Memasuki bulan Ramadan, terdapat pelbagai
kelebihan dan keistimewaan yang ditawarkan oleh Allah kepada setiap hamba Nya
yang beriman. Antara kelebihan dan keistimewaan yang seringkali kita ungkapkan
ialah para syaitan akan dirantai atau dibelenggu. Pada realiti yang berlaku hari
ini, kita menyaksikan masih terdapat sebahagian umat Islam yang berpuasa melakukan
maksiat di dalam bulan Ramadan, malah berlaku juga rasukan jin dan syaitan di
dalam bulan Ramadan, bahkan yang dirasuk itu terdiri daripada umat Islam yang
berpuasa. Jika realiti ini berlaku, persoalan yang timbul ialah apakah maksud
hadis Nabi SAW yang menyatakan syaitan itu dirantai dan dibelenggu dalam bulan
Ramadan ? Nabi SAW bersabda :
“Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi
saw telah bersabda : “Apabila datangnya Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga
dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hal ini, untuk memahami makna
perkataan “dirantai” dan “dibelenggu” ini, para ulama berbeza pendapat tentang
maksud dibelenggu para syaitan. Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari
al-Halimiy yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan
tidak dapat sampai melakukan fitnah kepada umat Islam sepertimana diluar bulan
Ramadan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan
melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan
berzikir.
Syeikh ‘Atiyyah Soqr menyebut bahawa beberapa ulama yang mensyarahkan hadis ini
menyatakan yang dimaksudkan dibelenggu itu ialah tidak dapat menguasai
orang-orang yang benar-benar berpuasa dengan puasa yang sebenarnya, dengan
meraikan setiap adab-adab termasuk memelihara lidah, pandangan dan semua
anggota dari melakukan maksiat sebagai memenuhi sabda Nabi saw :
“Sesiapa yang tidak meninggalkan
perkataan bohong dan perbuatan yang keji, maka Allah tidak ada hajat kepada
makanan dan minuman yang ditinggalkannya.”
(HR al-Bukhari)
Sebahagian ulama yang lain pula
berpendapat maksud para syaitan yang dibelenggu itu ialah sebahagian syaitan
yang degil/melampau, adapun selain daripadanya tidak dibelenggu. Inilah yang
dinyatakan di dalam hadis :
“Dibelenggu padanya (Ramadan) syaitan-syaitan
yang degil/melampau.”
Ada pula sebahagian para ulama yang
berpendapat ianya membawa tanda para malaikat masuk ke dalam bulan Ramadan
sebagai membesarkan dan memuliakannya bagi menghalang para syaitan menggoda
orang-orang mukmin. Ia boleh juga membawa isyarat kepada banyaknya pengampunan
dan balasan pahala yang diberikan di dalam bulan Ramadan menyebabkan syaitan
menjadi seolah-olah dibelenggu.
Al-Imam al-Qurtubi pula menyebutkan
dengan panjang lebarnya :
“Maka jika dikatakan bagaimana kita boleh melihat
beberapa kejahatan dan maksiat berlaku dalam bulan Ramadan secara banyak, jika
dibelenggu para syaitan sepatutnya perkara itu tidak berlaku. Maka jawapannya
ialah : “Sesungguhnya semua itu kurang berlaku pada orang-orang yang berpuasa
dengan puasa yang memelihara syarat-syaratnya dan meraikan adab-adabnya, atau
(yang dimaksudkan) dibelenggu sebahagian syaitan, iaitulah syaitan yang
degil/melampau, (sebaliknya) bukan semua syaitan seperti yang terdapat di dalam
sebahagian riwayat (hadith), atau maksudnya mengurangkan kejahatan dalam bulan
Ramadan, dan ternyata berlakunya kejahatan dalam bulan Ramadan itu lebih kurang
berbanding bulan yang lain, demikian juga tidak semestinya dibelenggu kesemua
syaitan tidak berlakunya kejahatan dan maksiat, kerana ada juga sebab lain
selain syaitan (yang membawa kepada kejahatan) seperti jiwa yang sememangnya
jahat, dan kebiasaan yang jelek dan syaitan manusia.”
Dalam satu jawapan yang lain, menurut Syeikh
Muhamad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya tentang persoalan ini beliau menjawab
:
“Di dalam sebahagian riwayat hadis (maksudnya)
: “Dibelenggu padanya (Ramadan) syaitan-syaitan yang degil/derhaka.” Atau
(dengan lafaz) Tughallu di sisi al-Nasaie atau yang seumpamanya yang termasuk
dalam perkara ghaib yang mana hendaklah kita menerima dan membenarkannya, dan
kita tidak membicarakannya lebih daripada yang itu, sesungguhnya inilah yang
lebih selamat bagi agama seseorang dan lebih baik untuknya…. kemudian secara
zahir dibelenggunya syaitan itu (adalah membawa maksud dibelenggu) daripada
memesong/menyesatkan manusia disebabkan banyaknya kebaikan dan (mereka banyak)
kembali (bertaubat) kepada Allah dalam bulan Ramadhan.”
Demikian nukilan pandangan oleh para
ulama dalam usaha konteks memahami makna perkataan dirantai dan dibelenggu
sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan pandangan
para ulama ini, maka dapatlah kita memahami bahawa kejahatan dan kemaksiatan
boleh sahaja terjadi meskipun pada bulan Ramadan. Namun sebesar-besar maksiat
yang dilakukan, besar lagi luas pintu rahmat Nya lebih-lebih di bulan Ramadan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan