Ahad, 3 Mei 2020

RAMALAN SUATU KESYIRIKAN


Ramalan adalah suatu perkara yang terkandung persoalan yang ghaib, di mana ianya sangat terbatas untuk dicapai oleh akal fikiran yang waras. Meskipun begitu, ramalan boleh dijadikan sebagai panduan atau persediaan semata-mata. Misalnya seperti ramalan kaji cuaca dengan menggunakan akses teknologi canggih, kita sebagai manusia dapat membuat ramalan cuaca berdasarkan keterbatasan akal dan ilmu kita. Selebihnya ia terletak dan berbalik kepada kehendak Nya yakni Allah Azza Wa Jalla.

Dalam banyak ruang agama membenarkan kita membuat ramalan tanpa bercanggah dengan syariat, terdapat beberapa pengamalan ramalan berdasarkan angka tertentu, rahsia tarikh lahir dan seumpamanya. Ilmu ini sebahagiannya dikenali sebagai ilmu metafizik. Ilmu metafizik merupakan salah satu cabang dalam ilmu falsafah yang mengkaji tentang sifat, tabiat dan realiti kewujudan sesuatu benda.



Dalam sejarah ilmuan Islam, Al Kindi antara ilmuan yang membahaskan persoalan falsafah ini melalui beberapa penulisan kitabnya seperti Kitab fi Falsafat al-Ula dan Risalah fi al-Ibanah ‘an Sujud al-Jirm al-Aqsa wa Ta’atihi Lillah. Demikian juga Ibnu Rush antara yang turut membahaskan persoalan ini menerusi kitab Tafsir Ma’ Ba’d Tabi’at. Secara khususnya ilmu metafizik tidaklah hanya membahaskan tentang nombor dan huruf bagi tujuan ramalan sebagaimana kefahaman segelintir masyarakat kita hari ini. Ia satu ilmu yang sangat luas mencakupi perbahasan ghaibiyyat dan alam tabi’e dan bukan semata-mata berkaitan ramalan masa depan. Ilmu penggunaan nombor dan huruf bagi tujuan ramalan lebih dikenali sebagai numerologi.

Dalam hal ini, meramal dengan beriktikad kepada keajaiban angka, warna atau apa-apa bentuk tertentu adalah dibimbangi termasuk dalam amaran baginda Nabi SAW dalam soal hukum menilik yang dilarang. Dalam sebuah hadis yang sahih, riwayat Imam Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang datang menemui penilik atau peramal nasib lalu mempercayai apa yang diberitahu olehnya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad”

Dalam hadis yang lain, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang datang kepada bomoh, lalu bertanya kepadanya sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari.”

Menurut Imam al-Nawawi: “Adapun maksud tidak diterima solatnya adalah orang tersebut tidak mendapatkan pahala. Namun solat yang ia lakukan tetap dianggap dapat menggugurkan kewajiban solatnya dan dia tidak perlu untuk mengulangi solatnya.”.


Meramal masa depan dengan kepercayaan perkara tertentu adalah termasuk dalam soal perkara ghaibiyyat (tidak diketahui) yakni perkara yang tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahuinya selain Allah Azza Wa Jalla. Hal ini disebutkan oleh Allah melalui firman Nya dalam Surah Al A’raf ayat 188 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".

Berdasarkan dalil yang disebutkan tadi, maka dapatlah kita fahami bahawa perbuatan meramal atau menilik dengan kepercayaan angka, warna, tarikh lahir atau apa pun unsurnya adalah dilarang dan berdosa sekiranya melakukannya apatah lagi mempercayai dan menyakini perkara tersebut. Dalam islam, tidak ada nombor-nombor tertentu yang memberi aura berbeza atau rahsia disebalik tarikh tertentu sebagaimana yang dinyatakan oleh segelintir masyarakat kita dalam program-program motivasi diri. Hindarilah kita dari melakukan perkara yang boleh mengggugat akidah kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan