membahagikan ruh itu kepada dua golongan iaitu ruh
yang diazab dan ruh yang mendapat nikmat. Maka Imam Ibnu al Qayyim berpendapat
ruh dikalangan mereka yang mendapat nikmat saling ziarah antara satu sama lain
ketika di barzakh. Namun ruh yang diazab, tidak ada ruang dan peluang untuk
mereka ziarah kerana sibuk diazab oleh Allah Azza Wa Jalla. Apa yang disebutkan
oleh Imam Ibnu al Qayyim adalah ziarah dikalangan sesama ruh yang baik iaitu
ruh yang mendapat nikmat dan bukannya ruh ziarah keluarga mereka di dunia.
Sayyid Qutb berkata: Apabila mereka
bertanya Rasulullah SAW mengenai ruh, maka Allah memerintahnya supaya memberi
jawapan kepada mereka bahawa ruh itu adalah urusan Allah. Hanya ilmu Allah
sahaja yang mengetahuinya dan tiada sesiapa pun yang mengetahui selain Allah.
Firman Allah SWT dalam Surah al Isra’ ayat 85 yang bermaksud :
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang
roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan
ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”
Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di di dalam
tafsirnya, Taysir al-Karim al-Rahman berkata ayat ini menunjukkan tentang
kelemahan manusia iaitu dalam sesetengah perkara mereka tidak mampu untuk
mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan itu, Allah memerintahkan Nabi Muhammad
SAW agar menjawab persoalan mengenai roh ini dengan menyerahkan urusannya
kepada Allah.
Bagi merungkaikan persoalan berkenaan
kepulangan roh ke dunia untuk menziarahi ahli keluarga mereka, marilah kita
merenung seketika firman Allah Azza Wa Jalla dalam Surah Al Zumar ayat 42 yang
bermaksud :
“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya),
Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang
sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa
tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan
melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang
ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)."
Dalam Kitab Tafsir al Tabari, disebutkan
bahawa ayat di atas menjadi dalil yang menunjukkan bahawa roh orang yang mati
tidak akan kembali, bahkan Allah yang berkuasa menahannya dari kembali ke
dunia. Bahkan menurut Sa’id bin Jubair Rahimahullah yang mana mengatakan bahawa
telah dikumpulkan di antara roh-roh orang yang hidup dan yang telah mati (di
dalam mimpi) kemudian Allah menahan roh orang yang telah mati dan melepaskan
roh orang yang hidup kepada jasadnya semula.
Dalam kitab al Ruh, Imam Ibn al Qayyim
mengatakan bahawa terdapat dua pendapat ahli tafsir tentang ayat ini. Salah
satu pendapat tersebut ialah bahawa ruh orang yang ditahan adalah ruh orang
yang sudah meninggal, sehingga dia tidak mungkin kembali kepada jasadnya di
dunia. Sedangkan ruh orang yang dilepaskan adalah ruh orang yang tidur.
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA,
beliau menjelaskan tafsir ayat tersebut dengan katanya:
“Sesungguhnya ruh orang yang hidup dan
ruh orang mati bertemu dalam mimpi. Mereka saling mengenal sesuai yang Allah
kehendaki. Ketika masing-masing hendak kembali ke jasadnya, Allah menahan ruh
orang yang sudah mati di sisi-Nya, dan Allah melepaskan ruh orang yang masih
hidup ke jasadnya.”
Menurut Syeikh Bin Baz. Mantan Mufti Arab
Saudi, beliau menyatakan bahawa tidak terdapat dalil bahawa ruh-ruh orang mati
bertemu dengan yang hidup dalam keadaan bukan bermimpi. Ada pun dalil ruh orang
mati bertemu dengan hidup adalah melalui mimpi semata-mata. Tidak secara
jasadi.
Berdasarkan beberapa nukilan pandangan
tersebut, jelaslah bagi kita menunjukkan bahawa ruh tidak akan kembali selepas
kematian. Ruh orang yang telah mati akan berada di alam yang lain yang
disebutkan sebagai alam barzakh. Perkataan barzakh itu sediri pun membawa makna
dinding yakni yang memisahkan antara yang hidup dan yang mati. Firman Allah yang bermaksud :
" Hingga apabila datang kematian
kepada seseorang dari mereka ( orang kafir) dia berkata : " Ya Tuhanku
kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang
telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu
adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan
mereka ada dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan"
( Surah Al-Mu'minuun ayat 99-100).
Kesimpulannya ialah tiada dalil tentang
ruh si mati akan menziarahi orang-orang hidup di bulan Ramadan dan ketahuilah
kita bahawa perkara-perkara ghaib yakni yang tidak boleh dicapai oleh akal
fikiran kita hendaklah dengan berpandukan dalil yang sahih. Adapun kita
terlihat ruh orang mati benar-benar pulang ke rumah, ketahuilah sama ada ianya
permainan emosi kita ataupun tipu daya syaitan dan iblis untuk menakut-nakutkan
kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan